DKSH, Reckitt perluas perkongsian strategik kukuhkan pengedaran jenama kesihatan pengguna

Menyediakan perkhidmatan komersial dan logistik yang menyeluruh bagi portfolio kesihatan dan kebersihan pengguna terkemuka mereka di seluruh Malaysia.

Feature Image

KUALA LUMPUR, 17 Disember – DKSH telah menjalin perkongsian strategik dengan Reckitt bagi menyediakan perkhidmatan komersial dan logistik yang menyeluruh untuk portfolio kesihatan dan kebersihan pengguna terkemuka syarikat itu di seluruh Malaysia, sekali gus memperkukuh kehadiran serantau serta kecemerlangan operasi Reckitt di Asia.

Unit Perniagaan Kesihatan DKSH Malaysia, rakan strategik utama dalam bidang penjagaan kesihatan di Asia dan seterusnya, memeterai kerjasama berkenaan bagi meningkatkan pengedaran, liputan komersial dan kecemerlangan operasi portfolio kesihatan dan kebersihan pengguna Reckitt di Malaysia.

Perkongsian itu dibina berasaskan kerjasama sedia ada antara DKSH dan Reckitt di Vietnam dan Thailand. Di bawah perjanjian berkenaan, DKSH akan menyediakan perkhidmatan pengembangan pasaran sepenuhnya merangkumi jualan, pemasaran, pengedaran dan logistik, selain pengurusan kredit serta kutipan, secara eksklusif dalam saluran perubatan dan farmasi bebas di seluruh negara.

Kerjasama tersebut melibatkan pelbagai jenama terkenal Reckitt, termasuk Gaviscon, Strepsils, Nurofen, Cardiprin, Durex, Bonjela, Optrex, Dettol, Veet, Woodwards, Glucolin, Senokot dan Fybogel, bagi menyokong hasrat syarikat itu membentuk semula operasinya sebagai organisasi kesihatan dan kebersihan pengguna bertaraf dunia.

Perkongsian berkenaan turut mengukuhkan rekod cemerlang DKSH di rantau ini, termasuk kerjasama berjaya dengan Reckitt di Vietnam dan Thailand, di mana DKSH menyokong Reckitt melalui perkhidmatan pengembangan pasaran sepenuhnya. Ia juga melibatkan kerjasama berterusan DKSH Malaysia Consumer Goods dengan Mead Johnson Nutrition, anak syarikat lain di bawah Reckitt.

Pengurus Besar Malaysia dan Singapura Reckitt, Ankur Chaudhary berkata, pihaknya gembira dapat bekerjasama dengan DKSH Malaysia yang mempunyai keupayaan pengedaran kukuh serta kepakaran dalam sektor penjagaan kesihatan, sekali gus menjadikannya rakan kongsi yang dipercayai.

“Perkongsian ini menyokong misi kami untuk memastikan jenama kami lebih mudah diakses, di samping memastikan rakyat Malaysia terus bergantung kepada penyelesaian kesihatan dan kebersihan kami yang dipercayai setiap hari,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Healthcare dan Ketua Kepimpinan Negara Malaysia DKSH, Sandeep Tewari berkata, pihaknya berbangga dapat mengembangkan kerjasama sedia ada dan berjaya dengan Reckitt, peneraju global dalam kesihatan dan kebersihan pengguna.

“Dengan memanfaatkan rangkaian komersial DKSH yang luas, kepakaran mendalam serta kecemerlangan logistik, kami berhasrat memacu pertumbuhan mampan, meluaskan jangkauan pasaran Reckitt dan mewujudkan impak bermakna kepada profesional kesihatan serta pengguna,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua pihak komited untuk meningkatkan kecekapan operasi, mempercepatkan pengembangan pasaran dan memacu hasil kesihatan yang lebih baik untuk pengguna di seluruh Malaysia, selaras dengan tujuan bersama syarikat bagi memperkayakan kehidupan orang ramai dan memajukan penjagaan kesihatan untuk semua.