Banjir kilat beri kesan kepada ekosistem dan biodiversiti bandar
Banjir kilat berkait rapat dengan perubahan ekologi, pencemaran dan penyebaran spesies invasif.
Oleh: MUHAMAD FIDAUS MANSOR dan HASMAHZAITI OMAR
BANJIR kilat merupakan salah satu isu alam sekitar yang semakin membimbangkan di bandar-bandar Malaysia. Fenomena ini bukan sahaja mengganggu kehidupan harian, malah memberi kesan besar terhadap ekosistem dan biodiversiti bandar.
Walaupun ramai menganggap banjir kilat sebagai masalah saliran atau kejuruteraan semata-mata, sebenarnya ia berkait rapat dengan perubahan ekologi, pencemaran dan penyebaran spesies invasif.
Kejadian banjir di Kuala Lumpur, Shah Alam, Johor Bahru dan beberapa negeri lain termasuk Perlis turut menunjukkan bahawa masalah ini semakin meluas dan bukan hanya di kawasan bandar besar. Oleh itu, pengurusan yang lebih menyeluruh amat diperlukan.
Punca utama banjir kilat ialah perubahan landskap bandar akibat proses urbanisasi yang pesat. Kawasan tanah yang dahulunya mampu menyerap air kini ditutup dengan permukaan keras seperti jalan raya, bangunan, tempat letak kereta dan konkrit.
Hal ini disokong oleh Laporan Akhbar pada tahun 2024 yang menyatakan bahawa lebih 70 peratus kawasan Kuala Lumpur kini terdiri daripada permukaan tidak telap air, menjadikan kebarangkalian berlakunya limpahan air hujan dan banjir kilat semakin tinggi.
Apabila hujan lebat turun, air mengalir terus ke longkang dalam masa singkat, menyebabkan sistem saliran tidak mampu menampung aliran air yang terlalu banyak. Hal ini menyebabkan limpahan berlaku dan mencetuskan banjir kilat.
Selain itu, kehilangan kawasan hijau memperburuk keadaan apabila pengurangan pokok memberi beban kapasiti ekosistem semula jadi untuk menyerap air hujan. Pokok berfungsi untuk memperlahankan aliran air, menstabilkan tanah dan menyimpan sebahagian air hujan melalui intersepsi.
Apabila pokok ditebang atau kawasan hijau dimusnahkan, ekosistem semula jadi tidak lagi berfungsi untuk mengawal air secara berkesan. Keadaan ini bertambah buruk apabila sistem saliran bandar pula sempit, lama atau tersumbat akibat sampah, sedimen dan sisa pembinaan.
Terdapat laporan menyatakan bahawa sebahagian longkang utama di bandar besar memerlukan penyelenggaraan atau penggantian segera iaitu hampir 30 peratus longkang utama di ibu negara berada dalam keadaan uzur. Situasi ini menunjukkan betapa ekosistem bandar tidak lagi berfungsi seperti ekosistem semula jadi yang mempunyai mekanisme penyerapan dan pengawalan air secara alami.
Tambahan lagi, fenomena hujan luar biasa juga menjadi faktor penting. Monsun timur laut dan barat daya membawa angin lembap yang menyebabkan hujan lebat dalam tempoh singkat. Pertembungan angin lembap dari lautan menyebabkan pembentukan awan hujan secara intensif dan memburukkan lagi keadaan.
Gabungan antara hujan luar biasa, kawasan tidak telap air yang luas dan saliran yang tidak cekap menyebabkan banjir kilat berlaku semakin kerap setiap tahun. Menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur baru-baru ini di dalam akhbar tempatan, kejadian ini boleh mencapai bacaan paras hujan di stesen pusat bandar melebihi 114mm sejam, iaitu 54mm lebih tinggi daripada paras normal.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, banyak bandar utama mengalami insiden banjir kilat yang serius. Di Shah Alam, ada kawasan yang perlu membuka pusat pemindahan sementara akibat banjir. Di Johor Bahru pula, ribuan penduduk pernah terjejas selepas banjir kilat luar biasa.
Kejadian banjir di Perlis berlaku baru-baru ini menunjukkan bahawa fenomena ini tidak hanya berlaku di bandar besar tetapi juga di kawasan yang kurang menerima hujan ekstrem sebelum ini. Perubahan pola cuaca dan pembangunan pesat menjadikan banjir kilat isu nasional yang memerlukan perhatian segera.
Banjir kilat turut memberi kesan ketara kepada biodiversiti bandar. Air yang mengalir deras boleh memusnahkan habitat seperti tebing sungai, kawasan rumput air dan tempat pembiakan hidupan akuatik. Hidupan seperti ikan, amfibia, reptilia kecil, burung air serta serangga akuatik sangat mudah terjejas akibat perubahan arus air secara mendadak.
Apabila habitat musnah, sumber makanan dan tempat berlindung turut hilang, menyebabkan populasi hidupan menurun. Banjir juga menyebabkan banyak haiwan liar seperti musang, biawak dan ular memasuki kawasan perumahan untuk mencari perlindungan.
Ini berlaku kerana habitat semula jadi mereka rosak atau tenggelam. Perubahan kualiti air selepas banjir seperti peningkatan suhu, pencemaran nutrien dan penurunan oksigen turut menjejaskan keseimbangan ekologi jangka panjang.
Selain menjejaskan hidupan liar, banjir kilat meningkatkan tahap pencemaran air di bandar. Air yang mengalir deras membawa bersama minyak kenderaan, sampah plastik, najis, bahan kimia industri dan sisa toksik ke dalam sungai dan tasik bandar. Fenomena ini dikenali sebagai pencemaran air permukaan atau stormwater pollution.
Pencemaran ini bukan sahaja merosakkan ekosistem, malah memberi risiko kesihatan kepada manusia. Selepas banjir, kes penyakit bawaan air seperti leptospirosis, cirit-birit dan jangkitan kulit biasanya meningkat. Kos pembersihan kawasan, baik pulih infrastruktur dan kerugian harta benda juga meningkat setiap tahun.
Banjir kilat turut memainkan peranan besar dalam penyebaran spesies invasif di bandar. Apabila air melimpah dari kolam ternakan atau kolam buatan, ikan bukan natif seperti tilapia dan patin Mekong boleh terlepas ke sungai. Spesies invasif ini membiak dengan cepat dan boleh mengganggu populasi ikan tempatan seperti tengas dan puyu.
Selain ikan, beberapa spesies katak dan reptilia invasif juga tersebar ke kawasan baharu apabila habitat asal mereka terganggu. Tumbuhan invasif seperti kiambang pula membiak dengan cepat apabila kandungan nutrien dalam air meningkat selepas banjir. Persaingan antara spesies invasif dan spesies tempatan akhirnya mengurangkan nilai biodiversiti bandar.
Untuk mengurangkan risiko banjir kilat, penyelesaian yang holistik dan berasaskan ekologi perlu dilaksanakan. Infrastruktur hijau seperti bumbung hijau, taman hujan, pavemen telap air dan sistem bio-retensi dapat membantu meningkatkan kadar penyerapan air hujan.
Beberapa bandar seperti Putrajaya telah menunjukkan bahawa penggunaan infrastruktur hijau dapat mengurangkan kejadian limpahan air. Pemulihan sungai melalui pendekatan naturalisasi juga penting untuk menambah kapasiti takungan air dan memulihkan fungsi ekologi sungai.
Kerajaan tempatan perlu meningkatkan penyelenggaraan sistem saliran, menguatkuasakan undang-undang pencemaran dan memastikan masyarakat menguruskan sampah dengan lebih baik. Teknologi moden seperti sistem amaran awal banjir, peta risiko dan analisis data cuaca juga membantu dalam meningkatkan kesiapsiagaan.
Dari sudut biodiversiti, pemuliharaan kawasan hijau, pengawalan spesies invasif dan pembinaan koridor hidupan liar perlu dipertingkatkan. Program pendidikan dan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan ekosistem bandar seperti kempen ‘Sayangi Sungai Kita’ turut memainkan peranan penting dalam mewujudkan komuniti yang lebih peka terhadap alam sekitar.
* Kedua-dua penulis adalah daripada Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya.

