UM cambah minat konservasi marin dalam kalangan pelajar sekolah

Meningkatkan kesedaran peserta mengenai kepentingan pemuliharaan hidupan laut selain memupuk kerjasama generasi muda dengan komuniti setempat dalam usaha kelestarian biodiversiti negara.

Feature Image (4)

KUALA SELANGOR, 18 September – Seramai 50 pelajar tingkatan tiga dan empat dari Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor (KUSESS) serta Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Sabak Bernam (INTESABER), bersama 25 pelajar Program Ekologi dan Biodiversiti Universiti Malaya (UM) menyertai program Sekolah Sahabat Perikanan: Kembara Ekologi Biru di Tanjung Karang baru-baru ini.

Program dua hari bermula pada 3 September itu berlangsung di Kem Laman Cikgu 21 dan Jeti Bagan Sungai Kajang dengan penganjuran Persatuan Ekologi Biodiversiti Universiti Malaya (EcoBio UM) serta kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Selangor.

Penasihat EcoBio UM, Ts. Dr. Noorhidayah Mamat berkata, penganjuran bertujuan meningkatkan kesedaran peserta mengenai kepentingan pemuliharaan hidupan laut selain memupuk kerjasama generasi muda dengan komuniti setempat dalam usaha kelestarian biodiversiti negara.

Hari pertama program menyaksikan siri ceramah oleh pensyarah UM, Dr. Muhammad Rasul Abdullah Halim mengenai kepelbagaian ikan air tawar di Semenanjung Malaysia, diikuti Assoc. Prof. Dr. Amy Then Yee Hui yang membincangkan peranan ikan yu dan pari dalam ekosistem marin. Wakil Jabatan Perikanan, Muhammad Hafiz Mohd Amin pula memperkenalkan fungsi jabatan itu dalam melindungi sumber perikanan negara.

Aktiviti turut diserikan dengan pertandingan innovative pitching yang memberi peluang peserta membentangkan idea kreatif berkaitan pemuliharaan alam sekitar.

Hari kedua lebih berfokus kepada aktiviti lapangan bersama komuniti nelayan seperti melukis corak tanglung, menjahit pukat, belajar proses ikan masin, mendengar taklimat mengenai bot serta sesi pembersihan ikan di Jeti Bagan Sungai Kajang.

Majlis penutup disempurnakan Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Selangor, Noraisyah Abu Bakar yang menegaskan ekosistem laut kini berdepan ancaman pencemaran plastik, penangkapan berlebihan serta perubahan iklim, sekali gus memberi kesan kepada sumber makanan dan biodiversiti negara.

“Generasi muda adalah pemegang amanah masa depan. Penyertaan pelajar sekolah dalam program ini amat penting kerana merekalah yang akan meneruskan perjuangan menjaga kelestarian laut,” katanya.

Program itu turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 14: Kehidupan di Dalam Air dan SDG 13: Tindakan Iklim, melalui pendekatan pendidikan serta penglibatan komuniti setempat.