Klip video petikan ringkas tawar keseimbangan kandungan, masa tontonan
Media massa sentiasa mengalami perubahan demi perubahan dalam gaya penyampaian dari dahulu hingga kini jika kita menelusuri jejak perjalanan kewujudannya.

SECARA falsafahnya, media massa terbukti mempunyai kekuatan dalam penyampaian yang pelbagai bersesuaian dengan corak kandungan yang ingin disampaikan.
Media massa sentiasa mengalami perubahan demi perubahan dalam gaya penyampaian dari dahulu hingga kini jika kita menelusuri jejak perjalanan kewujudannya.
Kepelbagaian corak penyampaian sering mewarnai kewujudan fungsinya dan kelainan yang dibawa sentiasa merentas zaman mengikut keperluan dan dinamika masyarakat terutamanya apabila kita memperkatakan berkenaan media penyiaran.
Jelas media penyiaran sentiasa secara asasnya mencipta variasi dan tidak statik dalam kaedah penyampaian demi untuk menyajikan program terbaik sebagai hidangan kepada penonton.
Apa juga perubahan bentuk program dan gaya penyampaian, ia adalah suatu proses perkembangan positif dalam mewarnai industri penyiaran tanah air.
Perubahan seiring dengan kesesuaian penerimaan dan cita rasa khalayak semasa.
Dari media tradisional sehinggalah kewujudan media baharu di era digital kini, media penyiaran sederap langkah berusaha untuk mengadaptasi dalam mencipta kelainan dalam penyampaiannya.
Era digital merupakan cabaran besar bagi dunia penyiaran tradisional untuk kekal relevan dalam menjalankan tanggungjawab sebagai medium informasi kepada masyarakat.
Ditambah dengan populariti media alternatif yang wujud dengan peranan dan pengaruh tersendiri, media penyiaran tradisional dilihat senantiasa berdaya saing dalam menampilkan kepelbagaian penyampaian yang berbeza dari sudut kreativiti bagi mengimbangi ekosistem dan dimensi di era digital.
Jika ditinjau secara umum, kita boleh lihat terdapat banyak program dengan fungsi dan format yang mendasari media penyiaran.
Program seperti berita, bual bicara, forum, dokumentari, hiburan, drama, pertandingan dan pelbagai lagi melakar nama di media penyiaran.
Kebanyakan program yang dinyatakan adalah dalam bentuk penyampaian yang panjang. Maksudnya, ia disiarkan berpandu tempoh masa program yang telah ditetapkan dan bersandarkan kesesuaian masa siaran yang telah diperuntukkan.
Seperti contoh rancangan bual bicara atau talk show kebiasaanya jangka masa yang diperuntukkan untuk membincangkan sesuatu topik secara khusus adalah dalam lingkungan 30 minit hingga satu jam bersiaran.
Konsep pengisiannya adalah merangkumi pengenalan terhadap sesuatu perkara, sesi diskusi bersama panel jemputan mengikut bidang kepakaran dan soal jawab bersama penonton yang ingin berkongsi pengalaman mahupun soalan yang berkaitan diakhir program.
Ia adalah pakej lengkap dengan informasi terarah yang disajikan kepada penonton bagi tujuan pemahaman secara tuntas berkenaan sesuatu topik semasa.
Format ini masih kekal relevan hingga ke hari ini dalam membincangkan ruang lingkup topik semasa kerana garapan yang lengkap merupakan kekuatan dalam program bual bicara.
Penyusunan informasi berstruktur dengan pengenalan topik, pengisian kandungan dan penutup dalam mencapai kesimpulan merupakan kewajaran yang perlu.
Persoalannya kini bukan menjurus kepada program tetapi corak tontonan semasa. Faktor kesibukan dengan urusan harian dan terlibat dalam pelbagai aktiviti kehidupan, memungkinkan khalayak penonton tidak mampu meluangkan masa yang secukupnya untuk mendedahkan diri dengan kandungan program panjang dan masa siaran yang khusus bagi sesuatu program bual bicara.
Ditambah pula dengan perbezaan umur dan minat yang menghadkan tumpuan penonton.
Maka media penyiaran kini menawarkan keseimbangan dalam menangani pertembungan antara tempoh masa kandungan dengan situasi penonton.
Ringkasnya, ini meliputi durasi kandungan program yang panjang dan sedikit masa yang ada pada penonton serta keberkesanaan darisegi aspek penumpuan.
Terbukti media penyiaran berjaya dengan formula untuk menghasilkan klip video iaitu petikan ringkas yang bersesuaian bagi mengisi keperluan masa penonton yang terhad tanpa menjejaskan isi kandungan program dan pengurangan tumpuan penonton secara berperingkat.
Klip video ini adalah sorotan atau pun potongan babak secara ringkas dari program yang dipilih untuk dijadikan fokus perbincangan dan ditayangkan untuk tontonan umum.
Kebiasaannya petikan ringkas ini mengungkap pernyataan, jawapan atau pandangan yang jelas. Ia mungkin dalam bentuk mengumumkan, pemberitahuan, pemakluman dan sebagainya tentang sesuatu perkara atau intipati utama yang ingin dikemukakan sebagai fokus rancangan.
Klip video yang dihasilkan kebiasaannya berdurasi kurang dari dua minit bergantung kepada perkara yang diketengahkan yang mendasari topik perbincangan jika kita mengambil program bual bicara sebagai contoh.
Malah klip video ini mudah untuk sampai kepada penonton apabila ianya diadun dengan saluran penyampaian media baharu seperti Facebook, Instagram, TikTok, YouTube dan lain-lain kerana keringkasan dari sudut konteks dan durasi video.
Ini telah memberi pilihan kepada masyarakat bersandarkan penyesuaian masa dan tumpuan. Sama ada memilih petikan ringkas (pemahaman dari sudut konteks) atau tempoh masa sebenar (kesempurnaan maklumat secara keseluruhan) sesuatu program.
Petikan ringkas ini tidak terhad kepada program bual bicara sahaja, ia meliputi slot berita, forum, acara sukan dan pelbagai lagi yang bersesuaian.
Mesej melalui klip video masih boleh sampai kepada khalayak sasaran dengan berkesan kerana ia bersifat fleksibel iaitu perolehan maklumat dengan cara ringkas dan cepat serta mudah untuk dikongsikan melalui pelbagai platform media baharu.
Ia mudah difahami dan penonton juga dibantu melalui penjelasan teks ringkas berkenaan program atau fokus dalam klip video berkenaan.
Kebiasaannya dinyatakan juga sumber bagi memudahkan khalayak membuat rujukan jika ingin mengetahui kandungan dengan lebih lanjut di platform yang menawarkan keseluruhan program.
Klip video juga bertindak bagi tujuan mempromosi program asal memandangkan pemilihan babak dilakukan dengan cermat dan efisyen dari sudut kekuatan konteks paparan.
Penonton akan mula berminat untuk mendapatkan informasi penuh bagi mendalami sesuatu topik yang disandarkan melalui petikan ringkas berkenaan. Penonton akan mencari sebaik mungkin peruntukan masa untuk menonton kandungan penuh.
Tanpa menidakkan corak tumpuan penonton yang semakin subjektif, maka klip video ini dilihat mampu untuk mengimbangi pilihan penonton mengikut kesesuaian waktu dan tumpuan individu. Yang penting mesej dapat disalurkan kepada khalayak sasaran mengikut acuan yang tersendiri.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.