Cinta dan pengorbanan pasangan pensyarah UiTM tamatkan pengajian PhD bersama

Pasangan pensyarah UiTM Johor membuktikan cinta, pengorbanan dan sokongan bersama mampu membawa suami isteri menamatkan pengajian doktor falsafah bersama-sama.

Feature Image (10)

Oleh: NUR AMANINA OSMAN

KUALA LUMPUR, 18 Disember 2026 – Di sebalik kejayaan menggenggam segulung Ijazah Doktor Falsafah (PhD), tersimpan kisah pengorbanan, kesabaran dan kasih sayang sepasang suami isteri yang membuktikan bahawa kejayaan dalam pendidikan lebih bermakna apabila dikecapi bersama insan tersayang.

Pasangan pensyarah kanan daripada Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor, Kampus Segamat, Dr. Suzana Hassan dan Dr. Muhamad Kodri Kholib Jati, berjaya menamatkan pengajian Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA), hasil sokongan dan komitmen berterusan antara satu sama lain.

Kisah mereka bermula ketika kedua-duanya berkenalan semasa menuntut di peringkat Diploma di UiTM Dungun, sebelum mendirikan rumah tangga pada 2011. Mereka juga dikurniakan tiga cahaya mata, iaitu dua perempuan dan seorang lelaki.

Namun, perjalanan melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi apabila kedua-duanya perlu mengimbangi tanggungjawab sebagai pensyarah, pasangan suami isteri dan ibu bapa.

Antara cabaran terbesar yang terpaksa dihadapi ialah masa bersama anak-anak yang perlu dikorbankan demi menyelesaikan pengajian. Di sebalik tuntutan akademik dan tanggungjawab keluarga, mereka perlu saling memahami serta memberikan ruang kepada pasangan untuk terus berusaha mencapai matlamat masing-masing.

Bagi pasangan ini, kejayaan bukanlah tentang siapa yang lebih dahulu menamatkan pengajian, sebaliknya tentang bagaimana mereka mampu berjalan seiring sehingga ke garisan penamat bersama.

“Untuk sama-sama belajar, bukan tentang siapa yang habis dulu tetapi sama-sama membantu untuk menamatkan bersama,” sedikit nasihat yang dikongsikan oleh Dr. Suzana dan Dr. Muhamad Kodri tentang sokongan dan dorongan dalam hubungan

Menariknya, bagi pasangan ini, antara perkara paling romantik yang pernah dilakukan bersama bukanlah percutian mewah atau hadiah istimewa, sebaliknya menulis tesis bersama-sama.

Di sebalik helaian penulisan akademik, terselit pengorbanan, perbincangan dan semangat untuk melihat pasangan masing-masing berjaya. Pengalaman itu menjadi bukti bahawa kasih sayang bukan sekadar diluahkan melalui kata-kata, tetapi turut diterjemahkan melalui tindakan dan kesanggupan menghadapi kesukaran bersama.

Mengulas mengenai nasihat kepada pasangan yang bercadang menyambung pengajian, mereka menekankan kepentingan menyusun keutamaan dan menyelesaikan tanggungjawab satu demi satu, khususnya dalam memastikan kasih sayang keluarga terus terpelihara.

Menurut mereka, setiap individu mempunyai cabaran yang berbeza. Oleh itu, pasangan perlu saling membimbing, memahami keadaan masing-masing serta memberikan sokongan sepanjang perjalanan pengajian.

Doa dan restu pasangan serta ibu bapa juga merupakan antara perkara penting yang mampu menjadi sumber kekuatan ketika berdepan kesukaran.

Kisah Dr. Suzana dan Dr. Muhamad Kodri membawa satu pengajaran besar kepada kita semua bahawa kejayaan tidak semestinya dicapai melalui perjalanan bersendirian. Dalam sesebuah rumah tangga, sokongan, pengorbanan dan persefahaman mampu menjadi kekuatan untuk mencapai impian bersama.

Kejayaan mereka turut menjadi peringatan bahawa di sebalik gelaran dan pencapaian akademik, terdapat tanggungjawab serta pengorbanan insan tersayang yang tidak seharusnya dilupakan.

Sementara itu, dalam perancangan akan datang di fakulti, usaha turut diberikan kepada pelajar yang disasarkan untuk menamatkan pengajian mengikut tempoh yang ditetapkan (GOT).

Kisah pasangan ini membuktikan bahawa cinta bukan sekadar tentang berkongsi kebahagiaan, tetapi juga tentang kesanggupan menemani, menyokong dan menguatkan satu sama lain ketika perjalanan menjadi sukar.

Kerana pada akhirnya, kejayaan yang paling indah bukanlah apabila seseorang tiba dahulu, tetapi apabila kedua-duanya berjaya sampai bersama-sama.