Penemuan sel khas dalam sistem imun tubuh ‘tuah’ penerima Hadiah Nobel 2025
Tiga orang saintis hebat iaitu Shimon Sakaguchi, Mary E. Brunkow, dan Fred Ramsdell di atas penemuan mereka tentang toleransi imun periferi.

TAHUN 2025 menyaksikan Hadiah Nobel dalam bidang Perubatan dianugerahkan kepada tiga orang saintis hebat iaitu Shimon Sakaguchi, Mary E. Brunkow, dan Fred Ramsdell di atas penemuan mereka tentang toleransi imun periferi.
Penemuan ini menjelaskan bagaimana sistem imun tubuh manusia tahu bila perlu menyerang musuh seperti bakteria dan virus, dan bila perlu ‘berdiam diri’ supaya tidak menyerang tubuh sendiri.
Sistem imun kita berfungsi seperti pasukan keselamatan badan. Ia dilatih untuk mengenali dan memusnahkan penceroboh seperti kuman atau sel kanser.
Namun, kadangkala sistem ini tersilap sasaran dan mula menyerang tisu sendiri. Inilah yang berlaku dalam penyakit autoimun seperti lupus, diabetes jenis 1 dan artritis reumatoid.
Sebelum ini, saintis sudah mengetahui bahawa kebanyakan ‘sel tentera’ yang berpotensi menyerang diri sendiri biasanya dihapuskan ketika masih muda di dalam timus.
Proses ini dipanggil toleransi pusat tetapi masih ada sebahagian sel-sel muda ini yang terlepas. Persoalannya, mengapa tubuh tidak musnah walaupun sel-sel ‘nakal’ itu wujud?
Inilah persoalan yang dijawab oleh ketiga-tiga penerima Nobel ini. Pada tahun 1995, Profesor Shimon Sakaguchi menemui sejenis sel khas dalam sistem imun yang mampu ‘menenangkan’ atau mengawal tindak balas imun yang berlebihan.
Sel ini dinamakan sel T pengawal atau regulatory T cells (Treg). Ia bertindak seperti ‘polis trafik’ yang memastikan sistem imun tidak bertindak secara keterlaluan.
Kemudian, pada tahun 2001, Mary E. Brunkow dan Fred Ramsdell menemui gen penting bernama FOXP3. Gen inilah yang mengawal pembentukan dan fungsi sel T pengawal.
Apabila gen FOXP3 rosak, sel T pengawal tidak dapat berfungsi, menyebabkan sistem imun menjadi ‘liar’ dan menyerang organ sendiri. Mutasi pada gen ini juga dikenal pasti menyebabkan penyakit genetik jarang dikenali sebagai sindrom IPEX, di mana bayi lelaki mengalami masalah autoimun yang sangat teruk sejak lahir.
Mengapa penemuan ini begitu penting
Penemuan ini bukan sekadar menjawab teka-teki asas biologi tetapi juga membuka jalan baharu kepada rawatan pelbagai penyakit. Kini saintis sedang membangunkan terapi yang boleh meningkatkan jumlah atau fungsi sel T pengawal dalam badan pesakit autoimun.
Dengan mengembalikan keseimbangan sistem imun, penyakit seperti diabetes jenis 1 atau lupus mungkin boleh dikawal tanpa ubat penindas imun yang kuat.
Dalam pemindahan organ, sistem imun biasanya menolak organ baharu kerana dianggap sebagai benda asing. Dengan bantuan sel T pengawal, tubuh boleh ‘belajar’ menerima organ tersebut tanpa perlu bergantung sepenuhnya pada ubat imunosupresif.
Menariknya, sel T pengawal juga berperanan dalam kanser tetapi dengan cara yang berbeza. Sesetengah tumor ‘memanggil’ Treg untuk menindas tindak balas imun, menjadikan kanser lebih sukar dilawan.
Oleh itu, dalam terapi kanser, saintis cuba mencari cara untuk mengurangkan aktiviti Treg di kawasan tumor supaya sistem imun boleh menyerang kanser dengan lebih berkesan.
Cabaran yang masih dihadapi
Walaupun penemuan ini membawa harapan besar, banyak cabaran masih perlu diatasi. Terapi berasaskan Treg masih mahal dan rumit. Ia juga perlu dilakukan dengan berhati-hati supaya sistem imun tidak menjadi terlalu lemah dan mudah dijangkiti penyakit lain.
Selain itu, mencari keseimbangan antara rawatan autoimun dan kanser bukan tugas yang mudah kerana menguatkan toleransi boleh melemahkan pertahanan terhadap tumor, dan sebaliknya.
Sehingga kini, pelbagai kajian dan ujian klinikal sedang dijalankan di seluruh dunia untuk menguji terapi berasaskan Treg dan gen FOXP3. Penyelidik juga sedang berusaha menghasilkan ‘sel T pengawal pintar’ yang dapat mengenal pasti sasaran tertentu sahaja.
Contohnya, menenangkan imun di sendi bagi pesakit artritis tanpa menjejaskan bahagian tubuh lain. Jika berjaya, kita mungkin akan menyaksikan satu era baharu dalam perubatan di mana terapi yang tidak lagi hanya menekan sistem imun tetapi memulihkan keseimbangannya secara semula jadi.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.