UiTM Shah Alam anjur forum inklusiviti OKU sempena Bulan OKU Kebangsaan

Beri pendedahan kepada mahasiswa mengenai realiti kehidupan individu berkeupayaan lain, di samping mengurangkan stigma terhadap isu-isu berkaitan OKU.

Feature Image (4)

KUALA LUMPUR, 16 Disember 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam melalui Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Kolej Kediaman Perindu telah menganjurkan forum Perindu Presents: Different Capabilities, Equal Opportunities sempena Bulan OKU Kebangsaan, seiring dengan penganjuran InspireAbility Fest 2025, bagi memupuk budaya inklusiviti serta meningkatkan kesedaran terhadap golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam kalangan mahasiswa.

Forum tersebut telah berlangsung pada 9 Disember 2025 di Dewan Serbaguna Perindu dan merupakan hasil kerjasama strategik antara Kolej Kediaman Perindu dan Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM Puncak Alam.

Penganjurannya bertujuan memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai realiti kehidupan individu berkeupayaan lain, di samping mengurangkan stigma serta memperkukuh kefahaman komuniti kampus terhadap isu-isu berkaitan OKU.

Mengangkat tema ‘Melangkaui Keterbatasan: Sinergi Kesihatan, Kebajikan dan Ketahanan Diri’, forum itu menampilkan dua panel jemputan berpengalaman, iaitu Pakar Perubatan dan Ketua Unit Perubatan Kesihatan Awam, Pusat Kesihatan UiTM, Dr. Nurfazlinda Md. Shah serta Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Klang, Mohd Joharye Shafie.

Forum ini dikendalikan oleh Akmal Zahiruddin, mantan Ahli Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Shah Alam yang juga merupakan seorang OKU Pendengaran, sekali gus memberikan perspektif autentik dan menyentuh pengalaman sebenar golongan berkeupayaan lain.

Penganjuran program ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 10 (Pengurangan Ketidaksamarataan) dan SDG 16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh), dalam usaha mewujudkan persekitaran kampus yang inklusif, prihatin dan berdaya tahan.

Pihak penganjur berharap inisiatif seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform berterusan untuk memupuk nilai kemanusiaan, memperkukuh semangat perpaduan serta membina kesedaran kolektif dalam kalangan warga universiti.