Membanding-banding pada tempatnya
Pada tahun 1954, seorang ahli psikologi, Profesor Leon Festinger, telah memperkenalkan satu teori yang dinamakan Teori Perbandingan Sosial.

KALAU diimbas kembali, dahulu, ibu ayah kita sibuk mencari surat khabar pada pagi hari tetapi kini kita sibuk mencari telefon pintar seusai bangun tidur. Ternyata, menatal layar peranti telah menjadi sebahagian rutin harian. Begitu juga dalam kehidupan anak-anak kita, sebelum kelas bermula, semasa waktu rehat mahupun sebelum tidur, telefon pintar sentiasa ada dalam tangan mereka.
Apa yang mereka tonton dalam media sosial bukan kandungan yang statik semata-mata tetapi siaran yang berterusan, yang dipilih dan disusun berkenaan kejayaan, kecantikan, produktiviti dan juga kebahagiaan seseorang. Seterusnya, bagi mereka, perbandingan diri bukan lagi sifatnya kadang-kadang tetapi cirinya berterusan, halus dan memberi kesan psikologi yang mendalam.
Umum mengetahui bahawa negara kita merupakan salah satu negara yang paling tinggi kesalinghubungan di rantau Asia Tenggara. Berdasarkan laporan daripada DataReportal, pada hujung tahun 2025, seramai 35.4 juta rakyat Malaysia menggunakan internet dan 85 peratus daripada jumlah populasi Malaysia menggunakan media sosial.
Platform-platform digital seperti Instagram, TikTok dan X telah mengubah cara anak-anak muda zaman ini memahami tentang pencapaian, identiti dan harga diri. Walau bagaimanapun, kesalinghubungan ini menghidangkan akibat yang tidak dapat dinafikan, iaitu desakan untuk menilai kehidupan diri sendiri atau seseorang berbanding dengan orang lain.
Sebenarnya, perbandingan sosial bukanlah satu perkara yang baru. Pada tahun 1954, seorang ahli psikologi, Profesor Leon Festinger, telah memperkenalkan satu teori yang dinamakan Teori Perbandingan Sosial. Teori ini menjelaskan bahawa sesetengah individu menilai diri mereka sendiri dengan membandingkan diri mereka dengan orang lain.
Lebih membimbangkan lagi, kini, kemunculan media sosial meluaskan proses penilaian ini. Tidak seperti generasi terdahulu, anak-anak muda pada hari ini terdedah kepada beribu perbandingan setiap hari sama ada siaran kandungan tersebut asli atau dimurnikan oleh algoritma komputer.
Profesor Jean Twenge, ahli psikologi yang terkenal dalam bidang penyelidikan budaya digital mengingatkan bahawa media sosial menyediakan ruang bagi anak-anak muda melihat sorotan kehidupan orang lain secara berterusan, di mana keadaan ini boleh mengubah atau mengganggu persepsi mereka tentang realiti kehidupan.
Boleh jadi apabila para pelajar berulang kali melihat rakan-rakan mereka menerima anugerah, melancong ke luar negara atau sentiasa produktif, mereka boleh berasa diri mereka tidak mencukupi sedangkan perkembangan atau pencapaian mereka baik dan bermakna sebenarnya.
Dalam persekitaran universiti di Malaysia, desakan sebegini semakin ketara. Para pelajar selalu membandingkan diri mereka dengan rakan sebaya berkaitan dengan pencapaian akademik, kehidupan sosial atau kejayaan-kejayaan lain. Contohnya, apabila melihat rakannya kerap berkongsi tentang pencapaian cemerlang yang diperoleh, mereka mungkin akan mempertikaikan kebolehan diri sendiri.
Ada masanya juga mereka terpengaruh dengan sorotan kehidupan pempengaruh yang dapat menyeimbangkan akademik dengan perniagaan mahupun gaya hidup yang tinggi dan kesannya, mereka berasa jauh ketinggalan.
Fenomena ini dirumuskan sebagai “budaya video sorotan” oleh sesetengah pengkaji. Jarang sekali di media sosial, kesusahan, kegagalan dan ketidakpastian dipertontonkan. Sebaliknya, media sosial selalu menayangkan versi kehidupan yang diperkemaskan atau dipercantikkan.
Maka, anak-anak muda sering membandingkan realiti kehidupan di belakang tabir mereka dengan sorotan kehidupan seseorang yang telah disunting. Secara psikologinya, kelakuan ini adalah tidak adil, namun demikian, sangat lazim bagi mereka.
Kelakuan sebegini memberi kesan kepada emosi individu. Satu kajian yang diterbitkan dalam Journal of Social and Clinical Psychology pada tahun 2018 mendapati penglibatan berlebihan dalam media sosial menyebabkan rasa bimbang yang tinggi, mencetuskan kemurungan dan menurunkan keyakinan diri, terutamanya bagi golongan muda.
Pertubuhan-pertubuhan kesihatan mental di Malaysia turut melaporkan bahawa tahap tekanan emosi meningkat dalam kalangan anak-anak muda di mana perbandingan dan rasa ragu terhadap diri sendiri merupakan faktor penyebab.
Ironinya, media sosial dicipta untuk berhubung, bukan menyakitkan. Namun demikian, algoritma komputer yang mengutamakan penyertaan penggunanya dan kandungan digital yang mencetuskan serangan emosi, mudah tersebar dengan pantas. Situasi ini mencipta fenomena di mana ekonomi yang menjadi tumpuan asal bagi pemiliknya telah memberi ruang untuk serangan emosi kepada para penggunanya.
Apabila emosi terlibat, para pelajar dikira sebagai golongan rentan yang mudah terkesan. Ini kerana mereka berada dalam fasa pembangunan identiti yang sedang berkembang. Mereka masih mencari siapa diri mereka, apa yang mereka inginkan, apa yang mereka mahu hargai dan dalam golongan mana mereka berada. Perbandingan yang konstan boleh merencatkan proses perkembangan ini, mengubah fokus mereka daripada pembangunan diri sendiri kepada penilaian atau pengesahan orang luar.
Namun demikian, perbandingan sebegini bukanlah membahayakan secara keseluruhan. Jika moderasi dilibatkan, ia boleh memotivasikan perubahan yang lebih baik. Melihat rakan sebaya berjaya boleh memberi inspirasi untuk menambah usaha dan mengejar impian yang dicita-citakan. Cuma, bahayanya mula muncul apabila perbandingan menjadi berterusan dan menghantui diri sendiri, menyebabkan mereka percaya bahawa mereka tiada keistimewaan dan serba kekurangan berbanding orang lain.
Untuk menangani keadaan ini, institusi pendidikan memainkan peranan yang penting. Literasi digital bukan sahaja berfokus kepada kemahiran teknikal, malah mencakupi kepentingan kesedaran emosi. Para pelajar perlu mengerti bahawa media sosial ialah satu persekitaran yang dibina dan ianya bukan mewakili realiti yang sempurna.
Seperti satu petikan yang dipopularkan oleh presiden Amerika Syarikat yang ke-26, Theodore Roosevelt, perbandingan ibarat pencuri kepada kegembiraan dan pada zaman digital ini, kegembiraan selalu diukur dengan suka dan kongsi (likes dan shares). Justeru itu, para pelajar perlu menukar kepercayaan mereka terhadap persekitaran media sosial.
Selain itu, para pelajar boleh menyemai tabiat yang bersifat melindungi diri sendiri seperti menghadkan waktu layar, menghasilkan kandungan digital yang positif dan mengamalkan refleksi kendiri. Yang paling penting, mereka harus percaya bahawa pertumbuhan itu bersifat peribadi, bukan bersifat kompetitif. Setiap perjalanan seorang pelajar itu berkembang mengikut kadar yang berbeza.
Generasi media sosial tidak boleh disimpulkan sebagai generasi yang lemah, cuma mereka melalui zaman yang tidak pernah muncul sebelum ini. Langkah terbaik bukanlah membunuh teknologi tetapi menggunakannya dengan berhati-hati. Apabila anak-anak belajar untuk mengukur kemajuan berdasarkan target masing-masing dan bukan berasaskan kehidupan orang lain, media sosial boleh bertindak seperti tujuan asalnya, iaitu sebagai medium perhubungan, pembelajaran dan inspirasi.
Akhir sekali, perbandingan yang paling bermakna bukanlah dibandingkan dengan orang lain tetapi dengan diri kita pada hari semalam. Jadikan setiap hari baru kita sebagai permulaan kepada momen pertumbuhan yang lebih baik, lebih mantap bagi kesejahteraan hidup kita pada masa depan.

