Kecantikan hanya sementara, kesan selamanya
Di sebalik kecantikan sementara yang diubah, lama-kelamaan ia akan mendatangkan mudarat dari segi kesihatan serta emosi seseorang.
Oleh: HANNAN QISTINA ISMAIL
PADA era dunia moden masa kini, kecantikan menjadi perkara utama yang dilihat oleh setiap individu. Disebabkan kecantikan adalah ukuran keyakinan seseorang, ramai yang sanggup melakukan pembedahan plastik, mengubah fizikal yang sedia ada serta membuat suntikan kosmetik yang ekstrem agar mencapai ‘standard kecantikan’ seperti yang diperkatakan.
Namun, di sebalik kecantikan sementara yang diubah, lama-kelamaan ia akan mendatangkan mudarat dari segi kesihatan serta emosi seseorang. Dalam Islam, kecantikan dipandang sebagai anugerah yang perlu dijaga bukan untuk diubah. Antara punca utama yang mendorong kepada obsesi kecantikan dalam kalangan masyarakat masa kini ialah pengaruh media sosial.
Media sosial adalah tempat di mana persepsi kecantikan dan kesempurnaan akan mempengaruhi segala-galanya. Standard kecantikan yang diperkatakan oleh masyarakat kini adalah seperti orang yang berkulit putih, memiliki hidung yang mancung dan mempunyai bentuk badan yang ideal menjadi ukuran mereka.
Disebabkan perkara sebegini, masyarakat menjadi semakin kurang berkeyakinan dengan diri sendiri dan menimbulkan keinginan untuk mengubah rupa asal mereka kepada rupa yang lebih sempurna bagi mencapai piawaian standard pada zaman kini. Di media sosial sekarang, ramai individu yang melakukan pengubahan terutamanya di wajah mereka untuk menjadi lebih cantik dan ini menyebabkan golongan yang kurang berkeyakinan dengan diri sendiri mudah terpengaruh untuk mengikuti trend mengubah rupa asal mereka.
Hal ini menunjukkan betapa kuatnya pengaruh budaya hedonisme yang menilai manusia melalui rupa dan bukan akhlak atau ilmu. Keinginan untuk kelihatan cantik sempurna itu lumrah manusia, tetapi jika ia melampaui had, maka ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada seseorang individu. Inilah yang akan berlaku apabila melakukan sesuatu tanpa memikirkan kesan jangka panjang.
Prosedur kecantikan suntikan kosmetik seperti suntikan botox, filler atau pembedahan hidung membawa risiko besar seperti jangkitan, parut kekal atau kesakitan berpanjangan. Kadangkala mereka tahu tentang risiko tetapi tetap ingin melakukannya. Apabila mereka telah melakukannya sekali, pasti mereka akan menjadi ketagih untuk melakukan berulang kali sehingga mereka berasa cukup sempurna dan cantik di mata mereka.
Di sebalik individu yang berjaya melalui proses pengubahan rupa paras dengan keputusan yang memuaskan, ada juga yang mengalami kemurungan akibat kegagalan perubahan tidak seperti yang diinginkan. Kecantikan yang diperoleh bukan semula jadi selalunya hanya sementara, malah boleh menjejaskan kesihatan yang sedia ada baik.
Setelah melihat kesan negatif pembedahan atau proses mengubah ciptaan yang sedia ada sempurna, wajarlah kita menilai semula semua perkara dari sudut pandangan Islam kerana agama telah menetapkan batas yang jelas antara keinginan dan larangan. Islam menegaskan larangan mengubah ciptaan Allah SWT tanpa sebab yang dibenarkan.
Jelas melalui sabda Rasulullah SAW bahawa, “Allah melaknat wanita yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu, yang mencabut bulu kening dan yang meminta dicabutkannya serta yang mengubah ciptaan Allah untuk kecantikan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Berbincang mengenai hukum, membuat pembedahan plastik untuk kecantikan semata-mata adalah haram tetapi dibenarkan jika tujuannya adalah untuk perubatan. Ini menunjukkan Islam tidak menghalang untuk berusaha memperbaiki diri tetapi menentang yang ingin mengubah ciptaan Allah SWT kerana tidak berpuas hati dengan ketentuan-Nya.
Kembali pula kepada proses pengubahan ciptaan Allah baik melalui pembedahan atau apa sahaja cara pasti akan melalui suatu proses yang boleh menyakitkan diri dan mengundang kepada kesengsaraan. Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 195, yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mencampakkan (diri kamu) dengan tangan-tangan kamu ke arah kebinasaan.”
Dalam Islam, kecantikan sebenar bukanlah terletak pada rupa paras yang cantik dan sempurna, tetapi terletak pada akhlak, iman dan ketakwaan seseorang. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:“ Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kepada rupa dan harta kamu tetapi dia melihat kepada hati dan amal kamu”[Hadis Riwayat Muslim].
Hadis ini mengingatkan kita yang kecantikan sebenar itu datangnya dari hati yang bersih dan ikhlas. Namun begitu, pada zaman moden ini, masyarakat lebih bertungkus lumus untuk menghias wajah mereka berbanding memperindah akhlak dan keperibadian diri mereka. Hakikatnya, orang yang menjaga kebersihan, berpakaian sopan dan berakhlak mulia akan lebih dipandang tinggi oleh masyarakat sekeliling.
Kecantikan tidak perlu dicari dengan cara yang menyakitkan diri atau perlu mengubah ciptaan Allah SWT. Islam telah mengajar kita untuk sentiasa menjaga kebersihan diri, mengamalkan gaya hidup sihat serta menjaga pemakanan. Jika ingin menggunakan sesuatu produk mestilah halal dan selamat serta tidak akan menjejaskan kesihatan apabila mengambilnya.
Antara syarat yang penting adalah sentiasa bersyukur dengan apa yang Allah SWT telah kurniakan kepada kita dan dari situlah kita akan sentiasa menghargai diri sendiri. Terdapat satu doa yang kita boleh amalkan, iaitu “Ya Allah, sebagaimana engkau telah memperelokkan kejadian tubuhku, maka perelokkanlah akhlakku.”
Apabila kita sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada, kita akan sentiasa tenang dan aman. Firman Allah dalam surah Luqman ayat 12 yang bermaksud: “Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmat-Nya kepadamu)”. Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri.”
Kesimpulannya, terlampau inginkan kesempurnaan di mata orang akan menjadikan manusia lupa bahawa setiap ciptaan Allah SWT mempunyai keunikan dengan caranya sendiri. Islam mengajar kita untuk sentiasa bersyukur, menghargai diri sendiri dan tidak menilai seseorang hanya melalui zahir luaran semata-mata. Percayalah, jika cantik sekarang tidak memadai jika akhirnya menjadi beban di dunia mahupun di akhirat kelak.
Oleh itu, marilah kita berusaha memperindahkan akhlak sebagaimana kita menjaga rupa paras, kerana kecantikan sebenar di sisi Allah bukan pada wajah tetapi pada hati dan akhlak kita. “Orang mukmin yang paling sempurna keimananya adalah yang paling baik akhlaknya”. [Riwayat Abu Dawud dan Tirmizi]
* Penulis adalah penuntut Ijazah Sarjana Muda Usuluddin, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.
