UiTM mendalami bidang Pelancongan Halal Antarabangsa

UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau menerima kunjungan delegasi Institut Agama Islam Miftahul Ulum (IAIM) Lumajang, Surabaya, Indonesia bagi membuka ruang kerjasama dalam menganjurkan simposium pelancongan halal antarabangsa.

2

REMBAU, 17 Julai 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau menerima kunjungan delegasi Institut Agama Islam Miftahul Ulum (IAIM) Lumajang, Surabaya, Indonesia hari ini, sekali gus membuka ruang kerjasama dalam menganjurkan simposium pelancongan halal antarabangsa.

Perbincangan antara kedua-dua institusi itu melibatkan Penolong Rektor UiTM Kampus Rembau, Prof. Madya Dr. Masitah Ahmad; Rektor IAIM, Mochammad Hesan serta beberapa ketua Kumpulan Research Interest Group (RIG) UiTM.

Simposium yang dirancang berlangsung pada akhir tahun ini akan menumpukan kepada pembangunan model destinasi pelancongan mesra Muslim, khususnya di daerah Lumajang, Surabaya, dalam usaha menyesuaikan penawaran produk dan pasaran pelancongan sejajar pertumbuhan pesat industri pelancongan global.

“Antara objektif utama simposium ini adalah untuk meneliti pelaksanaan konsep pelancongan mesra Muslim di Lumajang serta membangunkan rantaian nilai pelancongan yang mampan bagi menyokong transformasi IAIM menjadi sebuah universiti penuh,” kata Dr. Masitah.

Tambah beliau, setiap destinasi pelancongan mempunyai keunikan dan keperluan tersendiri yang memerlukan pendekatan pengurusan khusus, sejajar dengan potensi dan kapasiti sumber sedia ada.

Simposium itu juga dijangka menjadi platform perbincangan mengenai keperluan membangunkan piawaian atau kriteria destinasi pelancongan halal yang sesuai dengan kehendak pelancong Muslim, sekali gus memerlukan sokongan dan penglibatan aktif pihak berkuasa tempatan Surabaya serta institusi akademik seperti IAIM.

Turut hadir dalam sesi perbincangan tersebut ialah Ketua Pusat Pengajian Fakulti Pengurusan Perniagaan UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Farrah Othman dan barisan kepimpinan fakulti.

Menurut Dr. Masitah, kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi di peringkat antarabangsa berupaya membawa manfaat menyeluruh kepada pelajar, warga akademik serta masyarakat global.

“Dengan kadar pengantarabangsaan universiti yang semakin pesat melalui komunikasi terbuka dan kos perjalanan yang rendah, universiti harus memanfaatkan peluang membentuk kerjasama global selaras dengan slogan UiTM iaitu ‘Globally Renowned, Locally Rooted’,” katanya.

Sementara itu, Rektor IAIM, Mochammad Hesan berkata, peningkatan minat pelajar terhadap pendidikan antarabangsa menjadikan kerjasama universiti sebagai strategi penting dalam memperluas jaringan global dan memudahkan pemahaman silang budaya.

Beliau berkata, kerjasama itu bukan sahaja membuka peluang pertukaran pelajar antara dua negara tetapi turut membantu menyediakan graduan yang bersedia menghadapi cabaran pasaran kerja antarabangsa.

“Dalam era globalisasi, program seperti ini memberi pendedahan kepada pelajar untuk belajar, bekerja dan meneroka peluang kerjaya merentasi sempadan,” katanya.

Selain simposium pelancongan halal, kunjungan delegasi IAIM turut membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala melalui program pembangunan pelajar yang berfokus kepada kebolehpasaran dan kemahiran rentas budaya.