Mata Helang: Jenayah seksual guru tahfiz, bukan statistik tapi maruah
Setiap kali seorang guru tahfiz melakukan jenayah seksual terhadap muridnya, yang tercalar bukan sahaja tubuh dan jiwa mangsa tetapi juga nama baik Islam itu sendiri.

ADAKALANYA lidah lebih tajam daripada pedang tetapi ada juga lidah yang begitu tumpul hingga menyakitkan telinga yang mendengar.
Itulah yang berlaku apabila Presiden Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (Permata Al-Quran), dengan mudahnya melabelkan kes jenayah seksual melibatkan segelintir guru tahfiz sebagai ‘kes terpencil’.
Katanya, tidak sampai satu peratus daripada jumlah madrasah berdaftar terbabit dalam kes sedemikian.
Mata Helang ingin bertanya, sejak bila maruah agama boleh diukur dengan kalkulator?
Sejak bila penderaan seksual anak-anak, yang diperkosa oleh tangan manusia bertopengkan ‘guru agama’ boleh dianggap tidak serius hanya kerana statistiknya kecil? Satu peratus? Setengah peratus? atau 0.0001 peratus sekalipun, adakah itu bermakna kita boleh menarik nafas lega, senyum sambil berkata: “Oh, itu hanya kes terpencil.”
Kenyataan seperti ini bukan sahaja tidak sensitif, malah memalukan. Ia datang daripada seorang pemimpin yang sepatutnya mempertahankan kesucian institusi tahfiz, menjaga nama baik al-Quran yang dihafaz di dada ribuan pelajar dan menegakkan maruah bangsa serta agama.
Sebaliknya, beliau memilih untuk mengecilkan, meremehkan dan seolah-olah menganggap isu ini tidak lebih daripada setitik dakwat hitam di lautan putih.
Mari kita ingat, setiap kali seorang guru tahfiz melakukan jenayah seksual terhadap muridnya, yang tercalar bukan sahaja tubuh dan jiwa mangsa tetapi juga nama baik Islam itu sendiri.
Dunia luar tidak akan bertanya, ‘berapa peratus?’ Mereka hanya melihat bahawa ada ustaz tahfiz merosakkan anak muridnya.
Mereka tidak akan peduli tentang statistik, mereka akan menilai agama melalui perilaku pendokongnya. Maka, setiap satu kes adalah malapetaka moral.
Kita sering mendengar alasan sama bila isu ini timbul, kes terpencil, individu nakal, tidak mencerminkan majoriti.
Alasan yang sama digunakan untuk rasuah dalam kalangan ahli politik, salah guna kuasa dalam agensi penguat kuasa, malah skandal integriti dalam institusi agama.
Kes terpencil, katanya. Namun, ‘kes terpencil’ yang dibiarkan berulang-ulang akhirnya menjadi budaya busuk yang sukar dihapuskan.
Mata Helang ingin mengingatkan Tuan Presiden, jangan berlindung di sebalik angka. Tugas anda bukan sekadar mengira peratusan tetapi mempertahankan kehormatan.
Jika benar hanya satu peratus, maka lebih mudah untuk dibanteras. Mengapa tidak tumpukan usaha membersihkan satu peratus itu habis-habisan, bukannya sibuk menenangkan orang ramai dengan retorik ‘kes terpencil’?
Bayangkan jika anak sendiri menjadi mangsa. Adakah tuan masih akan berkata: “Oh, jangan risau, itu hanya satu peratus.”
Kata-kata ini tidak ubat tetapi racun yang menambah luka keluarga mangsa. Mereka yang menanggung trauma seumur hidup tentu tidak melihatnya sebagai statistik kecil.
Malah, kenyataan itu memberi isyarat salah kepada masyarakat. Ia mengundang persepsi bahawa institusi tahfiz lebih sibuk menjaga imej daripada menjaga anak-anak.
Bahawa maruah ‘madrasah berdaftar’ lebih penting daripada air mata kanak-kanak yang dicabuli dan bila pemimpin utama sanggup berkata begitu, ia memberi mesej kepada penjenayah berserban bahawa: “Tenang, kamu hanya kes terpencil.”
Tidak, Tuan Presiden. Ini bukan soal terpencil atau meluas. Ini soal zero tolerance. Perbuatan terkutuk ini tidak boleh diterima walau satu kes sekalipun.
Sebagai guru tahfiz, beban moralnya lebih berat. Mereka bukan sahaja mendidik ilmu dunia tetapi memikul amanah al-Quran. Apa guna seorang hafiz 30 juzuk jika tangannya digunakan untuk merosakkan anak didik?
Lebih hina, bila pimpinan pertubuhan agama sendiri enggan mengaku seriusnya isu ini. Dunia luar mentertawakan kita. Musuh Islam ketawa kerana ustaz sendiri mengaku ada jenayah tapi masih boleh berseloroh dengan peratusan. Bukankah ini menjatuhkan maruah agama, bangsa dan negara?
Kalau benar mahu mempertahankan institusi tahfiz, jangan menafikan masalah. Akui. Bersihkan. Ambil tindakan keras. Hapuskan ruang dan peluang. Bina sistem pengawasan. Pastikan saringan ketat kepada tenaga pengajar.
Jangan biarkan sebarang laporan disapu bawah karpet demi menjaga ‘imej’. Imej bukan dilindungi dengan kenyataan lembik tetapi ditegakkan dengan keberanian menyingkirkan pengkhianat dalam saf.
Kenyataan Presiden Permata Al-Quran ini bukan sahaja dangkal tetapi juga satu penghinaan kepada ribuan guru tahfiz yang benar-benar ikhlas mendidik dan menjaga maruah institusi.
Mereka pasti lebih marah daripada orang biasa kerana imej mereka tercalar hanya kerana segelintir pengkhianat dan kenyataan pemimpin yang tidak membantu malah memburukkan.
Berita Harian Online pula harus lebih bijak. Kenyataan seperti ini tidak wajar dijadikan tajuk utama, seolah-olah ia mewakili keseluruhan pendirian institusi tahfiz.
Media harus lebih kritikal iaitu tanyakan soalan pedas, cabar kenyataan longgar, bukan sekadar menyalin bulat-bulat kata-kata seorang presiden yang mahu menyelamatkan imej dengan menutup skandal.
Akhir kata, Mata Helang menegaskan: walaupun hanya satu kes, ia cukup untuk memalukan kita di mata dunia dan bila pemimpin agama sendiri tidak malu dengan kenyataannya, maka seluruh institusi akan menanggung akibatnya.
Maruah agama bukan statistik, maruah bangsa bukan peratusan, maruah negara bukan angka di kertas. Ia soal prinsip.
Walaupun 0.0001 peratus, ia tetap memalukan dan yang lebih memalukan ialah bila ada pemimpin yang sanggup mempertahankannya dengan kalkulator di tangan.