Di sebalik langit kelabu, dengari suara remaja
Jerebu dan kemerosotan alam sekitar boleh mencetuskan kebimbangan dalam kalangan remaja sehingga menjejaskan emosi, tidur dan tumpuan. Ibu bapa serta pihak sekolah perlu menyediakan ruang untuk mendengar, memahami perasaan mereka dan memberikan sokongan yang sesuai.

BAYANGKAN seorang remaja yang sudah berminggu-minggu berlatih untuk kejohanan sekolah. Apabila jerebu menebal, latihan dihentikan dan pertandingan ditangguhkan. Ibu bapanya meminta dia mengurangkan aktiviti luar demi keselamatan. Dia memahami sebabnya, tetapi tetap kecewa. Dalam kesibukan kita memantau kualiti udara, adakah perasaan seperti ini turut mendapat perhatian?
Persoalan itu penting kerana zaman remaja ialah tempoh pembentukan identiti, pengurusan emosi dan hubungan sosial. Sekolah serta kegiatan bersama rakan menjadi sebahagian penting daripada kehidupan mereka. Apabila rutin terganggu, mereka memerlukan penjelasan dan ruang menyuarakan perasaan. Memberi perhatian kepada remaja tidak mengetepikan golongan umur lain; keperluan mereka perlu difahami mengikut tahap perkembangan.
Bagi sesetengah remaja, kebimbangan mungkin melangkaui pertandingan yang dibatalkan. Mereka mungkin memikirkan keselamatan ahli keluarga yang bekerja di luar, kemungkinan jerebu berulang atau keadaan alam sekitar apabila mereka dewasa. Soalan tentang udara hari ini boleh berkembang menjadi kebimbangan tentang masa depan.
Pengalaman seperti ini membuka ruang untuk memahami eco-anxiety, iaitu kebimbangan berkaitan ancaman dan kemerosotan alam sekitar. Konsep ini merangkumi pencemaran serta perubahan iklim, kebimbangan iklim ialah sebahagian daripadanya. Eco-anxiety tidak secara automatik bermakna seseorang mempunyai gangguan mental. Yang perlu diperhatikan ialah tahap kebimbangan dan sejauh mana kehidupan hariannya terganggu.
Kesan yang mudah terlepas pandang termasuk fikiran berulang tentang ancaman alam sekitar, rasa bersalah kerana merasakan diri tidak cukup membantu, serta perasaan sedih dan tidak berdaya. Kebimbangan boleh menyukarkan tumpuan atau mengganggu keseronokan bersama rakan. Orang dewasa mungkin hanya melihat kerja sekolah tertangguh atau perubahan emosi, tanpa mengetahui perkara yang sedang membebankan fikiran remaja.
Kebimbangan terhadap perubahan iklim boleh mengganggu kehidupan harian golongan muda, termasuk tidur mereka. Kajian Hickman dan rakan-rakan (2021) terhadap 10,000 peserta berumur 16–25 tahun di sepuluh negara (tidak termasuk Malaysia) mendapati lebih 45 peratus melaporkan bahawa emosi berkaitan perubahan iklim menjejaskan kehidupan seharian. Kesan terhadap tidur pula ditunjukkan dalam kajian Turcotte-Tremblay dan rakan-rakan (2024) yang melibatkan 45,362 remaja di Quebec, Kanada.
Dalam kajian itu, sembilan peratus peserta melaporkan bahawa memikirkan perubahan iklim menyukarkan mereka untuk tidur, sekurang-kurangnya sekali-sekala.
Di Malaysia, kebimbangan terhadap alam sekitar turut dilaporkan dalam kalangan belia. Kajian Mohd Mahudin dan Syed Lokhikmal Hakim (2023) terhadap 150 belia berumur 19–25 tahun mendapati 44.7 peratus melaporkan bahawa emosi berkaitan perubahan iklim mengganggu tumpuan mereka. Manakala kajian Chuah dan rakan-rakan (2025) di sebuah universiti Malaysia pula mengenal pasti perasaan takut, bimbang dan marah berkaitan isu alam sekitar.
Antara isu yang membimbangkan remaja ialah pencemaran dan penebangan hutan. Dapatan ini menunjukkan bahawa isu alam sekitar turut menyentuh kesejahteraan emosi golongan muda di negara kita.
Apabila tingkah laku remaja berubah, ibu bapa dan pendidik perlu memahami apa yang sedang mereka lalui. Kesukaran tidur atau menumpukan perhatian boleh berpunca daripada pelbagai faktor. Luangkan masa untuk bertanya tentang perkara yang mengganggu fikiran mereka dan dengar tanpa menghakimi. Elakkan melabel mereka sebagai malas atau terlalu sensitif. Kesediaan mendengar dapat membantu kita memahami kebimbangan mereka dan mengenal pasti sokongan yang sesuai.
Kebelakangan ini, pelbagai kes melibatkan remaja yang tular di media sosial mencetuskan kebimbangan masyarakat. Perhatian tersebut sepatutnya mendorong kita membina ruang mendengar dalam kehidupan seharian. Remaja perlu tahu bahawa pengalaman mereka diambil serius, termasuk kebimbangan yang tidak kelihatan atau tidak pernah menjadi tular.
Di rumah, ruang itu boleh bermula dengan soalan mudah: “Apa yang paling merisaukan kamu sekarang?” Beri masa untuk menjawab dan elakkan terus mencelah dengan nasihat. Jika anak kecewa kerana latihan sukan dibatalkan, akui perasaannya sebelum menerangkan langkah keselamatan dan membincangkan kegiatan gantian.
Libatkan remaja dalam menyusun rutin belajar, berehat dan berhubung dengan rakan. Pilihan perlu sesuai dengan keadaan keluarga, termasuk ruang kediaman, akses internet dan perkongsian peranti. Di sekolah, guru boleh menyediakan perbincangan ringkas atau borang maklum balas, termasuk bagi murid yang kurang selesa bercakap di hadapan orang lain.
Komunikasi yang jelas juga diperlukan ketika berita jerebu tersebar. Bimbing remaja menyemak sumber dan tarikh maklumat, serta merujuk bacaan Indeks Pencemar Udara melalui APIMS Jabatan Alam Sekitar. Bincangkan keadaan semasa dengan tenang supaya mereka dapat membezakan fakta daripada hantaran yang membesar-besarkan ancaman.
Jika kebimbangan berterusan sehingga menjejaskan tidur, pembelajaran atau hubungan dengan orang lain, ibu bapa wajar mendapatkan nasihat kaunselor atau profesional kesihatan. Remaja juga perlu tahu siapa yang boleh mereka hubungi untuk mendapatkan bantuan, serta yakin bahawa kebimbangan mereka akan didengari dan diambil serius.
Remaja juga wajar dilibatkan dalam perancangan sekolah ketika jerebu, termasuk cara penyampaian maklumat, pilihan aktiviti gantian dan bentuk sokongan yang diperlukan. Guru boleh membimbing perbincangan serta menjelaskan cadangan yang sesuai dilaksanakan mengikut keadaan semasa dan panduan keselamatan. Maklum balas dan tindakan susulan membolehkan remaja melihat hasil penglibatan mereka.
Usaha menangani punca jerebu memerlukan komitmen pihak berkuasa, industri dan masyarakat. Seiring dengan usaha tersebut, keluarga, sekolah dan komuniti perlu peka terhadap kesejahteraan emosi remaja. Di sebalik langit kelabu, mereka memerlukan ruang untuk berkongsi kebimbangan dan keyakinan bahawa ada yang sedia mendengar serta membantu.

