Akuaponik di sekolah pendedahan awal pertanian bandar, keterjaminan makanan

KETERJAMINAN makanan merupakan krisis global yang semakin menjadi perhatian, bukan sahaja dalam kalangan para penyelidik bahkan para pemimpin dunia.

Krisis ini menjadi semakin mendesak apabila isu-isu seperti pertumbuhan populasi, perubahan iklim dan konflik perseteruan negara-negara pengeluar makanan yang tidak berkesudahan telah menjejaskan ekosistem dan bekalan makanan seantero dunia.

Sebelum mengulas lanjut isu ini, kita perlu memahami terlebih dahulu definisi dan konsep keterjaminan makanan.

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Sedunia (FAO), keterjaminan makanan bermaksud akses kepada makanan yang mencukupi, selamat dan berkhasiat bagi semua individu untuk menjalani kehidupan sihat dan aktif.

Empat dimensi utama keterjaminan makanan termasuklah:

1. Ketersediaan makanan
2. Akses makanan
3. Keselamatan dan nutrisi makanan
4. Kemampanan sumber semula jadi

Keempat-empat dimensi ini menjadi asas penting dalam memastikan sesebuah negara mampu mengekalkan kestabilan bekalan makanan untuk jangka masa yang panjang.

Di Malaysia, keterjaminan makanan diperkukuhkan melalui dua dasar utama: Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2021–2025 dan Dasar Agro-Makanan Negara 2021–2030.

Dasar ini bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan, meningkatkan pengeluaran domestik dan memastikan bekalan makanan berterusan.

Peranan dan Cabaran Pertanian Bandar dalam Menjamin Bekalan Makanan

FAO menyatakan bahawa menjelang 2025, hampir 85 peratus penduduk dunia akan tinggal di bandar termasuklah Malaysia.

Pergantungan penghuni bandar kepada bekalan makanan luar bandar menjadikan mereka mudah terdedah kepada kejutan harga makanan dan ketidakstabilan bekalan.

Dalam zaman urbanisasi, pertanian bandar menjadi alternatif yang inovatif untuk menjamin bekalan makanan.

Pertanian bandar merujuk kepada aktiviti menanam, memproses dan mengedarkan hasil pertanian di kawasan bandar.

Pelbagai kaedah pertanian bandar telah diperkenalkan di Malaysia misalnya pertanian belakang rumah (backyard gardens), pertanian atas bumbung (rooftop farming), pertanian menegak (vertical farming), sistem hidroponik dan akuaponik serta lain-lain lagi.

Namun, cabaran utama yang dihadapi dalam memperkasakan pertanian bandar adalah kurangnya kesedaran dan komitmen komuniti bandar itu sendiri dalam melestarikan usaha ini.

Tanpa kesedaran dan sokongan komuniti, potensi sebenar pertanian bandar tidak dapat direalisasikan ke tahap yang optimum.

Didik Pertanian Bandar Di Sekolah

Pendidikan dan kesedaran sejak di bangku sekolah sangat penting.

Generasi muda dalam dunia urban kini perlu didedahkan kepada kepentingan keterjaminan makanan dan peranan pertanian bandar dalam menjamin kelangsungan hidup dan kelestarian alam.

Pendidikan ini dapat membentuk sikap proaktif dalam mengamalkan pertanian bandar serta menyokong dasar-dasar keterjaminan makanan negara.

Di dalam silibus pengajaran di peringkat sekolah menengah sebenarnya telahpun mendedahkan pertanian bandar terutamanya menerusi sistem akuaponik yang dimuatkan dalam subjek Rekabentuk Teknologi (RBT).

Namun, tidak semua sekolah mempunyai sistem ini.

Sekiranya para pelajar dapat didedahkan secara teori dan amali, kesedaran pertanian bandar dan keterjaminan makanan berpotensi untuk dipertingkatkan.

Pihak kerajaan, badan bukan kerajaan, industri dan universiti perlu memainkan peranan mereka dalam meningkatkan kesedaran akan kepentingan pertanian bandar dan keterjaminan makanan.

Pelbagai program penyelidikan dan projek komuniti hendaklah dilaksanakan.

Projek Akuaponik-Urbankit: Dari Teori ke Amali

Di bawah pentadbiran kerajaan Madani, pihak Kementerian Kewangan telah memberikan sejumlah peruntukan untuk para penyelidik universiti menjalankan aktiviti pendayaan komuniti yang dikenali sebagai UniMadani.

Para penyelidik Universiti Malaya, melalui Pusat Jalinan Masyarakat (UMCares) telah menjalankan program komuniti yang bertajuk “Projek Akuaponik-Urbankit: Pemerkasaan Pertanian Bandar dan Keselamatan Makanan Menerusi Pendidikan Bersepadu”. Antara objektifnya adalah:

1. Meningkatkan kesedaran dan pendidikan keselamatan makanan di kalangan pelajar aliran agama.
2. Mempromosikan pertanian bandar di peringkat sekolah menerusi pendidikan sains pertanian berasaskan pengalaman (experiential learning).
3. Memperkasakan elemen merentas kurikulum (EMK) di kalangan guru agama dan guru sains/rekabentuk teknologi bagi meningkatkan minat pelajar aliran agama terhadap bidang Sains dan Teknologi (STEM).
4. Memupuk kemahiran keusahawanan kepada guru dan pelajar bagi menjana pendapatan sampingan.

Para pelajar dalam kalangan B40 diberikan keutamaan untuk terlibat dalam projek ini.

Usaha ini diharapkan dapat memupuk minat mereka untuk menceburi bidang pertanian di peringkat universiti seterusnya menjadi usahawan tani (agropreneur), sekaligus membantu meningkatkan ekonomi keluarga.

Kesimpulannya, keterjaminan makanan adalah isu yang kompleks dan memerlukan pendekatan menyeluruh.

Gabungan dasar kerajaan, inovasi pertanian bandar, dan pendidikan masyarakat dapat memastikan bekalan makanan yang mencukupi dan lestari untuk generasi kini dan akan datang.

Hanya dengan kerjasama semua pihak, negara dapat menghadapi cabaran keterjaminan makanan dengan lebih berkesan.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.