Perangkap petrodollar: Mengapa kejutan minyak tidak menguatkan Ringgit

Pasaran minyak global didenominasikan dalam dolar AS. Tidak kira di mana minyak dihasilkan atau digunakan, transaksi biasanya diselesaikan dalam dolar AS

Feature Image

PERGOLAKAN terkini di Timur Tengah dilihat secara meluas sebagai satu kisah minyak. Harga meningkat, laluan bekalan terancam dan pasaran tenaga bertindak balas terhadap konflik ini tetapi tafsiran ini terlepas realiti yang lebih mendalam, iaitu setiap kejutan harga minyak, juga merupakan kejutan kewangan kepada negara-negara dunia.

Ketika ketegangan yang melibatkan Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran mendorong harga minyak mentah ke tahap tiga digit, perhatian global telah tertumpu pada gangguan bekalan minyak dunia. Ini terutamanya di sekitar Selat Hormuz, yang kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak global mengalir melaluinya.

Namun, kesan akibatnya tidak terletak pada berapa banyak minyak bergerak melalui pasaran tetapi pada matawang yang menetapkan harga minyak tersebut.

Keadaan ini genting bagi Malaysia kerana apabila harga minyak meningkat, Ringgit bukan sahaja bertindak balas terhadap pasaran tenaga, ia bertindak balas terhadap dominasi global dolar AS.

Untuk memahami sebabnya, kita perlu memahami dahulu pengaruh sistem petrodollar.

Pasaran minyak global didominasikan dalam dolar AS. Tidak kira di mana minyak dihasilkan atau digunakan, transaksi biasanya diselesaikan dalam dolar AS. Akibatnya, sebarang kenaikan harga minyak secara automatik meningkatkan permintaan global untuk matawang AS. Inilah struktur dagangan minyak global.

Apabila harga minyak meningkat, negara pengimport tenaga mesti memperoleh lebih banyak dolar AS untuk membiayai pembelian mereka. Dengan kata lain, harga minyak yang lebih tinggi meningkatkan permintaan global untuk dolar AS melalui perdagangan.

Pada masa yang sama, negara pengeksport minyak mengumpul hasil dolar (sering dirujuk sebagai “petrodollar”) yang dilaburkan semula ke dalam aset kewangan AS seperti US Treasury Bond. Ini pula akan meningkatkan kitar semula petrodollar ke dalam aset kewangan AS, lalu menguatkan pasaran modal AS.

Kesannya? Kenaikan harga minyak cenderung untuk mengukuhkan dominasi global dolar AS, mengukuhkan peranannya bukan sahaja sebagai matawang perdagangan, tetapi sebagai tulang belakang sistem kewangan antarabangsa.

Di sinilah naratif konvensional mengenai ekonomi pengeksport minyak mula runtuh.

Ramai bertanggapan bahawa negara yang mendapat manfaat daripada harga minyak yang lebih tinggi akan melihat matawang mereka mengukuh. Secara teorinya, hasil eksport minyak yang lebih kukuh sepatutnya menyokong kadar pertukaran matawang. Walau bagaimanapun, dalam praktiknya, hasilnya jauh lebih kompleks.

Pengeksport minyak tidak beroperasi secara berasingan. Mereka beroperasi dalam sistem yang didominasi dolar.
Dalam situasi tekanan geopolitik, dolar AS mengukuh dengan mendadak. Keadaan ini boleh mengimbangi atau membalikkan kesan positif harga minyak yang lebih tinggi terhadap matawang negara pengeksport minyak. Hasilnya adalah berlawanan, dimana keuntungan komoditi wujud bersama kelemahan matawang.

Dinamik hubungan ini mewujudkan apa yang digelar sebagai kesan “double tightening”. Pengukuhan mendadak dolar AS akan mengetatkan keadaan kewangan global. Keadaan ini memberi tekanan berterusan kepada matawang bagi pasaran yang sedang membangun, termasuk Ringgit.

Impak ini bukanlah sesuatu yang baharu. Semasa kejutan tenaga global susulan konflik Rusia-Ukraine pada tahun 2022, harga minyak melonjak manakala dolar AS mengukuh dengan ketara. Ketidakpastian akan tempoh konflik geopolitik biasanya akan mencetuskan tingkah laku “risk-off” dalam pasaran kewangan. Di mana, modal pelaburan dalam pasaran beralih ke arah aset selamat seperti sekuriti US Treasury Bonds.

Ini menyebabkan pelaburan ke dalam pasaran yang sedang membangun berkurangan. Banyak matawang pasaran yang sedang membangun melemah dalam tempoh itu walaupun mendapat manfaat daripada harga komoditi yang lebih tinggi. Sememangnya ketegangan geopolitik cenderung untuk mengakibatkan impak ini.

Bagi ekonomi terbuka seperti Malaysia, perubahan dalam sentimen global ini boleh mengganggu gugat ekonomi negara. Situasi Malaysia Adalah rumit. Negara kita merupakan pengeksport tenaga dan pengimport tenaga, dengan struktur perdagangan yang kompleks. Ia mendedahkan negara kepada kedua-dua belah pasaran minyak. Walaupun syarikat minyak nasional; PETRONAS terus menjana pendapatan yang besar, tetapi ekonomi negara secara keseluruhannya kekal sensitif terhadap turun naik harga global dan aliran pasaran modal.

Oleh itu, Ringgit berada di satu persimpangan tekanan.

Di satu pihak, harga minyak yang lebih tinggi mungkin mengukuhkan imbangan perdagangan Malaysia dan menyediakan sokongan fiskal melalui peningkatan hasil petroleum. Di satu pihak yang lain, pengukuhan global dolar AS yang didorong oleh kejutan minyak boleh merudumkan nilai matawang Ringgit.

Realitinya, nilai Ringgit kurang bergantung pada harga minyak dan lebih bergantung pada bagaimana pelabur melihat kredibiliti ekonomi Malaysia. Matawang tidak didorong semata-mata oleh aliran perdagangan. Ia didorong oleh keyakinan.
Pelabur menilai sama ada sesebuah kerajaan boleh mengurus keuntungan besar komoditi secara bertanggungjawab, mengekalkan disiplin fiskal, dan mengekalkan pembangunan ekonomi jangka panjang walaupun semasa tempoh konflik geopolitikal.

Dalam konteks ini, rangka kerja dasar Malaysia menjadi lebih kritikal. Usaha untuk memperkukuh tadbir urus, menambah baik pengurusan fiskal, dan mengartikulasikan strategi jangka panjang memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi pelabur. Ini termasuk perlaksanaan pelan peralihan tenaga yang diperkenalkan oleh Kementerian Ekonomi Malaysia.

Walaupun inisiatif sedemikian sering dibincangkan dalam konteks kemampanan, relevansi inisiatif tersebut menjangkau lebih jauh. Ia menandakan sama ada sesebuah negara bersedia untuk mengharungi perubahan struktur dalam ekonomi global.
Dalam sistem yang dipacu oleh petrodolar, persepsi dan keyakinan pelabur global terhadap kredibiliti ekonomi Malaysia itu adalah sama penting dengan harga komoditi minyak itu sendiri.

Ketegangan geopolitik semasa mungkin akhirnya akan reda dan pasaran minyak Kembali stabil tetapi struktur sistem kewangan global masih kekal. Selagi harga minyak ditetapkan dalam dolar AS, setiap kejutan tenaga akan terus mengukuhkan matawang AS.

Bagi Malaysia, ini bermakna trajektori Ringgit bukan sahaja akan bergantung pada kitaran komoditi, tetapi juga pada bagaimana negara itu meletakkan dirinya dalam dunia yang dikuasai dolar. Bagaimana negara itu beruapaya untuk kesan konflik geopolitik melalui kredibiliti, disiplin modal, dan keupayaan untuk menahan kuasa kewangan yang didorong oleh harga minyak.