ESG mahal: Mampukah Malaysia menanggung kos kelestarian?

Di Malaysia, industri PKS adalah amat besar dari segi bilangan syarikat dan kepentingan terhadap ekonomi negara.

Feature Image (1)

APABILA firma multinasional di Malaysia mengeluarkan laporan kelestarian (sustainability reports) mereka, ini jelas menunjukkan bahawa ESG bukan lagi satu pilihan, malah satu kewajipan korporat.

Amalan ESG (Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus) kini menjadi pasport untuk menembusi pasaran global. Namun, di sebalik komitmen terhadap laporan kelestarian ini, wujud satu hakikat yang meresahkan bagi kebanyakan perniagaan Malaysia, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), ESG bukanlah satu peluang untuk menembusi pasaran yang lebih besar tetapi ia lebih dianggap sebagai satu kewajipan yang membebankan dan mahal.

PKS Tunjang Ekonomi Malaysia

Di Malaysia, industri PKS adalah amat besar dari segi bilangan syarikat dan kepentingan terhadap ekonomi negara.

Pada tahun 2023, industri ini menyumbang 96.9 peratus daripada keseluruhan perusahaan negara. Sumbangan mereka kepada KDNK Malaysia adalah RM652.4 bilion pada 2024, meningkat daripada RM616.6 bilion pada 2023.

Kerajaan menyasarkan sumbangan KDNK mereka akan mencecah RM1 trilion menjelang 2030 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13. Angka-angka ini menunjukkan PKS bukanlah entiti sampingan, malah mereka adalah tunjang ekonomi negara tetapi, itu tidak bermakna mereka berupaya untuk menanggung kos pematuhan ESG.

Kesedaran Meningkat, Pelaksanaan Tidak Sekata

Walaupun kesedaran terhadap ESG dalam kalangan firma PKS meningkat dengan mendadak tetapi pelaksanaan sebenarnya masih tidak sekata.

Satu tinjauan oleh Alliance Bank menunjukkan kesedaran ESG dalam kalangan PKS Malaysia melonjak enam kali ganda dalam tempoh dua tahun, daripada 14 peratus kepada 80 peratus.

Namun, hanya 12 peratus PKS yang benar-benar mengintegrasikan ESG dalam strategi atau operasi perniagaan mereka.

Lagi 16 peratus hanya melaksanakan ESG secara ad-hoc atau projek sampingan. Sekitar 41 peratus langsung tidak mengambil kira ESG dalam operasi mereka.

Meskipun kesedaran meningkat tetapi terdapat jurang besar dalam pelaksanaan ESG dalam kalangan firma PKS Malaysia, di mana kos dan keperluan sumber menjadi beban utama.

Kajian Kes: Apa yang Dihadapi PKS Malaysia

Berikut ialah gambaran sebenar bagaimana pematuhan ESG memberi kesan dan peningkatan kos kepada PKS.
Pada separuh tahun pertama 2025, SME Bank Malaysia telah berjaya memperkasakan 5,735 usahawan melalui latihan dan sokongan program pembinaan kapasiti (berbanding 2,225 pada tempoh sama tahun 2024) iaitu peningkatan 158 peratus daripada tahun ke tahun.

SME Bank juga menyasarkan pembiayaan mampan bernilai RM10 bilion menjelang 2030, termasuk komponen pembiayaan atau peralihan hijau.

Di bawah Belanjawan 2025 pula, lebih 40,000 PKS memperoleh lebih RM10 bilion dalam bentuk kemudahan pinjaman perniagaan melalui pelbagai skim yang dibiayai kerajaan. (The Vibes).

Sementara itu, kerajaan memperuntukkan RM33.8 bilion untuk 325 program PKS pada 2024, yang disasarkan memberi manfaat kepada lebih 578,000 PKS.

Namun, realitinya sebahagian besar sokongan ini tidak benar-benar menampung kos pematuhan ESG seperti pengukuran, pengauditan dan penilaian rantaian bekalan (supply chain).

Banyak inisiatif yang dilakukan lebih menumpu pada pembiayaan, pengembangan, pembinaan kapasiti atau membantu PKS meningkatkan keterlihatan pasaran.

Satu kajian dalam Journal of Information Systems Engineering and Management 2025 yang menemu bual PKS.

Kajian tersebut mengenal pasti cabaran utama dalam mengadaptasi ESG, antaranya:

1. Kompleksiti dasar dan peraturan
2. Kesukaran mendapatkan pembiayaan hijau atau pinjaman mesra ESG
3. Tekanan daripada rantaian bekalan (contohnya, perlu rakan upstream dan downstream yang sama mematuhi ESG)
4. Kekurangan sumber dalaman, tenaga kerja, dan kepakaran teknikal dalam ESG.

PKS melaporkan bahawa pelaksanaan ESG dilihat menelan kos yang tinggi dari segi masa dan wang serta berisiko, khususnya bagi mereka yang tidak terlibat dalam pasaran eksport atau beroperasi dalam sektor yang sangat sensitif pada harga (seperti syarikat penerbangan, komoditi, dan runcit diskaun).

Tambahan pula, terdapat juga kos luaran yang menghantui PKS. Jika mana-mana firma PKS tidak patuh ESG, mereka mungkin:

1. Dikecualikan daripada rantaian bekalan syarikat yang mengeksport ke rantau yang menuntut pendedahan ESG (seperti EU dan sebahagian Asia)
2. Kehilangan peluang pembiayaan kerana pemberi pinjaman dan pelabur semakin memerlukan bukti pematuhan ESG
3. Terlepas insentif cukai atau program kerajaan yang dikaitkan dengan rekod kelestarian.

PKS Malaysia kehilangan sehingga RM292 bilion dalam potensi hasil jualan akibat kegagalan pematuhan ESG.

Mampukah Malaysia Menjadikan ESG Lebih Inklusif?

Memandangkan skala cabaran mengintegrasikan ESG ke dalam PKS adalah pelbagai, berikut ialah beberapa dasar perniagaan yang mungkin menjadikan ESG kurang membebankan dan lebih sebagai peluang bersama:

1. Mmbenarkan firma kecil melaksanakan keperluan pendedahan ESG yang lebih ringan pada peringkat awal, dengan peningkatan secara beransur
2. Subsidi bagi pengauditan ESG, alat pengukuran, dan ketelusan rantaian bekalan
3. Program berasaskan sektor, khususnya untuk industri dengan banyak pembekal kecil (sawit, getah, pemprosesan makanan, tekstil) supaya kos boleh dikongsi
4. Penyediaan latihan, bantuan teknikal & platform dalam talian, contohnya alat penjejakan/pelaporan ESG yang murah atau percuma, panduan dalam bahasa tempatan, piawaian model yang sesuai untuk PKS
5. Memanfaatkan institusi berasaskan nilai dan agama (seperti institusi zakat dan wakaf) untuk menyokong kelestarian, yang berpotensi mengurangkan kos jika selari dengan norma komuniti atau keagamaan sedia ada.

Masa Depan ESG & PKS Malaysia

Sektor PKS Malaysia semakin berkembang, menjana lebih pendapatan dan semakin sedar tentang ESG. Namun, kesedaran sahaja tidak menanggung kos.

Pematuhan, audit, pendedahan, tuntutan rantaian bekalan, laporan karbon dan semua ini membawa kos sebenar, khususnya bagi firma kecil.

Jika Malaysia terus menggunakan pendekatan ESG yang seragam untuk semua firma, hasilnya mungkin akan wujud jurang besar kelak.

Di mana, firma besar yang mampu menanggung kos akan menuai ganjaran reputasi serta pasaran, manakala banyak PKS pula masih terkial-kial atau tercicir dalam mengejar arus perubahan.

Dengan menggabungkan insentif kerajaan, sokongan berasaskan sektor, program dengan kos mampu milik, serta piawaian dan rangka kerja yang lebih inklusif, Malaysia berpeluang bukan sahaja menanggung kos ESG, tetapi juga mencipta inovasi ESG yang sesuai dengan realiti tempatan.

Ini adalah kerana jika kelestarian hanya menjadi hak istimewa firma besar, Malaysia berisiko kehilangan salah satu kekuatan ekonominya yang terbesar.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.