Tingkat literasi kewangan peribadi pelajar UiTM Kampus Rembau
Program pengajaran kolaboratif bersama pihak industri, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
KUALA LUMPUR, 17 Disember 2025 – Menyedari ramai golongan graduan yang kekurangan kemahiran kewangan peribadi asas yang boleh membawa kesan ketara kepada individu dan masyarakat, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Rembau melaksanakan program pengajaran kolaboratif bersama pihak industri seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Pengajaran Kolaboratif (CT), yang juga dikenali sebagai pengajaran koperatif atau pengajaran berpasukan, merujuk kepada pendekatan pengajaran yang melibatkan pakar dari dalam dan luar universiti.
Program sebegini merentasi disiplin bersama pengamal industri, dengan kerjasama untuk mendidik, membimbing, memudahkan serta melatih kumpulan pelajar bagi memperkasa pembelajaran kendiri pelajar.
Pendekatan pengajaran kolaborasi itu tidak terhad kepada aspek penyampaian semata-mata, malah turut menggabungkan pembangunan kandungan dan penilaian. UiTM Kampus Rembau, dengan kerjasama pelbagai fakulti termasuk Fakulti Pengurusan & Perniagaan, sedang menggalakkan pelaksanaan program sedemikian dengan menerajui usaha mendemokrasikan pendidikan kewangan.

Program CT yang berlangsung di UiTM Rembau itu dilaksanakan dengan kerjasama KWSP serta sebuah Kumpulan Minat Khas (SPECIAL INTEREST GROUP, SIG) di bawah Fakulti Pengurusan & Perniagaan iaitu Entrepreneurial Management & Leadership Development (EMLD).
Penganjuran program berkenaan disifatkan tepat pada masanya ketika peralihan demografi yang berkembang pesat, pertumbuhan ekonomi serta pendigitalan perkhidmatan kewangan.
Literasi Kewangan Peribadi Keperluan Graduan Kini
Program literasi kewangan peribadi berkenaan turut dilihat amat diperlukan oleh mahasiswa seiring kemunculan cabaran dan peluang baharu dalam dunia pekerjaan, di mana literasi kewangan kini melangkaui aspek belanjawan dan simpanan asas.
Setiap mahasiswa, menurut penganjur, perlu diperkasakan bagi membina masyarakat yang berdaya tahan kewangan untuk menempuh dunia kewangan yang semakin kompleks, termasuk dalam mengurus perbelanjaan, merancang persaraan dan melindungi diri daripada penipuan.
Lebih separuh daripada graduan dilaporkan memasuki alam dewasa tanpa sebarang pendidikan kewangan formal, sekali gus menyebabkan trauma kewangan dalam kalangan generasi muda apabila berhadapan dengan realiti dunia pekerjaan sebenar.
Dalam program itu, KWSP turut menampilkan perkhidmatan pembukaan akaun untuk mahasiswa serta kemudahan kepada warga UiTM Kampus Rembau bagi menyelenggara akaun KWSP sedia ada mereka.

Wakil KWSP menjelaskan bahawa permulaan pekerjaan pertama merupakan detik penting dalam kehidupan graduan, bukan sahaja kerana memperoleh gaji sendiri, tetapi juga kerana bermulanya tanggungjawab baharu dalam mengurus kewangan.
Ramai graduan muda sering tertanya-tanya, “Bagaimana saya boleh menyimpan daripada gaji pertama?” dan “Apa cara terbaik supaya gaji bertahan sampai hujung bulan?”.
Hakikatnya, mengurus kewangan peribadi tidak rumit jika tabiat yang betul dibina sejak awal, kata wakil KWSP, Cik Nurul Atiqah binti Azizi, dalam program tersebut.
Rancang Simpanan Jangka Panjang
KWSP turut menegaskan bahawa caruman KWSP bukan sekadar potongan gaji, sebaliknya merupakan simpanan persaraan yang perlu dianggap sebagai pelaburan masa depan. Graduan digalakkan membuat caruman sukarela sekiranya mempunyai lebihan pendapatan kerana lebih awal simpanan dimulakan, lebih besar manfaat faedah kompaun untuk jangka panjang.

Sementara itu, wakil pensyarah Fakulti Pengurusan & Perniagaan mengingatkan bahawa soal utama bukan berapa banyak gaji yang diperoleh, sebaliknya bagaimana ia diuruskan. Menurutnya, walaupun jumlah simpanan kecil, jika dilakukan secara konsisten, ia mampu berkembang menjadi aset yang besar.
Dengan disiplin, perancangan serta sedikit pengorbanan, para graduan berupaya membina masa depan kewangan yang lebih stabil dan bebas daripada tekanan hutang.
