Penjagaan kulit ikut keperluan, bukan trend
Kulit manusia secara asasnya terbahagi kepada lima kategori utama iaitu normal, kering, berminyak, kombinasi dan sensitif.

DUNIA kecantikan hari ini bergerak sangat pantas. Di media sosial seperti TikTok, kita sering disajikan dengan rutin penjagaan wajah yang kompleks atau penggunaan bahan aktif kuat yang menjanjikan kulit ‘glass skin’. Namun, sebagai pengguna, sejauh manakah kita benar-benar memahami sifat kulit sendiri sebelum mencuba pelbagai produk tular tersebut?.
Pakar dermatologi sering mengingatkan bahawa kesilapan paling besar adalah mengikuti trend tanpa memahami jenis kulit. Kulit manusia secara asasnya terbahagi kepada lima kategori utama iaitu normal, kering, berminyak, kombinasi dan sensitif.
Setiap satunya mempunyai keperluan kelembapan yang berbeza. Kulit berminyak, misalnya, berpunca daripada pengeluaran minyak (sebum) berlebihan yang boleh menyumbat liang pori manakala kulit kering pula sering kekurangan ejen pelembap semula jadi.
Langkah pertama yang paling berkesan bukan bermula di kaunter kosmetik tetapi di depan cermin rumah anda. Cuba bersihkan wajah dan biarkan tanpa sebarang produk selama dua jam. Adakah ia mula berkilat (berminyak)? Terasa tegang dan pedih (kering)? Atau hanya berminyak di zon-T (kombinasi)?. Pemerhatian ringkas ini adalah kunci utama sebelum anda melaburkan wang untuk produk yang mungkin hanya akan merosakkan skin barrier (lapisan perlindungan kulit).
Satu hakikat yang sering diabaikan juga ialah kulit kita memerlukan masa untuk menunjukkan keserasian dengan sesuatu produk. Secara biologi, kulit manusia melalui kitaran pembaharuan sel semula jadi yang memakan masa sekitar 28 hari.
Oleh itu, sesuatu produk perlu diberi masa sekurang-kurangnya satu hingga dua kitaran sel (4 hingga 8 minggu) sebelum penilaian muktamad dibuat. Justeru, anda dinasihatkan untuk membeli produk dalam saiz kecil atau pek percubaan (trial pack) terlebih dahulu. Langkah ini membolehkan anda menguji keserasian produk tanpa komitmen jangka panjang sekiranya berlaku iritasi.
Namun, berhati-hatilah dengan penggunaan produk yang terlalu drastik. Sering kali, pengguna berasa “serasi” dengan produk tertentu kerana ia memberikan hasil yang sangat cepat tetapi masalah selalunya timbul apabila kulit mula menunjukkan kebergantungan yang melampau iaitu di mana sebaik sahaja penggunaan produk tersebut dihentikan, kulit terus meradang atau muncul jerawat yang teruk.
Inilah yang dikenali sebagai rebound effect. Perlu ditegaskan bahawa berlakunya fenomena ini bukanlah bermaksud produk tersebut tidak serasi dengan kulit anda, sebaliknya ia merupakan isyarat bahawa kulit sedang mengalami kejutan akibat penggunaan formulasi yang terlalu agresif atau kekerapan yang berlebihan sehingga menjejaskan fungsi perlindungan kulit semula jadinya. Apabila lapisan pelindung ini terganggu, kulit hilang keupayaan untuk stabil secara mandiri.
Untuk mengelakkan komplikasi ini, sebarang produk penjagaan kulit terutamanya yang mengandungi bahan aktif seharusnya diperkenalkan secara berperingkat ke dalam rutin harian. Mulakan dengan kekerapan yang rendah bagi membolehkan kulit membina daya tahan dan menyesuaikan diri dengan formulasi baharu secara semula jadi tanpa “dipaksa”.
Secara keseluruhannya, keberkesanan penjagaan kulit bergantung kepada keserasian antara produk dan jenis kulit individu. Memahami ciri-ciri kulit sendiri, memilih produk dengan bijak dan memberi masa yang cukup untuk kulit bertindak balas akan membantu rutin harian menjadi lebih selamat.
Ingatlah, penjagaan kulit yang berkesan bukanlah tentang mengikuti trend semata-mata tetapi tentang menghormati keseimbangan unik kulit kita sendiri. Beri masa kepada kulit untuk “bernafas” kerana kulit yang sihat memerlukan konsistensi dan kesabaran, bukannya paksaan.
Namun, sekiranya masalah kulit anda berlarutan atau menjadi semakin parah, langkah terbaik adalah mendapatkan khidmat nasihat profesional daripada pakar dermatologi bertauliah.

