Enam tahun Pasca-PKP: Mengukuh kelestarian perkhidmatan awam kalis zaman
PKP sebenarnya bertindak sebagai “ujian tekanan” (stress test) terbesar bagi perkhidmatan awam Malaysia, yang menuntut keberanian untuk berubah dalam sekelip mata.

TANGGAL 18 Mac 2020 akan sentiasa terpahat dalam memori kolektif rakyat Malaysia sebagai detik bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Hari ini, menjelang ulang tahun keenam peristiwa bersejarah tersebut, kita bukan sekadar memperingati tempoh ‘berkurung’ yang meresahkan tetapi kita sedang meneliti sebuah transformasi besar yang dicetuskan oleh keterpaksaan.
PKP sebenarnya bertindak sebagai “ujian tekanan” (stress test) terbesar bagi perkhidmatan awam Malaysia, yang menuntut keberanian untuk berubah dalam sekelip mata.
Sebelum 2020, pendigitalan mungkin sekadar agenda di atas kertas yang bergerak secara beransur-ansur, namun pandemik telah memaksa jentera kerajaan beralih ke fasa hibrid sepantas kilat demi memastikan kelangsungan pentadbiran negara.
Evolusi jentera kerajaan daripada tradisional kepada digital ini bukan satu pencapaian kecil. Walaupun pendigitalan sektor awam telah bermula lebih tiga dekad lalu, momentum yang terhasil sejak 2020 menunjukkan peningkatan yang luar biasa.
Jika pada tahun 2020 perkhidmatan dalam talian secara End-to-End (E2E) hanya berada pada tahap 40 peratus, angka tersebut melonjak kepada 75.78 peratus menjelang akhir tahun yang sama, melibatkan 2,813 daripada 3,712 perkhidmatan Persekutuan.
Kejayaan ini, di mana 66.67 perats kementerian mencapai tahap E2E melebihi 90 peratus, membuktikan bahawa birokrasi Malaysia mampu menjadi lincah (agile) apabila keadaan mendesak.
Kita kini melihat bagaimana urusan kaunter yang dahulunya sesak dan memenatkan, mula diringkaskan melalui aplikasi yang berpaksikan rakyat, sekali gus meletakkan Malaysia di landasan tepat untuk mencapai kedudukan ke-12 dalam Online Service Index (OSI) menjelang 2025.
Seiring dengan transformasi sistem, sumber manusia perkhidmatan awam turut mengalami anjakan paradigma yang paling ketara dalam sejarah moden kita. Kita belajar melalui fasa sukar tersebut bahawa ‘penjawat awam’ bukan sekadar mereka yang duduk di sebalik meja di pejabat tetapi juga para petugas barisan hadapan yang mempertaruhkan nyawa demi keselamatan sejagat.
Pengurusan bakat kini tidak lagi boleh bersifat kaku atau terkongkong oleh tradisi semata-mata. Kaedah Bekerja Dari Rumah (BDR) dan kelonggaran waktu kerja yang diperkenalkan sewaktu PKP seharusnya tidak dipandang sebagai satu keistimewaan sementara, sebaliknya dijadikan asas kepada budaya kerja moden yang mementingkan output dan produktiviti berbanding kehadiran fizikal.
Dari segi pengajaran dan pembelajaran pula, pelaksanaan PKP telah menjadi pemangkin kepada transformasi yang mendadak dalam kaedah penyampaian pengajaran dan pembelajaran. Pelaksanaan Open and Distance Learning (ODL) atau pembelajaran dalam talian menjadi satu-satunya kaedah yang membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran diteruskan pada ketika itu.
Walaupun pada peringkat awal ramai yang menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan kaedah ini, khususnya dalam penggunaan platform seperti Google Meet, Zoom dan Microsoft Teams yang masih asing ketika itu, keadaan tersebut akhirnya berubah dengan pantas apabila semua pihak mula menyesuaikan diri dengan persekitaran pembelajaran digital.
Kini, proses pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian masih diteruskan dan kadangkala menjadi pilihan yang sesuai dalam situasi tertentu. Pendekatan ini menawarkan fleksibiliti dari segi masa dan lokasi, di samping membolehkan pelbagai bahan pengajaran dikongsikan secara lebih interaktif melalui platform digital, selagi terdapat capaian internet yang stabil.
Secara keseluruhannya, situasi ini membuktikan bahawa PKP telah mempercepatkan integrasi teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran, yang bukan sahaja memudahkan penyampaian ilmu, malah membuka ruang kepada pendekatan pembelajaran yang lebih fleksibel, inklusif dan berpusatkan pelajar.
Menoleh ke belakang, pengajaran terbesar daripada PKP ialah kepentingan kesiapsiagaan dan simpanan strategik, sama ada dari segi bekalan perubatan mahupun dana kecemasan negara. Kita tidak boleh lagi terbuai dengan zon selesa atau menganggap kestabilan hari ini akan kekal selamanya.
Kegagalan merancang adalah merancang untuk gagal. Justeru, pengurusan krisis di masa hadapan mestilah bersifat proaktif dan berpaksikan data (data-driven). Setiap keputusan yang diambil oleh kerajaan haruslah didasari oleh analisis yang tepat agar impaknya tidak membebankan rakyat secara semberono.
Pengalaman lalu menuntut kita untuk membina sebuah perkhidmatan awam yang kalis zaman atau future-proof, dengan mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan automasi bagi mengurangkan ketirisan serta meningkatkan ketelusan.
Hala tuju kita selepas enam tahun ini sangat jelas, kita mahukan jentera awam yang bukan sahaja cekap dalam keadaan aman tetapi kental dan bersedia mendepani sebarang bentuk krisis global. Kepada para penjawat awam yang menjadi tulang belakang negara, teruskanlah momentum inovasi ini.
Jangan sesekali kembali kepada cara lama yang lembap hanya kerana ancaman pandemik sudah berlalu kerana integriti dan kepantasan anda adalah penentu utama kepercayaan rakyat.
Kepada rakyat Malaysia, sokonglah usaha transformasi digital ini dengan sikap yang adaptif kerana ia adalah pemangkin kepada status negara maju yang sebenar. Paling utama, jadikanlah semangat “Kita Jaga Kita” sebagai falsafah hidup bermasyarakat yang kekal, bukan sekadar slogan bermusim.
Enam tahun lalu, kita belajar bahawa dalam jarak ada keselamatan. Hari ini, dalam penyatuan tekad dan pembaharuan sistem, kita akan menemui kejayaan yang hakiki.

