Peremajaan jenama TH tekad ke arah simpanan deposit lestari
Lebih 53 peratus daripada pendeposit sedia ada masih belum mencapai paras simpanan minimum RM1,300 iaitu jumlah yang diperlukan untuk mendaftar menunaikan haji.

POLEMIK peremajaan jenama (brand rejuvenation) Tabung Haji (TH) menjadi hangat apabila isu tersebut dibangkitkan di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Sesetengah pihak mungkin tertanya-tanya, apakah kewajaran untuk TH melalui proses peremajaan jenama? Bukankah orang ramai sudah sedia maklum dengan peranan cemerlang TH menguruskan simpanan haji umat Islam di Malaysia selama lebih enam dekad?
Rentetan pelbagai reaksi dan keluhan warganet yang tular di media sosial, TH tampil memberikan penjelasan melalui dua kenyataan media bertarikh 16 dan 28 Ogos 2025.
Dalam kenyataan tersebut, TH mendedahkan bahawa ia kini mempunyai hampir 10 juta (9.6 juta) pendeposit, mewakili hanya 50 peratus daripada jumlah penduduk Muslim di Malaysia, berdasarkan anggaran populasi negara seramai kira-kira 34 juta orang.
Dalam erti kata lain, lebih separuh umat Islam di Malaysia yang sewajarnya sudah mula menabung untuk haji masih belum membuka akaun TH.
Angka hampir 10 juta ini cukup menggusarkan, sekali gus menimbulkan persoalan mengapa institusi yang telah sekian lama dipercayai ini masih belum menjadi pilihan utama mereka.
TH turut mendedahkan bahawa lebih 53 peratus daripada pendeposit sedia ada masih belum mencapai paras simpanan minimum RM1,300 iaitu jumlah yang diperlukan untuk mendaftar menunaikan haji.
Angka 53 ini ini bermakna lebih lima juta pendeposit masih belum berdaftar untuk haji. Jika syarat asas pendaftaran sekalipun belum mampu dipenuhi, apatah lagi untuk menyediakan perbelanjaan penuh bagi menunaikan ibadah itu. Persoalannya, apakah kekangan sebenar yang membelenggu mereka?
Selain itu, TH turut mendedahkan bahawa separuh daripada bakal jemaah yang ditawarkan peluang menunaikan haji terpaksa menolak giliran kerana simpanan mereka dalam akaun TH masih tidak mencukupi. Makna kata, daripada kira-kira 30,000 kuota haji yang ditawarkan setiap tahun, seramai 15,000 pendeposit terpaksa melepaskan peluang menunaikan fardu haji dek kekangan kewangan.
Statistik pendeposit TH juga tidak begitu memberangsangkan. Pada tahun 2019, jumlah pendeposit direkodkan seramai 8.75 juta orang, manakala pada tahun 2024 angkanya hanya meningkat kepada sekitar 9.55 juta.
Ini bermakna dalam tempoh lima tahun, pertambahan sebenar hanyalah kira-kira 800,000 pendeposit. Malahan, jumlah pendeposit TH merosot ketara semasa pandemik COVID-19. Pada tahun 2020, rekod menunjukkan 8.97 juta pendeposit, namun angka itu jatuh kepada hanya 8.41 juta pada 2021.
Meskipun jumlah pendeposit kembali meningkat kepada 8.77 juta pada tahun 2022, angka ini masih tidak dapat menyamai paras prapandemik.
Statistik deposit yang diuruskan TH turut memperlihatkan trend yang mencemaskan. Pada tahun 2024, jumlah deposit hanya meningkat kepada RM91.7 bilion berbanding RM89 bilion pada 2023, kenaikan sekitar RM2.7 bilion sahaja, suatu peningkatan yang boleh dianggap terlalu kecil bagi sebuah institusi sebesar TH.
Hakikatnya, kadar pertumbuhan sekitar 3 peratus itu sebenarnya lebih rendah berbanding agihan keuntungan 3.25 peratus (bersamaan RM2.92 bilion) yang diagihkan kepada pendeposit pada tahun sama.
Ini bermakna, pertambahan deposit baharu gagal menandingi jumlah keuntungan yang perlu diagihkan, sekali gus menimbulkan persoalan besar tentang kelestarian aliran simpanan dalam jangka panjang.
Namun begitu, keadaan ini bukanlah sesuatu yang baharu. Jika diteliti angka tahun sebelumnya, perbandingan antara 2022 dan 2023 turut menunjukkan trend yang sama apabila deposit baharu hanya meningkat 1.6 peratus (bersamaan RM1.4 bilion), jauh lebih rendah berbanding agihan keuntungan 3.1 peratus (RM2.72 bilion).
Jurang hampir RM1.3 bilion ini sekali lagi membuktikan bahawa aliran masuk deposit baharu yang diuruskan oleh TH untuk tahun-tahun kebelakangan ini adalah lebih rendah ketimbang keuntungan yang diagihkan oleh TH dalam tahun yang sama.
Dalam nuansa bahasa korporat, perkembangan ini merupakan satu petanda yang membimbangkan. Trendnya nampak ketara, aliran masuk deposit baharu tidak dapat menandingi jumlah keuntungan pelaburan yang diagihkan oleh TH.
Dalam jangka masa panjang jika masalah ini tidak ditangani, pertumbuhan deposit TH tidak lagi dipacu oleh pertambahan deposit baharu, sebaliknya bergantung kepada agihan keuntungan tahunan semata-mata.
Realitinya, kebebasan pendeposit untuk mengeluarkan simpanan pada bila-bila masa turut menjejaskan usaha TH mengekalkan pertumbuhan deposit yang mampan.
Dalam tempoh tiga tahun terakhir sahaja, jumlah pengeluaran direkodkan mencecah sekitar RM2 bilion. Barang diingat bahawa bantuan kewangan haji atau disebut juga sebagai subsidi haji berjumlah kira-kira RM200 juta setahun yang diberikan kepada jemaah haji B40 dan M40 juga diambil daripada tabung simpanan bersama yang sama.
Dalam kenyataan media bertarikh 28 Ogos 2025, Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TH turut mengakui cabaran ini.
Beliau menjelaskan bahawa ramai pendeposit berkemampuan lebih cenderung menyimpan di institusi kewangan lain yang menawarkan pulangan lebih tinggi dan hanya memindahkan bayaran penuh haji ke akaun TH apabila rayuan mereka diterima untuk mengisi kekosongan akibat penolakan jemaah yang tidak mampu.
Fenomena ini berlaku kerana ramai pendeposit lebih gemar menabung di institusi kewangan lain yang menawarkan pulangan lebih kompetitif.
Malahan, terdapat juga instrumen pelaburan yang disertakan dengan pelepasan cukai, suatu kelebihan yang tidak pernah ditawarkan oleh TH sehingga kini.
Golongan berkemampuan atau disebut ‘maha kaya’ pula lazimnya tidak melihat keperluan untuk menyimpan dalam akaun TH. Jika mereka ingin menunaikan haji, kebiasaannya mereka memilih pakej swasta bernilai enam angka tanpa menggunakan perkhidmatan TH.
Kelestarian deposit TH turut terjejas apabila bakal jemaah yang mampu menyediakan belanja penuh sebanyak RM33,300 berangkat menunaikan haji terlebih dahulu, sama ada melalui giliran asal atau rayuan.
Kebiasaannya, selepas mereka selesai menunaikan fardu haji pada tahun tersebut, urusan simpanan dalam akaun TH juga dianggap ‘selesai.’ Maksud ‘selesai’ di sini merujuk kepada sifat transitori atau ‘touch and go’ sebahagian jemaah terhadap akaun TH.
Mereka hanya menabung sehingga menunaikan haji, kemudian mengeluarkan baki wang untuk dipindahkan ke instrumen pelaburan lain yang lebih kompetitif.
Natijahnya, pendeposit yang tinggal dalam lejar TH kebanyakannya ialah mereka yang masih berusaha mencukupkan belanja haji dan sebahagian besar daripada kelompok ini belum pun mampu mencapai simpanan minimum RM1,300 untuk mendaftar haji.
Angka-angka tidak berbohong. Ibarat pepatah Inggeris, ‘the writing is on the wall’ atau peribahasa kita, sebelum api marak tentu bahangnya sudah terasa.
Jika langkah proaktif tidak diambil segera, TH berisiko gagal mengekalkan pertumbuhan deposit yang mampan serta tidak mampu menjana keuntungan mencukupi untuk memberi pulangan kompetitif kepada pendeposit, apatah lagi menampung bantuan kewangan haji bagi jemaah B40 dan M40.
Berdasarkan angka-angka yang dibentangkan, ternyata agenda peremajaan jenama TH bukanlah matlamat hakiki yang ingin dicapai, tetapi agenda tersebut hanyalah alat atau wasilah untuk mencapai matlamat sebenar iaitu memberi nafas baharu kepada imej TH supaya lebih ramai umat Islam di Malaysia terdorong menyimpan di institusi ini sebagai tabungan fardu haji.
Tidak dinafikan, kos perkhidmatan haji yang semakin meningkat, selaras dengan kos perbelanjaan haji, telah menyebabkan iltizam sesetengah umat Islam untuk mengumpul wang bagi menunaikan haji semakin pudar.
Dengan kos sara hidup yang semakin mencabar, usaha mengumpul wang untuk ibadat haji semakin tercicir daripada senarai keutamaan mereka.
Secara tuntas, perlu ada iltizam baharu daripada semua pihak untuk menyokong TH dengan menambahkan simpanan deposit dalam TH. Kempen kesedaran menabung untuk tujuan ibadat haji perlu dipergiatkan di segenap peringkat, bermula di peringkat bayi lagi.
Inilah sahaja satu-satunya cara yang berkesan untuk memastikan TH kekal relevan dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada umat Islam di Malaysia, khususnya para bakal haji.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.