Jung Yong Hwa bakal adakan konsert solo pertama di Malaysia

Konsert solo pertama di Malaysia pada 14 September ini sempena sambutan ulang tahun ke-10 kerjaya solonya dalam industri muzik.

Poster Terkini

KUALA LUMPUR, 11 Julai 2025 — Vokalis utama kumpulan terkenal dari Korea Selatan, CNBLUE, Jung Yong Hwa akan mengadakan konsert solo pertama di Malaysia pada 14 September ini sempena sambutan ulang tahun ke-10 kerjaya solonya dalam industri muzik.

Konsert bertajuk 2025 JUNG YONG HWA LIVE ‘Director’s Cut: Our Fine Days’ yang dianjurkan oleh Lo-Fi Entertainment itu akan berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada pukul 7 malam.

Penganjuran konsert ini turut bertepatan dengan pelancaran mini album ketiganya bertajuk One Last Day, yang menyaksikan Jung terus memperkukuh kedudukannya sebagai artis solo selepas kemunculan pertamanya pada tahun 2015 menerusi album One Fine Day.

Artis serba boleh ini turut dikenali menerusi mini album DO DISTURB (2017) dan YOUR CITY (2023), selain terlibat dalam kerjasama antarabangsa bersama penyanyi Mandopop popular seperti JJ Lin dan Jam Hsiao.

Selain bergiat aktif dalam bidang muzik, Jung Yong Hwa juga terlibat dalam dunia lakonan dan pernah membintangi filem Hong Kong, Cook Up A Storm (2017) serta beberapa drama Korea Selatan termasuk Sell Your Haunted House (2021) dan Brain Works (2023), yang melayakkan beliau menerima anugerah Pelakon Cemerlang di KBS Drama Awards 2021.

Beliau turut menjadi hos program bual bicara muzik LP Room di platform YouTube.

Tiket untuk konsert tersebut akan mula dijual pada 1 Ogos 2025 bermula jam 12 tengah hari menerusi laman web www.ticketingtix.com, dengan harga bermula daripada RM368 sehingga RM888.

Struktur harga tiket adalah seperti berikut:

RM888 (Zon Berdiri – BOICE)

RM788 (Tempat Duduk – OUR)

RM568 (Tempat Duduk – FINE)

RM368 (Tempat Duduk – DAYS)

Bayaran pemprosesan sebanyak RM4 akan dikenakan bagi setiap pembelian tiket.

Peminat turut berpeluang menikmati pelbagai faedah bergantung kepada kategori tiket masing-masing, termasuk akses ke sesi soundcheck, poster dan polaroid bertandatangan, sesi selamat tinggal bersama artis serta kad foto eksklusif.

Maklumat lanjut dan perkembangan terkini berhubung konsert ini boleh diperoleh menerusi laman Instagram rasmi Lo-Fi Entertainment di www.instagram.com/lofi.entertainment dan Facebook di www.facebook.com/lofi.entertainmentkl.