AKB48 lancar ujibakat generasi kedua KLP48 ‘BLOOM’ di Malaysia

Kumpulan idola popular dari Jepun, AKB48 melancarkan ujibakat rasmi bagi pencarian ahli baharu kumpulan adik mereka di Malaysia, KLP48.

Poster Terkini (3)

KUALA LUMPUR, 17 Julai 2025 — Peluang keemasan kini terbuka kepada gadis-gadis muda yang bercita-cita untuk menceburi dunia seni persembahan apabila kumpulan idola popular dari Jepun, AKB48 melancarkan ujibakat rasmi bagi pencarian ahli baharu kumpulan adik mereka di Malaysia, KLP48.

Ujibakat yang dinamakan ‘BLOOM’ ini merupakan pencarian bagi generasi kedua KLP48 susulan kejayaan cemerlang kumpulan itu sejak ditubuhkan setahun lalu. Populariti KLP48 bukan sahaja melonjak di peringkat tempatan, malah turut mendapat perhatian peminat di Jepun, dengan beberapa anggotanya dijemput membuat persembahan di negara itu.

Ujibakat terbuka kepada semua gadis berumur antara 13 hingga 23 tahun tanpa mengira kewarganegaraan. Ia memberikan peluang istimewa untuk menjadi sebahagian daripada keluarga besar AKB48, yang kini memasuki tahun ke-20 penubuhannya dan diiktiraf oleh Guinness World Records sebagai Kumpulan Pop Terbesar di Dunia.

Permohonan dibuka dari 1 Julai hingga 1 Ogos 2025 dan calon yang berminat dikehendaki menghantar video nyanyian atau tarian berdurasi maksimum 90 saat menerusi laman sesawang rasmi klp48audition.com. Penyertaan juga perlu disertakan dengan maklumat peribadi serta dokumen sokongan yang diperlukan.

Calon yang disenarai pendek akan dipanggil menghadiri sesi saringan secara bersemuka yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada 23 dan 24 Ogos 2025, sebelum melangkah ke pusingan akhir ujibakat pada 6 dan 7 September 2025.

KLP48 merupakan kumpulan adik ke-10 AKB48 di luar Jepun dan dikendalikan oleh 48 Entertainment Sdn Bhd dengan kebenaran rasmi daripada pemegang lesen, Superball Co Ltd. KLP48 menyertai rangkaian kumpulan adik AKB48 lain termasuk JKT48 (Jakarta), BNK48 (Bangkok), MNL48 (Manila), Team SH (Shanghai), Team TP (Taipei), SGO48 (Ho Chi Minh City), CGM48 (Chiang Mai), DEL48 (Delhi) dan MUB48 (Mumbai).

Pengarah 48 Entertainment Sdn. Bhd., Yip Jun Huei berkata, sepanjang setahun lalu, ahli generasi pertama KLP48 telah berjaya menambat hati peminat dengan persembahan bertenaga serta interaksi yang mesra.

“Kami teruja untuk memulakan pencarian generasi baharu yang bakal mencorakkan masa depan KLP48 dan meneruskan legasi AKB48. Kepada semua yang berhasrat mencuba, kami ucapkan selamat berjaya dan teruskan usaha,” katanya.

Orang ramai yang mengenali individu berbakat dan bersemangat dalam bidang seni persembahan turut digalakkan untuk mencalonkan atau memberi galakan kepada mereka menyertai ujibakat ini. Ia mungkin menjadi langkah pertama menuju kehidupan yang penuh perubahan dan kejayaan.

Bagi pemohon berumur di bawah 18 tahun, kebenaran bertulis daripada ibu bapa atau penjaga adalah diwajibkan.

Maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai KLP48 boleh diikuti menerusi akaun rasmi mereka di TikTok (@klp48_official), Instagram dan Facebook (@KLP48official).