MALAYSIA sering kali digambarkan dengan masyarakat yang berbilang kaum dan harmoni serta kaya dengan pelbagai adab, adat serta budaya.
Namun, dalam kalangan masyarakat hari ini masih wujud gejala membuli dan ini sangat merisaukan kerana ia boleh menjadi satu norma masyarakat kita hari ini.
Gejala buli ini bukan sahaja berlaku dalam institusi pendidikan, di tempat kerja atau dalam kalangan ahli keluarga sahaja tetapi ia boleh berlaku serta dilihat semakin meruncing di alam maya atau siber.
Hari ini, mangsa buli bukan sahaja dilihat melalui kecederaan fizikal semata-mata tetapi kecederaan mental dan emosi terhadap mangsa semakin membimbangkan kerana pembuli turut menggunakan lidah serta tangan mereka untuk berkata-kata.
Seringkali dipaparkan di media massa dan di dada-dada akhbar, ada mangsa yang dibuli sehingga membawa kepada kecederaan serius dan yang lebih membimbangkan adalah buli siber turut mengakibatkan kehilangan nyawa.
Tidak dinafikan, mangsa buli sudah pasti akan berhadapan dengan tekanan emosi yang kritikal kerana berdepan dengan ejekan dan perkataan negatif yang dilemparkan kepada mereka.
Melihat kepada ragam pembuli siber hari ini, mereka menjadikan tangan-tangan mereka sebagai lidah untuk berkata-kata di alam maya.
Benarlah, lidah ini satu nikmat yang Allah SWT berikan kepada manusia, sifatnya lembut tidak bertulang tetapi tajam ibadat pedang sehingga boleh membunuh dan melukakan hati insan yang mendengarnya.
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Rasulullah SAW pernah ditanyakan sebab kebanyakan orang dimasukkan ke dalam syurga.
Baginda menjawab: “Bertakwa kepada Allah dan baik akhlaknya.” Lalu baginda ditanyakan lagi sebab kebanyakan manusia dimasukkan ke dalam neraka? Baginda Menjawab: “Mulut dan kemaluan”.
Allah SWT juga ada berfirman dalam surah al-Hujurat, ayat 11 yang mana ayat ini Allah memberikan peringatan kepada lelaki dan perempuan mengenai larangan untuk melakukan perbuatan mencemuh, memerli, menghina serta memberikan gelaran yang buruk kepada orang lain.
Di sini jelas kita tidak boleh menghina orang atau melontarkan perkataan yang tidak baik serta memberikan gelaran yang buruk kepada seseorang sama ada dihadapan atau dibelakangnya kerana Allah berfirman pada akhir ayat surah ini iaitu orang beriman itu bersaudara dan janganlah pula kita merosakkan atau memutuskan persaudaraan itu.
Jika kita lihat, perbuatan menghina, mencaci yang dilakukan oleh pembuli siber ini bukan sahaja dilarang oleh agama islam semata-mata tetapi agama-agama lain turut melarang para penganutnya untuk melakukan perbuatan yang boleh menyakiti individu yang lain.
Seorang pakar ilmuan agama pernah menyebut, “Saya tidak takut dengan keyboard worriors tetapi saya takut dengan keyboard sinners.”
Jadi, para keyboard worriors diluar sana anda yang mana satu? Buat pilihan yang bijak kerana setiap perbuatan anda akan dipersoalkan kelak.
Pembuli siber mungkin sedar atau tidak sedar bahawa perbuatan buli ini meninggalkan parut kepada mangsanya.
Mangsa buli kebiasaannya akan berhadapan dengan kecederaan emosi yang teruk, isu berkaitan psikologi, trauma dan sebagainya.
Jadi, dikongsikan di sini konsep 3R yang boleh diaplikasi oleh mangsa buli bagi memastikan mereka tenang dan sedar tentang emosi yang mereka alami.
Retract iaitu berundur seketika daripada perbuatan yang kita lakukan.
Contohnya, jika waktu itu mangsa buli siber berada dalam situasi yang tegang, berundur seketika dapat memberikan ruang masa pada diri agar dapat bertenang.
Berundur di sini bermaksud cuba ambil masa untuk tenangkan diri dari sudut pemikiran dan emosi sambil mengamalkan teknik pernafasan yang betul.
Teknik pernafasan boleh dilaksanakan dengan menarik, menahan, menghembus dan seterusnya menahan nafas dan setiap peringkat ini dilaksanakan dalam tempoh empat saat.
Perhatikan bahawa, teknik pernafasan yang tepat ini akan memberikan anda kelegaan pada badan, pemikiran dan membantu anda untuk kekal fokus.
Rethink fikirkan adakah perkataan yang disebutkan atau penulisan orang lain sebenarnya dapat memberikan kesan pada diri?
Ketahuilah tiada siapa pun yang dapat membuat apa-apa pun pada anda sekiranya anda tidak membenarkan ia berlaku.
Sebagai contoh, sekiranya anda diejek atau dicemuh, ambil masa untuk tenangkan diri dan anda akan menjadi lebih jelas serta rasional dalam setiap pemikiran yang wujud dalam diri.
Anda lebih faham bahawa orang yang membuli itu sebenarnya mempunyai isu dengan diri mereka dan menzahirkan dengan cara penulisan atau percakapan mereka terhadap orang lain.
Jadi, ambillah masa yang lebih lama sekiranya anda perlu bertenang dan berfikir secara rasional.
Respons iaitu kita memberikan tindak balik yang positif serta bersesuaian mengikut situasi dan keadaan yang berlaku.
Sekurang-kurangnya kita dapat mengelakkan diri daripada bertingkah laku mengikut kehendak emosi, perasaan dan pemikiran yang negatif.
Sekiranya anda berasa sedih atau marah, tidak salah untuk anda validasi perasaan tersebut dan bangkit semula untuk menjadi lebih resilien dalam mendepani sebarang masalah.
Jadi, pesanan buat semua berhati-hati dalam melontarkan kata-kata, jangan kerana lidah badan binasa dan jangan kerana mulut ianya membuatkan orang lain terasa.
Fikirkan terlebih dahulu sebelum mula bicara atau bertingkah laku dan jangan jadikan perbuatan buli ini sebagai satu norma kepada masyarakat hari ini kerana setiap perbuatan yang kita lakukan sekarang akan membentuk generasi negara pada masa akan datang.
Buat masyarakat semua kita perlu mengambil cakna dengan keadaan orang sekeliling kita, mungkin ada dalam kalangan keluarga, jiran tetangga atau rakan-rakan terdekat kita yang menjadi mangsa buli ini.
Berikan bantuan, laporkan kepada pihak berkuasa atau bawa mereka dapatkan bantuan daripada ahli profesional supaya mereka mendapat kesejahteraan dari segi fizikal, emosi dan juga mental.
Jangan berdiam diri sahaja kerana anda mangsa dan anda berhak mendapatkan keadilan.
…
Prof Madya Dr. Azmawaty merupakan Timbalan Dekan (Program Ijazah Dasar), Fakulti Pendidikan, dan anggota Lembaga Kaunselor Malaysia manakala Nur Nadhirah ialah Kaunselor Pelatih, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.