Terapi Rahmah pelengkap pendidikan inklusif kanak-kanak khas

Konsep rawatan menyeluruh, berpatutan dan inklusif yang dapat disediakan oleh kerajaan untuk memastikan tiada seorang pun kanak-kanak berkeperluan khas.

Feature Image

DI SEBALIK kemajuan pesat negara, masih wujud kelompok masyarakat yang sering kali terpinggir daripada arus perdana iaitu kanak-kanak berkeperluan khas.

Mereka bukan sahaja memerlukan kasih sayang dan perhatian istimewa tetapi juga akses kepada rawatan serta pendidikan awal yang sesuai dengan keperluan perkembangan mereka.

Kesedaran inilah yang menjadi asas kepada usaha memperkenalkan pendekatan ‘Terapi Rahmah’ iaitu konsep rawatan menyeluruh, berpatutan dan inklusif yang dapat disediakan oleh kerajaan untuk memastikan tiada seorang pun kanak-kanak berkeperluan khas tertinggal dalam mendapat hak pendidikan dan kesihatan yang sewajarnya.

Dalam konteks ini, langkah kerajaan melalui pengumuman Timbalan Perdana Menteri yang merancang menubuhkan tabika khas untuk kanak-kanak autisme di seluruh negara menjelang 2027 melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) adalah satu isyarat besar bahawa isu pendidikan awal kanak-kanak berkeperluan khas kini diberi perhatian serius.

Pengumuman ini bukan sahaja menunjukkan komitmen politik tetapi juga menandakan kesungguhan negara untuk menyediakan ekosistem pendidikan dan terapi yang lebih tersusun.

Terapi Rahmah boleh menjadi pelengkap kepada usaha tersebut. Ia tidak sekadar merujuk kepada rawatan perubatan tetapi mencakupi intervensi menyeluruh seperti terapi pertuturan, terapi carakerja (occupational therapy), terapi muzik, terapi seni, malah intervensi berasaskan alam yang semakin mendapat tempat di peringkat global.

Dengan pendekatan ini, kanak-kanak berkeperluan khas berpeluang mengembangkan potensi diri, meningkatkan kebolehan kognitif, motor dan sosial mereka dalam suasana yang lebih menyeronokkan dan mesra.

Salah satu cabaran besar bagi keluarga B40 dan miskin tegar ialah kos terapi yang tinggi. Rata-rata ibu bapa terpaksa mengeluarkan perbelanjaan mencecah ratusan hingga ribuan ringgit sebulan untuk mendapatkan rawatan profesional bagi anak-anak mereka.

Bagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar, akses kepada pusat terapi hampir mustahil kerana kemudahan tersebut hanya tertumpu di bandar.

Di sinilah konsep Terapi Rahmah menjadi relevan—rawatan berkualiti, ditanggung sebahagiannya oleh kerajaan, agar semua lapisan masyarakat mampu mengaksesnya terutamanya keluarga B40 dan miskin.

Cadangan penubuhan tabika khas Autisme pada tahun 2027 berpotensi menjadi platform utama untuk melaksanakan Terapi Rahmah secara sistematik.

Tabika bukan sahaja boleh berfungsi sebagai pusat pendidikan awal tetapi juga pusat intervensi bersepadu yang menghimpunkan pelbagai pakar di bawah satu bumbung.

Bayangkan sebuah tabika yang dilengkapi bilik terapi pertuturan, ruang aktiviti sensori, sudut muzik dan seni serta kawasan permainan berkonsepkan terapi motor.

Kanak-kanak bukan sahaja belajar abjad dan nombor tetapi turut mendapat intervensi awal yang mampu mengurangkan kesan jangka panjang kecacatan perkembangan.

Di peringkat sosial, Terapi Rahmah mampu membuka ruang kepada penerimaan yang lebih inklusif. Masyarakat sering mempunyai tanggapan salah bahawa kanak-kanak berkeperluan khas sukar untuk dibimbing.

Dengan adanya pusat rasmi yang menggabungkan pendidikan awal dan terapi, stigma ini boleh dihapuskan melalui pendedahan dan penglibatan komuniti.

Program lawatan ibu bapa, latihan sukarelawan serta kerjasama dengan NGO mampu memperluas kesedaran dan membina rangkaian sokongan yang lebih kukuh.

Selain itu, pendekatan ini juga memberi impak ekonomi jangka panjang. Kanak-kanak berkeperluan khas yang menerima intervensi awal lebih berpeluang untuk berdikari apabila dewasa, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kebajikan.

Dalam jangka panjang, kerajaan dapat mengurangkan kos sosial sambil membina masyarakat yang lebih produktif dan inklusif.

Namun, untuk menjadikan Terapi Rahmah satu realiti, kerajaan perlu memastikan perancangan tabika khas menjelang 2027 disokong oleh dasar yang menyeluruh.

Latihan guru dan pakar terapi perlu diperluaskan agar tenaga kerja mencukupi. Infrastruktur perlu dibina bukan sahaja di bandar tetapi juga di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Peruntukan bajet yang konsisten juga penting, kerana tanpa sokongan kewangan, inisiatif murni ini berisiko tinggal sekadar pengumuman.

Kita sedang berada di persimpangan penting dalam sejarah pendidikan khas negara. Terapi Rahmah bukan sahaja mencerminkan nilai prihatin kerajaan terhadap golongan rentan tetapi juga satu pelaburan masa depan untuk membina generasi yang lebih seimbang dan berdaya saing.

Dengan kesungguhan politik, sokongan masyarakat dan kerjasama antara kementerian, visi mewujudkan tabika khas dan pusat terapi bersepadu menjelang 2027 bukan mustahil untuk direalisasikan.

Malaysia mempunyai peluang besar untuk menjadi contoh kepada negara serantau dalam memberikan keadilan sosial kepada kanak-kanak berkeperluan khas.

Jika Terapi Rahmah dapat diinstitusikan sebagai dasar nasional, ia bukan sahaja akan mengubah kehidupan ribuan keluarga tetapi juga menegaskan bahawa negara ini benar-benar mengangkat prinsip Rahmah iaitu kasih sayang, keadilan dan kesejahteraan—dalam pembangunan masyarakatnya.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.