Antara nilai tradisi dan kesyukuran
Sejak turun-temurun, sampul hijau kecil itu menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Malaysia.

SETIAP kali Syawal menjelma, satu tradisi kecil tetapi penuh makna kembali menghidupkan suasana kunjung-mengunjung di rumah-rumah rakyat Malaysia, sampul hijau duit raya yang diserahkan dengan senyuman dan doa keberkatan. Bagi kanak-kanak, saat menerima sampul itu sering menjadi detik yang paling dinanti sepanjang kunjungan hari raya.
Namun di sebalik kegembiraan tersebut, tradisi duit raya sebenarnya mencerminkan sesuatu yang lebih mendalam tentang masyarakat kita. Ia bukan sekadar pemberian wang saku kepada kanak-kanak tetapi lambang kemurahan hati, perkongsian rezeki dan hubungan kekeluargaan yang erat.
Sejak turun-temurun, sampul hijau kecil itu menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Malaysia. Walaupun jumlah wang di dalamnya sering kali sederhana, maknanya jauh lebih besar. Ia melambangkan doa, keberkatan dan kegembiraan memberi kepada orang lain.
Namun dalam suasana ekonomi masa kini, tradisi yang sederhana ini semakin dilihat dalam konteks yang lebih mencabar. Peningkatan kos sara hidup, komitmen kewangan isi rumah serta ketidaktentuan ekonomi menyebabkan ramai keluarga menjadi lebih berhati-hati dalam menguruskan perbelanjaan musim perayaan. Bagi sesetengah keluarga yang mempunyai saudara-mara yang ramai, menyediakan sampul duit raya memerlukan perancangan kewangan yang lebih teliti.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kos sara hidup terus menjadi antara kebimbangan utama isi rumah di Malaysia. Laporan Household Expenditure Survey 2022 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa purata perbelanjaan bulanan isi rumah meningkat daripada RM4,534 pada tahun 2019 kepada RM5,150 pada tahun 2022, didorong oleh peningkatan kos makanan, perumahan dan pengangkutan.
Pada masa sama, laporan Financial Stability Review oleh Bank Negara Malaysia menunjukkan bahawa nisbah hutang isi rumah negara meningkat kepada sekitar 84.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2025, dengan jumlah hutang isi rumah mencecah kira-kira RM1.67 trilion.
Statistik ini tidak bermaksud masyarakat tidak mampu meraikan hari raya dengan penuh kegembiraan. Namun ia memberi gambaran bahawa dalam keadaan ekonomi yang mencabar, tradisi memberi seperti duit raya memerlukan keseimbangan antara kemurahan hati dan pengurusan kewangan yang bijak.
Secara tradisinya, duit raya sentiasa difahami sebagai satu amalan sukarela yang lahir daripada keikhlasan. Ia bukan kewajipan sosial, apatah lagi satu ukuran kemampuan. Namun seperti banyak tradisi budaya lain, norma masyarakat sedikit demi sedikit boleh mempengaruhi cara ia diamalkan.
Dalam pertemuan keluarga yang besar, ada yang mungkin berasa tekanan halus untuk menyediakan banyak sampul atau bimbang jika jumlah yang diberikan dianggap terlalu kecil. Tanpa disedari, amalan yang sepatutnya melambangkan kemurahan hati boleh berubah menjadi satu bentuk perbandingan sosial.
Di sinilah pentingnya kita kembali kepada makna sebenar tradisi duit raya. Hakikatnya, duit raya tidak pernah diukur berdasarkan jumlah wang di dalam sampul. Ia adalah simbol doa dan keberkatan, tanda ingatan serta kegembiraan berkongsi rezeki ketika Syawal. Pemberian yang kecil tetapi ikhlas sering kali membawa makna yang jauh lebih besar daripada jumlah yang besar tetapi diberikan kerana tekanan sosial.
Apabila kemurahan hati dipandu oleh keikhlasan, tradisi ini kekal inklusif. Setiap orang boleh mengambil bahagian mengikut kemampuan masing-masing tanpa merasakan bahawa adat perayaan perlu mengorbankan kesejahteraan kewangan mereka.
Pada masa sama, tanggungjawab penerima duit raya juga tidak kurang penting, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak. Sambutan hari raya turut menjadi ruang bagi ibu bapa mendidik anak-anak tentang adab dan nilai kehidupan. Kanak-kanak diajar memberi salam kepada orang yang lebih tua, berjabat tangan dan mengucapkan terima kasih atas setiap pemberian yang diterima.
Adab yang kelihatan kecil sebenarnya membawa makna yang besar. Membuka sampul duit raya di hadapan pemberi atau memberi komen tentang jumlah yang diterima boleh secara tidak sengaja menjejaskan keikhlasan pemberian tersebut. Sebaliknya, anak-anak perlu dididik bahawa nilai sebenar hadiah bukan terletak pada jumlah wang, tetapi pada niat baik di sebaliknya.
Amalan ini berkait rapat dengan satu prinsip penting dalam ajaran Islam iaitu syukur. Dalam dunia yang semakin dipengaruhi oleh budaya perbandingan dan materialisme, memupuk rasa syukur dalam diri anak-anak menjadi semakin penting. Tanpa bimbingan yang betul, tradisi perayaan boleh berubah daripada saat menghargai kepada saat membandingkan.
Ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk pemahaman generasi muda tentang duit raya. Apabila anak-anak belajar menerima walaupun jumlah yang kecil dengan penuh kesyukuran, makna sebenar tradisi tersebut dapat dipelihara.
Malah, sesetengah keluarga kini menggunakan duit raya sebagai peluang untuk mendidik anak-anak tentang pengurusan kewangan. Anak-anak digalakkan membahagikan duit raya kepada beberapa bahagian seperti simpanan, perbelanjaan dan sedekah. Dengan cara ini, sampul hijau kecil itu bukan sahaja membawa kegembiraan tetapi juga menjadi pelajaran awal tentang tanggungjawab kewangan dan nilai berkongsi.
Di luar lingkungan keluarga, duit raya juga mencerminkan dinamika sosial yang lebih luas dalam masyarakat Malaysia. Walaupun jumlahnya kecil, pertukaran ini mengeratkan hubungan dan memperkukuh budaya saling mengambil berat antara satu sama lain.
Namun mengekalkan tradisi ini memerlukan keseimbangan. Adat perayaan seharusnya membawa kegembiraan dan mengeratkan hubungan, bukannya mencipta tekanan kewangan atau jangkaan yang tidak perlu. Apabila kemurahan hati berubah menjadi beban sosial, makna sebenar tradisi tersebut boleh terhakis.
Selepas sebulan berpuasa dan bermuhasabah sepanjang Ramadan, Syawal melambangkan satu kemenangan rohani. Ia adalah masa untuk mensyukuri nikmat, memperbaharui hubungan kekeluargaan dan meraikan kebersamaan.
Kemeriahan hari raya tidak perlu diukur melalui jumlah sampul duit raya atau kemewahan sambutan. Sebaliknya, kegembiraan sebenar Syawal terletak pada hubungan kekeluargaan yang diperkukuh, kemaafan yang dipohon dan penghargaan terhadap nikmat yang dimiliki.
Akhirnya, nilai sebenar Syawal bukan pada berapa banyak yang kita beri atau terima tetapi pada sejauh mana kita mampu mengekalkan keikhlasan, kesederhanaan dan rasa syukur terhadap setiap rezeki yang Allah kurniakan.
Mungkin inilah makna paling mendalam di sebalik sampul hijau kecil itu, bahawa satu pemberian yang sederhana boleh membawa makna yang besar apabila disertai dengan keikhlasan, kesyukuran dan kasih sayang sesama insan.

