Wira berbaju putih, bukan sekadar petugas

Seorang jururawat bukan sekadar petugas tetapi penjaga maruah pesakit, penghubung komunikasi antara doktor dan keluarga.

Feature Image

DALAM kehidupan seharian, profesion jururawat jarang menjadi perhatian masyarakat. Ketika sihat, mereka bukan siapa-siapa dalam ingatan. Namun apabila demam tinggi menyerang, ketika seorang ayah tidak lagi mampu berdiri atau seorang anak melarat di ICU, jururawatlah insan yang berdiri di sisi katil pesakit saban waktu.

Mereka tidak terkenal di layar perdana tetapi merekalah insan yang memegang tangan pesakit yang ketakutan, menenangkan jiwa yang hampir putus harapan.

Menjadi jururawat bukan hanya memeriksa suhu, memberikan ubat atau menukar balutan. Ia adalah pekerjaan yang menuntut kekuatan mental, fizikal dan rohani. Seorang jururawat bukan sekadar petugas tetapi penjaga maruah pesakit, penghubung komunikasi antara doktor dan keluarga, penyuntik semangat yang sedang merosot, penghibur keluarga yang resah serta penyampai kasih sayang dalam bentuk paling nyata.

Dalam Islam, setiap usaha meringankan penderitaan orang lain adalah amal soleh, bahkan Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat kepada orang lain.” (Hadis Riwayat Ahmad). Jururawat hidup dalam hadis ini setiap hari.

Namun realiti perkhidmatan kesihatan tidak semuanya indah. Ada pesakit yang pernah dimarahi kerana bergerak perlahan, ada nama dipanggil dengan nada tinggi dan kasar dan ada juga jururawat yang kelihatan tidak peka terhadap keuzuran pesakit yang kesakitan.

Sikap sebegini walaupun bukan gambaran keseluruhan, tetap memberi kesan mendalam kepada keluarga. Tidak hairan apabila ada yang memilih hospital swasta demi layanan yang lebih berhemah, lebih empati dan lebih profesional. Pesakit bukan hanya memerlukan rawatan tetapi juga penghormatan sebagai manusia.

Islam menekankan ihsan dalam setiap pekerjaan. Jururawat yang menjaga aurat pesakit dengan teliti walaupun pesakit koma, yang menutup tubuh wanita ketika pemeriksaan, yang meminta izin sebelum menyentuh atau mengalihkan posisi, itu bukan sekadar SOP tetapi ia adalah akhlak yang mulia.

Pesakit yang tidak sedar atau tidak mampu bersuara sangat bergantung pada integriti petugas yang mengurusnya. Menjaga maruah insan yang tidak berdaya merupakan ibadah yang besar pahalanya, meskipun tidak dihargai secara zahir. Bahkan setiap kali jururawat mengangkat pesakit, memberikan minum, menenangkan yang sedang nazak, pahala itu mengalir tanpa disedari.

Di wad, sering terlihat jururawat yang menjadi seperti keluarga kedua. Ada yang berbicara dengan panggilan penuh hormat, lembut dan menenangkan. Ucapan yang baik mampu memberi kekuatan, walaupun hanya sebaris kata.

Senyuman tulus dapat menenangkan hati yang sedang gelisah, dan doa ringkas di sisi pesakit dapat menyuburkan harapan untuk sembuh. Sifat penyayang dan kata-kata baik menjadi ubat tambahan yang tidak dijual di farmasi.

Meskipun begitu, jururawat juga manusia biasa. Ada antara mereka yang menahan penat, tidur tidak cukup, berkejar antara wad dan bilik prosedur. Ada yang meninggalkan anak kecil di rumah demi menjaga anak orang lain di hospital.

Ada yang menyeka air mata ketika pesakit yang dijaga selama berhari-hari akhirnya pergi meninggalkan dunia. Walau bagaimanapun, mereka tetap kembali ke wad dengan semangat baharu kerana amanah terhadap nyawa bukan tugas kecil.

Profesion jururawat tidak wajar dinilai sekadar dari sisi teknikal atau tugasan rutin. Di sebalik uniform putih yang kelihatan biasa, tersimpan sifat sabar, tawakal dan jiwa besar dalam berhadapan dengan pelbagai karenah pesakit.

Jika wujud kelemahan, ia ruang untuk diperbaiki melalui latihan, kesedaran akhlak, komunikasi empati dan budaya menghormati manusia. Jururawat cemerlang bukan hanya pantas dalam prosedur, tetapi lembut tutur kata. Bukan sekadar profesional, tetapi kaya rasa ihsan. Penghargaan wajar diberikan sewajarnya. Manakala pihak perkhidmatan Kesihatan pula, perlu terus meningkatkan mutu layanan berasaskan tuntutan agama, adab dan kemanusiaan.

Ada baiknya setiap individu merenung, berapa ramai yang pulang dari hospital dengan hati penuh syukur kepada petugas kesihatan? Berapa ramai yang melafazkan terima kasih tulus kepada jururawat yang menjaga siang dan malam ketika tubuh tidak berdaya atau ketika seorang ibu menanggung sakit yang panjang?

Wira sejati tidak selalu membawa senjata dan sorakan. Kadangkala wira itu duduk di hujung katil hospital, memeriksa nadi dengan penuh teliti, menyuap ubat dengan kesabaran dan menenangkan pesakit dengan suara lembut penuh harapan.

Mereka tidak menagih penghormatan tinggi, tidak meminta pujian lantang. Memadai dihargai sebagai manusia yang berjuang menjaga nyawa dan maruah pesakit. Saat ujian datang dan kesihatan merosot, jururawatlah yang paling hampir menghulurkan bantuan, meringankan beban, memegang bahu yang sedang lemah dan menjadi saksi perit getir pesakit melawan sakit.

Begitulah wira berbaju putih, hadir sebagai penopang harapan saat kesembuhan dicari. Bukan sekadar petugas tetapi insan berhati besar yang menyambung hayat dan keyakinan untuk terus hidup.