RISDA berperanan memperkasa semula industri getah Malaysia

Permintaan global terhadap produk getah bernilai tinggi dan mampan membuka peluang untuk kebangkitan semula, jika Malaysia berani berinovasi.

Feature Image

INDUSTRI getah Malaysia pernah menjadi tunjang ekonomi global, menyokong pertumbuhan negara dan kehidupan masyarakat luar bandar selama lebih satu abad.

Daripada era penjajahan sehingga menjadi pengeluar getah asli terbesar dunia pada pertengahan abad ke-20, sektor ini mencorakkan identiti Malaysia. Namun hari ini, industri ini merudum. Pekebun kecil bergelut dengan harga yang tidak stabil, ladang menghadapi saingan daripada kelapa sawit dan alternatif sintetik mengikis pasaran.

Namun, permintaan global terhadap produk getah bernilai tinggi dan mampan membuka peluang untuk kebangkitan semula, jika Malaysia berani berinovasi. Pengumuman baru-baru ini oleh DPM yang kerajaan sedang merancang mengembalikan semula kegemilangan industri getah sangat dialukan. RISDA ditugaskan memikul rancangan ini.

Kita harus faham mengapa industri getah negara tersandung. Ada pendapat yang menyatakan kemerosotan berpunca daripada isu sistemik. Ada yang menyabut kita mengalami perangkap komoditi. Kebergantungan berlebihan pada eksport lateks mentah, bukan produk bernilai tambah, mendedahkan Malaysia kepada turun naik harga.

Saingan global juga telah meningkat. Thailand dan Indonesia kini mendahului pengeluaran manakala Vietnam muncul sebagai pesaing kos rendah. Malah Cote DeVoire, satu negara Afrika, yang dahulunya tercorot dibelakang telah naik sebagai pengeluar ketiga terbesar.

Tekanan alam sekitar juga semakin kuat. Penggundulan hutan untuk ladang getah bercanggah dengan komitmen iklim, merosotkan imej hijau Malaysia. Juga sama penting adalah isu berkaitan tenaga kerja dan sara hidup. Penuaan pekebun kecil dan penghijrahan generasi muda mengancam masa depan sektor ini.

Bagaimana penyelesaiannya? Apakah jalan menuju pembaharuan? Ramai mencadangkan tingkatkan inovasi dan produk bernilai tinggi. Malaysia perlu beralih ke pasaran premium. Ledakan sarung tangan COVID-19, di mana Malaysia membekalkan 67% permintaan global, membuktikan potensi produk bernilai tambah.

Peluasan kepada peranti perubatan, komponen aeroangkasa dan bahan mesra alam seperti getah biodegradasi, boleh menjadikan Malaysia hab berteknologi tinggi. Perkongsian R&D awam-swasta seperti di bawah Program Transformasi Industri Getah Negara, perlu mengutamakan aplikasi terkini seperti nanoteknologi berasaskan getah atau tayar hijau.

Projek getah ke biofuel yang diumumkan RISDA baru-baru ini perlu dirancakkan segera. Ini dapat membuka pasaran baharu serta mengalihkan kebergantungan kepada pembuatan tayar. Malah dapat membantu menyokong harga pasaran yang lebih baik.

Promosi kelestarian juga perlu lebih rancak. Getah asli boleh diperbaharui, adalah satu kelebihan unik di pasaran yang mementingkan alam sekitar. Pensijilan kelestarian dan pertanian regeneratif boleh menarik pembeli yang prihatin.

Model ekonomi kitaran seperti kitar semula getah terpakai menjadi bahan binaan perlu diamalkan, selari dengan tren ESG global. Kerajaan boleh memberi insentif kepada ladang berkarbon neutral, menempatkan Malaysia sebagai peneraju getah beretika.

Sudah tentu pekebun kecil perlu diperkasakan. Lebih 90 peratus pekebun getah adalah usahawan kecil, ramai dalam kemiskinan. Penyelesaian termasuklah akses teknologi yang merangkumi penggunaan drone untuk pemantauan hasil, pengesanan penyakit berasaskan AI dan penggunaan klon berproduktiviti tinggi hasil dari R&D.

Model koperasi disarankan dimana perkongsian sumber untuk kuasa tawar dan pengagihan kos akan lebih baik. Ada juga cadangan mengadakan dana penstabilan harga. Ini melibatkan stok penampan atau subsidi untuk melindungi pekebun daripada kejatuhan pasaran. Ini perlu diteliti betul-betul sebab pengalaman lepas semasa era INRO dulu gagal membuah hasil yang dituntuti.

Mungkin kerajaan perlu satu pembaharuan dasar dan pelaburan strategik. Kerajaan perlu pemangkin pertumbuhan melalui beberapa langkah. Pertama, insentif cukai untuk syarikat yang melabur dalam R&D atau pemprosesan mesra alam. Dari sudut infrastruktur pula, menaik taraf pelabuhan dan mencipta kawasan perindustrian khusus getah.

Ketiga pembrandingan global. Mempromosikan getah ‘Buatan Malaysia’ sebagai jenama premium dan mampan. Antara pletfom yang boleh dimanfaatkan adalah perjumpaan COP. Juga pelbagaikan pasaran dan produk. Selain lateks, Malaysia boleh memanfaatkan kayu getah bukan hanya untuk perabot tetapi juga untuk keperluan industri bangunan yang kian berminat.

Pasaran global perabot sahaja bernilai AS$1.5 bilion setahun dan meneroka sektor khusus seperti aspal bergetah untuk jalan raya. Pasaran baharu di Afrika dan Timur Tengah menawarkan potensi belum diterokai, manakala perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan EU dan CPTPP boleh mengurangkan halangan perdagangan.

Kesimpulannya umum menyeru semua bertindak secara kolektif, bukan silo. Memperbaharui industri getah Malaysia memerlukan usaha berani dan bersepadu. Pembuat dasar, pemimpin industri, dan komuniti perlu bersatu untuk mengubah cabaran menjadi peluang.

Dengan menerapkan inovasi, kelestarian, dan ekuiti, Malaysia boleh kembali bukan sekadar sebagai pengeluar tetapi sebagai perintis global, membuktikan industri tradisional juga mampu berkembang pada abad ke-21.

Benih kebangkitan sudah ditanam; kini tiba masanya menyuburkannya menjadi masa depan yang teguh. Adalah diyakini jika usaha menghasilkan biofuel dari getah asli, yang sedang dilaungkan oleh RISDA, menjadi kenyataan, masalah ketidaksetabilan harga mesti dapat diatasi. Kita tidak boleh melengahkan masa lagi tapi terus bertindak menjalankan kajian.