Garapan idea berdasarkan pengalaman hidup, keberkesanan naratif telefilem raya
Naratif penceritaan yang berdasarkan pengalaman hidup ini tidak terkecuali apabila kita membicarakan tentang telefilem yang berkisarkan suasana hari raya.

SEPERTI kita selalu mendengar ayah dan ibu bercerita berkenaan pengalaman mereka ketika menghayunkan langkah menelusuri kehidupan, begitulah juga perihal penyusunan ataupun garapan idea si penulis skrip dalam membangunkan naratif penceritaan.
Dengan penuh gaya menyusun kata bagi tujuan perkongsian pengalaman kepada anak-anaknya, yang pasti di penghujung pengkisahan haruslah mempunyai unsur pengajaran yang dititipkan sebagai pegangan hidup.
Percampuran antara pengalaman sendiri mahupun pengamatan berdasarkan pengalaman orang lain diadun sebaiknya dengan permulaan kisah, babak pertengahan dan pengakhiran yang mengungkap sebuah kesimpulan yang dikehendaki. Ketika proses penceritaan tersebut, harus juga diselitkan penjelasan yang terperinci bagi menimbulkan kesan visual tertentu dalam menterjemahkan struktur jalan cerita dan konflik yang wujud.
Begitulah perihal yang berlaku ketika kita mendengar cerita dari pengalaman ayah dan ibu dalam menyediakan proses pembelajaran melalui pengalaman mereka. Pengalaman dari zaman kanak-kanak, remaja dan alam dewasa yang bersesuaian dikongsi kepada anak-anak dalam mendepani perjalanan kehidupan dengan harapan agar menjadi lebih baik.
Niatnya cuma satu iaitu berkongsi sejarah kehidupan sebagai contoh terbaik untuk dijadikan pedoman dalam meniti hari mendatang. Penyusunan idea harus mengikut tahap-tahap tertentu bagi menimbulkan kesan yang diinginkan.
Dengan kata lain, peralihan daripada satu mesej ke satu mesej yang lain harus diungkap dengan teliti agar hal yang dibincangkan mudah untuk menyelinap ke sanubari si pendengar. Segala peristiwa penting disusun tertib bagi kefahaman yang sempurna kepada si anak untuk membentuk sudut pandangan visual tersendiri.
Naratif penceritaan yang berdasarkan pengalaman hidup ini tidak terkecuali apabila kita membicarakan tentang telefilem yang berkisarkan suasana hari raya. Pelbagai corak penceritaan yang mengungkap seribu persoalan kehidupan terutama berkaitan isu kekeluargaan yang wujud mengikut peredaran zaman. Ini bersesuaian dengan suasana hari raya yang banyak mengajak masyarakat berfikir mengenai harga bagi sebuah hubungan kekeluargaan, persahabatan dan dikalangan anggota masyarakat amnya.
Begitulah hadirnya idea bagi si penulis bagi menghasilkan telefilem yang bermutu dalam menyantuni cita rasa masyarakat. Pengalaman merupakan salah satu sumber terbaik dalam menyantuni kehendak dan keperluan penonton terutamanya dalam penerbitan telefilem yang bertemakan perayaan khususnya hari raya.
Idea yang dihasilkan melalui pengalaman akan lebih menyentuh perasaan dan menjelmakan konflik yang kuat kerana hal ini dijalin dengan segala yang dirasai oleh si penulis. Pengalaman diluahkan bukan hanya sekadar sebuah cerita malah dengan sentuhan emosi dengan susunan visual gambaran sebenar bagi mencerna pemahaman kepada khalayak penonton. Malah kemungkinan pengalaman tersebut juga dialami oleh insan lain yang mirip dengan konteks cerita yang disampaikan dalam suasana sambutan hari raya.
Dalam memperkatakan pengalaman sebagai sumber inspirasi dalam penceritaan telefilem hari raya, secara amnya pengalaman terbahagi kepada dua iaitu pengalaman sendiri dan pengalaman orang lain yang di ceritakan atau diungkap berdasarkan pemerhatian penulis. Kedua-duanya mempunyai kuasa penceritaan tersendiri dari sudut penghayatan dan kefahaman dalam membawakan sudut pandangan yang diinginkan.
Pengalaman sendiri mungkin lebih mudah untuk diperjelaskan dari sudut emosi dan perjalanan naratif berbanding pengalaman dari pihak lain. Namun, penulis harus bijak dalam mentafsirkan pengalaman sendiri dalam bentuk naskah kreatif kerana bimbang naratif yang disusun berkemungkinan terdapat banyak hubung kait yang menyulitkan penjelasan berhubung mesej yang cuba disampaikan.
Justeru, pemilihan idea teras harus diambil peduli dalam membina naratif agar konflik yang dijelmakan jelas terpapar. Perlu ada tafsiran mesej yang ingin disampaikan terlebih dahulu agar jalan cerita mudah untuk dipertontonkan kerana kepadatan informasi akan memungkinkan penonton membuat andaian awal yang bakal membawa intuisi negatif tontonan.
Sebagai contoh, seandainya jalan cerita berkisarkan konflik kekeluargaan sebenar yang berlaku secara pengalaman peribadi, berkemungkinan akan sedikit terikat antara perwatakan sedia ada dengan watak yang dicipta boleh jadi dikuasai dengan pandangan peribadi yang terlalu mendalam berdasarkan pengalaman yang ditempuh.
Namun, ia tetap bergantung pada daya kreativiti dan tahap sensitiviti penulis terhadap pengalaman sendiri dalam membina struktur yang menarik. Dengan kata mudah, hal ini mampu untuk menjayakan sesebuah persembahan kerana pengalaman tersendiri dikupas dengan terperinci berdasarkan pembuktian bersandarkan perjalanan kehidupan yang pernah dialami.
Berbeza dengan penceritaan berdasarkan pengalaman pihak lain.
Walaupun agak sukar untuk menyusun idea awal dalam membina naratif namun penulis tidak terlalu terikat dengan pengalaman peribadi malah mampu untuk menghidupkan jalan cerita dengan daya imaginasi sendiri tanpa perlu berlandaskan realiti sebenar yang dilalui oleh pihak berkenaan.
Secara jelas, penulis akan lebih terbuka dalam menciptakan plot dan konflik yang dirasakan sesuai bagi menghubungkan watak dan jalan cerita. Kesepaduan antara pengalaman berdasarkan pemerhatian dan daya pemikiran kreatif penulis dalam mengembangkan struktur jalan cerita akan meleraikan persoalan kehidupan dengan lebih segar dan menarik.
Sebagai contoh, melalui pemerhatian atau perkongsian berkenaan sesuatu keadaan yang dilalui oleh pihak lain sebagai sumber idea dalam menghasilkan telefilem hari raya. Penulis harus mendalami perkara pokok yang berlaku sebagai asas dalam membina sebuah cerita. Pemahaman yang mendalam dalam konteks perjalanan kisah dan mesej yang cuba digarap harus seiring dengan olahan kreatif penceritaan.
Pengalaman orang lain yang mungkin boleh dianggap sebagai kisah yang biasa berlaku dalam masyarakat, namun mampu dijadikan pengkisahan yang mencuri perhatian dengan sokongan sudut pandangan yang berbeza dalam olahan skrip. Ternyata keberkesanan dalam memilih sudut pandangan tidak terbatas dengan perkara yang berlaku semata-mata. Malah, kredibiliti watak akan turut teruji dengan pelbagai tafsiran yang berkaitan isu yang dibawakan.
Walau apa pun yang cuba disampaikan melalui persembahan telefilem raya sama ada bersumberkan pengalaman sendiri atau pengalaman pihak lain, keupayaan penulis skrip dalam menzahirkan pengajaran adalah amat didambakan. Kekalutan yang berlaku harus diberikan natijah yang berwibawa dalam membentuk pemikiran penonton demi menyemai akhlak dan perilaku yang baik dalam mendepani sesuatu konflik masyarakat terutamanya yang mengungkap persoalan kekeluargaan.
Sesungguhnya tiada yang sempurna dalam penghasilan karya seni kreatif namun kedua-dua gabungan tersebut mampu membawakan naratif penceritaan menarik dan penyampaian mesej yang berkesan kepada penonton.
Letakkan tanggungjawab untuk mendidik masyarakat melebihi populariti yang bakal diperoleh hasil daripada nukilan yang dipaparkan. Hal ini membawa harapan, bahawa kesungguhan untuk menyemai jiwa yang positif melalui telefilem mampu memberikan wajah dan suasana baharu dalam industri kreatif jika dikelolakan dengan baik.
Jadikanlah telefilem raya sebagai pencetus inspirasi yang memberi impak kepada masyarakat melalui karya yang bermutu tinggi yang memiliki keindahan tema, pengisian yang bermanfaat, watak untuk dicontohi dan mesej yang mengangkat martabat bangsa, agama dan negara. Bukan sahaja berbaloi untuk ditonton malah menjanjikan suatu yang memberi pengalaman bermakna kepada pelbagai lapisan masyarakat.

