Ooi Tianjia, Ng Xin Yi muncul pemenang Idol Bintang Baharu ToYm

Pertandingan anjuran Thousands of Years Media melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang pada malam kemuncak baru-baru ini.

ToMY-764

KUALA LUMPUR, 18 Mei 2025 – Pertandingan Idol Bintang Baharu ToYm anjuran Thousands of Years Media (ToYm) melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang pada malam kemuncak yang berlangsung di Andaman Grand Ballroom di sini baru-baru ini.

Ooi Tianjia, 17, muncul sebagai Juara Idol Lelaki selepas menampilkan persembahan memukau yang menggabungkan bakat nyanyian dan tarian, manakala Ng Xin Yi, 23, dinobatkan sebagai Juara Idol Perempuan serta membawa pulang Anugerah Paling Popular iaitu menjadikannya satu-satunya peserta dengan dua kemenangan pada malam tersebut.

Kedua-dua pemenang utama menerima wang tunai masing-masing RM30,000 dan RM40,000, kontrak bakat bersama ToYm serta trofi eksklusif.

Persembahan Ooi memikat juri menerusi balada ciptaan sendiri diiringi petikan gitar dan tarian Latin rancak, manakala Ng Xin Yi memukau hadirin dengan gaya tarian moden serta keyakinan pentas yang tinggi.

Pengasas Thousands of Years Media dan SunStrong Entertainment, Jment Lim dalam ucapannya menyatakan penghargaan terhadap sambutan luar biasa terhadap drama mikro sulung terbitan ToYm, In Character.

Beliau turut mengumumkan perancangan menerbitkan lebih lima siri drama mikro baharu dalam bahasa Cina dan Melayu dalam usaha memperkasa kandungan asli tempatan dan mengetengahkan bakat baharu.

Sebanyak 24 finalis bersaing dalam tiga segmen utama iaitu persembahan bakat, lakonan berkumpulan dan sesi soal jawab spontan yang direka bagi menyerlahkan kualiti dan keunikan setiap peserta.

Mereka dibahagikan kepada empat kumpulan dan mengemukakan pelbagai bentuk persembahan termasuk video pengenalan diri, cabaran Golden 10 Seconds serta lakonan berdurasi 10 minit.

Acara yang berlangsung selama lima jam itu dikendalikan oleh hos berpengalaman, Owen Yap dan Chrystina Ng, yang turut menjalankan sesi temu bual spontan bagi menilai ketangkasan pemikiran serta keperibadian peserta.

Naib Juara Pertama dimenangi oleh Aeron Jeszel Iskandar (Lelaki) dan Sherlyn Poh (Perempuan), masing-masing membawa pulang RM20,000, kontrak bakat dan trofi. Tempat ketiga dimenangi Chee Lim Peng dan Bell (Nabila Balqis) yang masing-masing menerima RM15,000.

Tiga peserta setiap kategori menerima Anugerah Saguhati dengan wang tunai RM5,000. Antara penerima anugerah khas ialah Lee Yee Keat atau Purple YK yang turut menerima Anugerah Bakat Terbaik bernilai RM10,000 dan Kayson Loh Zhong Kai dengan Anugerah Personaliti Media Sosial Paling Popular, juga bernilai RM10,000.

Acara turut diserikan dengan persembahan bertenaga daripada penyanyi versatil Fatimah Noryyah yang mempersembahkan lagu-lagu Gemilang, Jumping Machine dan This Is Me yang menyemarakkan suasana malam kemuncak dan disambut meriah oleh para hadirin.

Kesemua 24 finalis kembali ke pentas bagi menutup acara menerusi segmen penghargaan yang penuh emosi dan sorakan gemuruh, sekali gus menandakan berakhirnya satu detik bersejarah dalam dunia hiburan tempatan.

ToYm terus komited mencungkil dan membina bakat baharu dalam industri seni, serta memainkan peranan penting dalam memperkukuh identiti penceritaan Malaysia di persada serantau.