Antara inovasi dan ancaman AI terhadap dunia pendidikan

Adakah AI akan menjadi suatu alat untuk memperkasa generasi baharu atau sebaliknya melahirkan graduan yang ‘pintar mesin tetapi kosong jiwa’?

Feature Image

LEDAKAN teknologi kecerdasan buatan (AI) telah membawa perubahan ketara dalam landskap pendidikan tinggi negara.

Walaupun memberi peluang besar untuk mempercepat proses pembelajaran, kebimbangan berkaitan integriti akademik semakin hangat diperkatakan dalam kalangan pendidik dan penggubal dasar.

Di Malaysia, kini ia berada di persimpangan sama ada adakah AI akan menjadi suatu alat untuk memperkasa generasi baharu atau sebaliknya melahirkan graduan yang ‘pintar mesin tetapi kosong jiwa’?

Sejak 2023, aplikasi seperti ChatGPT, Grammarly dan Quillbot merupakan sebahagian teknologi yang memberikan kesan besar kepada kehidupan pelajar khususnya mereka yang berada di universiti.

Ia digunakan untuk membantu pelajar mendapatkan maklumat, menulis esei, menterjemah, menghasilkan ringkasan artikel, malah menyediakan cadangan jawapan yang bersesuaian untuk peperiksaan.

Menurut Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad, pensyarah kanan dari UTHM, sebanyak 60 peratus pelajar dari universiti di Rantau Asia menggunakan AI untuk menyiapkan tugasan mereka.

Namun begitu, hampir 38 peratus menyatakan mereka tidak pasti sama ada penggunaan mereka mengandungi unsur plagiat atau sebaliknya.

Sehingga kini, ada statistik nasional di Malaysia yang memuktamadkan kadar pensyarah ‘sukar mengesan’ tugasan AI.

Namun, melalui laporan Turnitin yang digunakan secara meluas di IPT Malaysia menganggarkan 11 peratus tugasan yang dibuat mengandungi kandungan yang dijana oleh AI.

Statistik ini menandakan wujudnya jurang ketara antara keupayaan pelajar menguasai AI dan kebolehan institusi mengawal penggunaannya.

Penggunaan AI tanpa kawalan menimbulkan persoalan besar terhadap keaslian karya pelajar. Tradisi akademik yang selama ini menekankan usaha, pemikiran kritis dan kejujuran kini berdepan cabaran baharu.

Laporan Turnitin pada 2024 pula mendedahkan lebih 22 juta tugasan pelajar di seluruh dunia telah dikenal pasti mengandungi elemen penulisan dari perisian AI.

Walaupun wujud perisian pengesan, ketepatannya dalam mengenal pasti keaslian penulisan masih menjadi isu apabila terdapat hasil penulisan oleh manusia yang ditandai atau dikatakan sebagai kandungan AI.

Prof. Madya Dr. Nor Shahniza Kamal Bashah, pensyarah dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) di dalam laporan The Sun pada April 2024 juga menyeru komuniti akademik khususnya para pelajar untuk lebih beretika menggunakan AI.

Beliau menyatakan, “Ahli akademik mengiktiraf manfaat penggunaan AI kerana ia boleh memperkaya proses pembelajaran, namun jika dijadikan jalan pintas, ia satu tindakan yang mengancam integriti akademik. Universiti perlu menekankan bahawa AI ialah pembantu, bukan pengganti. Jika tidak, kita akan melahirkan graduan tanpa identiti akademik.”

Sementara itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pula sedang menilai garis panduan khusus untuk menangani isu ini. Antaranya termasuk cadangan mewajibkan pelajar melampirkan deklarasi keaslian tugasan serta menyediakan latihan literasi AI kepada pensyarah.

Implikasi terhadap pendidikan tinggi

Penggunaan AI secara tidak beretika boleh memberi kesan mendalam terhadap beberapa perkara. Antaranya, kualiti graduan akan terjejas kerana kurangnya kemahiran berfikir secara kritis dan analitis dalam mencari penyelesaian terhadap sesuatu tugasan yang diberikan kepada mereka.

Kecenderungan menggunakan AI sebagai jalan pintas menjadikan mereka malas untuk berfikir seterusnya menghalang pemikiran kritis dan kreatif melalui pendekatan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) yang diperkenalkan sejak 2013.

Kesan seterusnya ialah menyebabkan reputasi sesebuah universiti akan terkesan jika integriti akademik dipersoalkan oleh pihak luar.

Pengiktirafan antarabangsa terhadap kemampuan universiti tempatan akan tercalar. Badan penarafan seperti QS World University Rankings dan Times Higher Education (THE) amat menitikberatkan aspek kualiti akademik dan reputasi penyelidikan.

Maka, jika wujud kontroversi berkaitan integriti, penilaian menjadi semakin merosot seterusnya menjejaskan kedudukan ranking yang diperolehi.

Ia juga menjejaskan peluang penyelidikan dan kolaborasi di antara universiti bersama pihak luar dan menjadikannya semakin terhad.

Ini bermaksud peluang mendapatkan geran penyelidikan antarabangsa, menjalankan program mobiliti pelajar dan kolaborasi industri semakin berkurangan.

Selain itu, kesan seterusnya mengakibatkan jurang digital menjadi semakin melebar, apabila pelajar di bandar mendapat akses teknologi yang lebih baik berbanding pelajar luar bandar.

Ia juga menjejaskan penguasaan pelajar luar bandar terhadap pelbagai jenis platform pendidikan seperti AI yang semakin mendapat perhatian umum akibat daripada keterbatasan menggunakan teknologi terkini khususnya di dalam bidang pendidikan.

Keperluan polisi dan tindakan

Justeru, bagi mengekang perkara ini dari terus membarah, satu langkah proaktif terhadap kepatuhan kepada polisi dan amalan baik perlu dikuatkuasakan dengan segera.

Walaupun di Malaysia mempunyai Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA), setakat ini masih ada garis panduan khusus tentang penggunaan AI dalam pendidikan. Beberapa pakar berpendapat tindakan segera perlu diambil bagi memastikan teknologi ini digunakan secara beretika.

Antaranya, mewujudkan garis panduan nasional mengenai penggunaan AI dalam pendidikan. Garis panduan ini perlu diwar-warkan kepada semua melalui pelbagai lapisan media agar dapat berfungsi seperti yang dirancang.

Seterusnya, penyediaan latihan literasi AI di kalangan pelajar dan tenaga pengajar dilihat perlu bagi mendedahkan mereka kepada fungsi dan risiko penggunaannya.

Pelajar khususnya harus meletakkan had penggunaan AI di dalam keperluan seharian akademik mereka di mana teknologi AI seharusnya berperanan sebagai pembantu pemudahcara dan bukan mengambil alih sepenuhnya tanggungjawab mereka sebagai pelajar.

Kini, kadar penyalahgunaan AI dalam kalangan pelajar semakin meningkat. Laporan dari akhbar The Edge pada April 2015 menunjukkan kegiatan plagiarisme telah lama bertapak dalam kalangan pelajar di mana ia melibatkan lebih 50% tugasan yang dihantar pelajar sebahagian besarnya dibuat tanpa pemahaman etika.

Latihan literasi juga berperanan mengurangkan jurang digital pelajar bandar dan luar bandar. Berdasarkan laporan dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 2023 mendapati kadar penggunaan internet di kawasan bandar adalah 94.6 peratus, berbanding 77.1 peratus di luar bandar.

Justeru, latihan literasi AI ini penting bagi menyokong aspirasi Pendidikan Nasional dalam melahirkan pendidikan bertaraf global.

Selain itu, amalan integrasi kemahiran berfikir kritis dalam kurikulum dilihat perlu bagi memastikan pelajar tidak bergantung sepenuhnya kepada teknologi.

Kebanyakan pelajar kini hanya menyalin sepenuhnya tugasan dari AI tanpa menggunakan kemahiran berfikir yang kritis sebagaimana tujuan asal tugasan yang diberikan iaitu untuk menguji minda dan kemahiran berfikir mereka.

Tindakan seterusnya yang boleh diambil ialah pelaburan dalam infrastruktur pengesanan dan pemantauan akademik supaya institusi dapat mengurus penggunaan AI dengan lebih berkesan.

Buat masa ini, platform pengesanan dan pemantauan masih kekurangan dan perlu dipertingkatkan agar dapat membendung budaya ‘copy paste‘ khususnya dalam kalangan pelajar.

Pelaburan ini dilihat sejajar dengan pembangunan teknologi yang semakin pesat berlangsung sehingga ada kawalan dan pemantauan yang berkesan untuk digunakan.

Isu AI dan integriti akademik bukan sekadar soal teknologi, tetapi soal nilai pendidikan. AI berpotensi besar untuk memperkasa pendidikan, namun cabaran terhadap integriti akademik tidak boleh dipandang ringan.

Pendidikan tinggi di Malaysia perlu mengambil pendekatan seimbang—mengiktiraf AI sebagai alat sokongan, sambil mempertahankan nilai asas seperti kejujuran, usaha dan pemikiran kritikal.

Sepertimana ditegaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pendidikan masa depan mestilah seimbang antara teknologi dan kemanusiaan.

AI boleh menjadi kawan baik pelajar tetapi guru, pensyarah dan dasar nasional tetap menjadi benteng terakhir mempertahankan integriti akademik.

Jika tidak ditangani segera, negara berisiko berdepan krisis kredibiliti akademik, sekali gus menjejaskan reputasi pendidikan tinggi Malaysia di peringkat global.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.