Saliza Abdullah ketuai delegasi NAWEM ke Forum Usahawan Wanita BRICS di Moscow
Forum yang dianjurkan BRICS Women’s Business Alliance menghimpunkan lebih 1,500 peserta dari 60 negara yang bertujuan memperkasa ekonomi wanita di peringkat global.

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) — Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Usahawan Wanita Malaysia (NAWEM), Saliza Abdullah mengetuai delegasi Malaysia pada Forum Keusahawanan Wanita BRICS ke-2 yang berlangsung di Moscow, Rusia dari 15 hingga 16 Mei lepas.
Forum yang dianjurkan BRICS Women’s Business Alliance (WBA) itu menghimpunkan lebih 1,500 peserta dari 60 negara yang bertujuan memperkasa ekonomi wanita di peringkat global.
Penyertaan Malaysia buat kali pertama itu susulan kemasukan rasmi negara sebagai negara rakan BRICS pada Oktober 2024, sekali gus mencerminkan peranan Malaysia yang semakin meluas dalam dialog ekonomi antarabangsa.
Saliza, yang juga Pengarah Urusan Kumpulan BG Capital Holdings menyampaikan ucapan penting mengenai peranan Zon Ekonomi Khas serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang diterajui wanita dalam pembangunan negara.
Beliau turut menekankan keperluan kerjasama rentas sempadan bagi memperkukuh jaringan ekonomi wanita serta mempercepatkan pertumbuhan yang inklusif dan mampan.
Selain Saliza, delegasi Malaysia turut disertai empat lagi tokoh usahawan wanita iaitu:
Naib Presiden (Pentadbiran) NAWEM dan Pengarah Urusan Q3 Management Solutions, Emiliawati Zainol yang berkongsi pendekatan Malaysia dalam kelestarian inklusif, kepimpinan ESG dan pembangunan bakat masa depan.
Pengarah Urusan Global Edge Pharma, Bharati Suresh Chand pula membincangkan kerjasama kesihatan dalam kalangan negara BRICS serta sistem penjagaan kesihatan dua peringkat di Malaysia.
Pengarah Wilayah Hadid International Services, Aida Rohana yang menyumbang kepada perbincangan mengenai penerbangan, logistik dan keterhubungan di rantau Asia Pasifik, manakala Ketua Pegawai Eksekutif Tanoti Sdn Bhd, Jacqueline Fong Yean Yee menekankan peranan industri kreatif dan perusahaan sosial dalam memacu inovasi yang inklusif.
Forum itu turut memberi fokus kepada perkembangan hubungan perniagaan antara BRICS dan negara-negara rakan, termasuk Malaysia dalam pelbagai sektor seperti perdagangan, teknologi, kesihatan dan pembangunan lestari.
Penubuhan kategori baharu negara rakan BRICS adalah hasil daripada Sidang Kemuncak BRICS di Kazan pada 2024, yang menyaksikan sembilan negara iaitu Belarus, Bolivia, Cuba, Kazakhstan, Malaysia, Nigeria, Thailand, Uganda dan Uzbekistan yanag diiktiraf sebagai rakan strategik.
Langkah ini menunjukkan komitmen BRICS untuk menggiatkan lagi interaksi dan kerjasama dengan negara-negara yang berminat menyertai pembangunan ekonomi pelbagai hala.
Beberapa keutamaan kerjasama yang dikenal pasti termasuk pengukuhan jaringan perniagaan, pembangunan kapasiti perusahaan, integrasi dengan badan antarabangsa lain, serta pemerkasaan sektor swasta wanita sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi.
Susulan penyertaan aktifnya dalam forum di Moscow, Saliza turut menerima jemputan rasmi sebagai ahli panel dalam Forum Ekonomi Antarabangsa St. Petersburg ke-28 (SPIEF 2025) yang berlangsung dari 18 hingga 21 Jun ini di bawah naungan Presiden Persekutuan Rusia.
Beliau dijadualkan menyertai sesi bertajuk ‘BRICS and Partners: Shaping a Shared Business Future’ bersama pemimpin dan pakar ekonomi dari seluruh dunia.
SPIEF diiktiraf sebagai platform penting menangani cabaran ekonomi global, khususnya dalam kalangan pasaran sedang pesat membangun, dengan matlamat menghasilkan penyelesaian inovatif dan projek berskala besar yang mampu menangani ketidaktentuan ekonomi semasa.
Saliza berkata selepas pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) pada SPIEF 2025, NAWEM secara rasmi akan menjadi Regional Chapter kepada BRICS WBA bagi rantau Malaysia.
“Sebagai Regional Chapter, NAWEM akan menganjurkan pelbagai program untuk menggalakkan perdagangan melibatkan syarikat yang dikendalikan oleh wanita antara Malaysia dan negara-negara BRICS. Saya telah dilantik sebagai Chairperson bagi chapter ini dan kami komited untuk memperkukuh kepimpinan wanita dalam ekosistem perniagaan antarabangsa,” kata beliau.
Inisiatif ini dilihat sebagai langkah strategik untuk memperluas akses pasaran bagi usahawan wanita Malaysia di peringkat global, selain memperkukuh kedudukan negara sebagai rakan dagang aktif dalam kerangka BRICS.