Pemimpin agama berkualiti tunjang perpaduan masyarakat majmuk

PERBINCANGAN berkaitan aspek pemimpin mahupun ketua sudah pasti tidak dapat dipisahkan daripada perbincangan kepimpinan.

Justeru perbincangan Pemimpin Agama juga tidak akan lari daripada persoalan Kepimpinan Agama.

Ini adalah kerana kepimpinan agama itu adalah perbincangan yang bersifat umum dan perbincangan pemimpin agama ini adalah bersifat khusus.

Penulisan ini akan memberi fokus kepada persoalan pemimpin agama di mana merujuk kepada golongan yang mengetuai kumpulan agama dengan ciri-ciri khusus seperti mempunyai latar belakang pendidikan agama, menjawat jawatan penting dalam organisasi-organisasi agama dan juga menjadi rujukan kepada masyarakat di bawah kepimpinannya berkaitan hal-hal keagamaan dan secara khusus dalam aspek membina toleransi antara agama dalam masyarakat majmuk.

Pelaksanaan dialog antara agama di Malaysia telah melalui satu trasformasi (1980-2000) daripada bersifat tuntutan satu pihak kepada satu pihak yang lain kepada suatu keperluan dalam masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama dan kaum.

Oleh itu di dalam proses pelaksanaanya dilihat terdapat pelbagai isu dan kelemahan sehingga telah memperlahankan proses dialog.

Selain itu dadapati juga pelaksanaannya tidak menepati tujuan utama dialog antara agama khususnya dalam realiti dan suasana di Malaysia.

Antara kelemahan yang dilihat penting adalah aspek penglibatan pemimpin agama dalam memastikan pelaksanaan dan perjalanan dialog antara agama berjalan dengan baik sama ada inter-dialogue mahupun intra-dialogue dalam konteks dialog penyelesaian konflik di peringkat nasional.

Merujuk kepada beberapa laporan kajian berkaitan pelaksanaan dialog antara agama oleh Institute of Peace di Amerika, pengkaji seperti Bill Sterland dan John Beauclerk, Mohamad Abu–Nimer dan Vivien Lowndes dan Rachael Chapman, proses pelaksanaan dialog berlangsung dalam beberapa kategori masyarakat atau kumpulan.

Antaranya kumpulan; Ketua Agama Tertinggi, Badan-badan antara agama, Masyarakat pertengahan dan Masyarakat bawahan.

Begitu juga di Malaysia proses pelaksanaannya turut melibatkan pelbagai kategori kumpulan.

Antara kategori tersebut adalah Badan-badan kerajaan, Badan bukan kerajaan (Berkonsep Agama dan selain berciri agama), Ahli Akademik/Institusi Penyelidikan dan Orang awam.

Jika dibandingkan dengan maklumat kategori kumpulan yang terlibat dalam pelaksanaan dialog antara agama di luar Malaysia, perbezaannya tidak begitu ketara.

Bagaimanapun jika skop dan fokusnya dilihat dari segi dialog antara agama dalam konteks penyelesaian konflik agama dan para pendialog sebagai ajen penyelesaian konflik antara agama maka perbezaannya amat ketara.

Di Malaysia kumpulan yang dikategorikan sebagai High-level religious leader/ faith leadership yang harus berperanan sebagai ajen dalam konteks penyelesaian konflik tidak wujud dalam era 80-an dan 90-an.

Bahkan dialog antara agama yang berperanan sebagai platfom untuk berbincang secara serius dan mendalam dalam kalangan pemimpin agama juga tidak berlaku secara berstruktur di peringkat nasional sehinggalah tahun 2010.

Maka pada tahun 2010 satu jawatankuasa ditubuhkan yang dipanggil sebagai Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA), manakala pada 14 Ogos 2020 Jemaah Menteri telah bersetuju dengan penubuhan jawatankuasa baharu iaitu dipanggil Jawatankuasa Keharmornian Antara Penganut Agama (HARMONI).

Antara fungsi utama jawatankuasa ini adalah membentuk platform yang terdiri daripada pemimpin badan agama, atau persatuan agama serta lain-lain pihak berkaitan.

Fungsi lain seperti memantapkan iklim perhubungan yang baik dalam kalangan pemimpin serta penganut pelbagai agama berteraskan semangat saling hormat menghormati dan bekerjasama di semua peringkat, menggalakkan semua penganut agama memahami dan menghormati Perlembagaan Persekutuan, meningkatkan penghayatan rakyat kepada nilai-nilai agama selaras dengan Prinsip Rukun Negara, meningkatkan kefahaman mengenai kepelbagaian agama, budaya dan adat resam agar menjadi sumber kekuatan negara dan Masyarakat dan membantu menyelesaikan konflik atau salah faham berkaitan isu agama melalui kaedah intervensi dan mediasi.

Berdasarkan kajian-kajian terdahulu serta fungsi badan yang menaungi pemimpin agama seperti dinyatakan di atas maka penulis melihat bahawa kumpulan yang dikategorikan sebagai Pemimpin Agama Tertinggi ini adalah kumpulan yang paling penting dalam pelaksanaan dialog antara agama terutama dialog yang berkonsepkan penyelesaian konflik antara agama.

Pemimpin Agama Tertinggi ini adalah merujuk kepada kumpulan pemimpin agama yang mengisi jawatan-jawatan tertinggi dalam sesebuah agama sama ada dalam Agama Islam, Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain.

Mereka yang berada dalam kumpulan ini adalah yang mempunyai latar belakang pendidikan agama masing-masing.

Secara umumnya kumpulan ini mempunyai potensi untuk mempengaruhi pihak pembuat dasar, penggubal undang-undang seperti kerajaan serta masyarakat awam dalam konteks yang luas.

Kumpulan ini juga terlibat sebagai mediasi atau pengantara penyelesaian konflik.

Mereka terlibat sebagai wakil dialog di awal konflik antara agama yang berlaku atau program-program dialog antara agama, penglibatan dialog ke arah penyelesaian konflik, dialog selepas konflik serta proses dialog ke arah perdamaian.

Kumpuan kedua iaitu Badan-badan antara agama, kumpulan ini merujuk kepada badan-badan agama, persatuan-persatuan agama dan Badan bukan kerajaan (NGO).

Mereka yang berada dalam kumpulan ini mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi sehingga ada yang berpendidikan Doktor Falsafah-Profesor.

Selain itu golongan profesional seperti pensyarah (termasuk bidang agama) dan peguam serta ahli politik juga turut dikategorikan dalam kumpulan ini. Kumpulan ini juga dikategorikan sebagai Elite Group.

Kumpulan ketiga iaitu Masyarakat pertengahan, kumpulan ini merujuk kepada kumpulan yang turut mempunyai latar belakang pendidikan yang baik di mana mempunyai potensi untuk mempengaruhi dalam kelompok yang kecil dan kebiasaannya lebih kepada pendekatan peribadi.

Antara kelompok ini adalah seperti golongan para pendidik dan golongan agama setempat.

Kumpulan keempat iaitu Masyarakat bawahan, kumpulan ini merujuk kepada rakyat beragama Islam, Kristian, Hindu, Budhha dan lain-lain dan kebiasaannya mempunyai ciri-ciri aktivis teruatam aktivis agama.

Bagaimanapun mereka hanya berpotensi mempengaruhi sesiapa yang mepunyai hubungan rapat dengannya seperti rakan-rakan dan keluarga.

Maka berdasarkan asas ini kesalahan memilih atau menghantar wakil, apatah lagi menghantar pemimpin agama yang salah dalam berdialog terutama dialog yang bertujuan menyelesaikan konflik antara agama maka sudah pasti dialog tidak akan berjaya.

Tambahan lagi masalah yang cuba diselesaikan tidak akan berhasil, malah boleh menggagalkan proses mewujudkan perpaduan dan toleransi dalam kalangan masyarakat berbilang agama dan kaum.

Oleh itu untuk meneliti dengan lebih lanjut persoalan pemimpin agama sebagai ejen dialog antara agama maka adalah penting untuk setiap agama memahami ciri-ciri asas, unsur-unsur kualiti yang perlu ada kepada pemimpin agama masing-masing.

Kualiti kepimpinan ini juga amat diperlukan apatah lagi sesuatu sesi dialog itu adalah bertujuan membincangkan serta mencari jalan penyelesaian kepada sesuatu isu antara agama yang sedang berlaku dalam sesebuah masyarakat terutama di peringkat nasional.

Berasaskan kajian-kajian kejayaan pelaksanaan dialog antara agama dan secara khusus kepada dialog penyelesaian konflik, konsep “pemimpin agama” itu harus didasari dengan ciri-ciri kepimpinan yang berkualiti.

Ia terbahagi kepada:

Pertama, Kualiti Fizikal yang terbahagai kepada dua iaitu:

1. Kualiti Fizikal Luaran – kualiti ini adalah seperti berpengalaman, mampu untuk memimpin, mengetuai, menerajui dan mengawasi perjalanan sesebuah organisasi (agama), kumpulan dan kaum di bawah pimpinannya dengan baik.

Di samping itu mampu untuk merencana, merancang, menstrategi serta mengatur segala bentuk perkara dalam memastikan perjalanan organisasi atau kumpulan yang diterajui dalam keadaan baik.

Seterusnya pemimpin agama ini juga harus mampu memberi perintah dan mengarah, memutuskan perkara penting seperti hukuman serta dapat memastikan segala perancangan yang diatur dilaksanakan apatah lagi jika kerangka perancangan melibatkan permasalahan atau konflik antara agama.

2. Kualiti Fizikal Dalaman – kualiti ini adalah seperti seseorang yang bertanggungjawab, mampu menjadi pembimbing dan penasihat apatah lagi dalam kerangka pembimbing kerohanian seperti mampu untuk menjadi imam dan upacara keagamaan.

Selain itu pemimpin agama juga adalah orang yang mampu untuk mempengaruhi kumpulan pimpinannya dan mempunyai daya inisiatif yang tinggi dalam menjalankan kerja-kerja yang diamanahkan terutama dalam kerangka membimbing dan menjamin kemaslahatan masyarakat yang besar di bawah kepimpinannya.

Kedua: Kualti Keagamaan dan Kualiti Kerohanian

Jika dilihat daripada perspektif Islam pemimpin agama itu sudah pasti harus mempunyai dan memahami konsep asas-asas Islam dalam diri mereka iaitu Akidah, Shariah dan Akhlak.

Begitu juga dalam agama-agama lain seperti aspek ketuhanan, moral dan etika.

Antara ciri-ciri tersebut adalah seperti, mempunyai kepercayaan dan keimanan kepada Tuhan, tunduk dan patuh segala perintah agama, taat beribadah, wara’ dan mempunyai hubungan baik sesama manusia.

Ketiga: Berautoriti dan Berwibawa

Kualiti ini dilihat dari sudut kewibawaan pemimpin agama untuk memimpin, memutuskan sesuatu keputusan serta mampu untuk menjadi kuasa penentu dan pengimbang dalam apa jua keadaan atau situasi.

Kualiti ini adalah amat penting kerana jika pemimpin agama tidak mempunyai kewibawaan dan tidak mampu untuk membuat keputusan, maka sudah pasti seluruh kumpulan di bawah pimpinannya hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap kepimpinannya dan seterusnya akan wujud krisis ketidakpercayaan.

Ciri ini juga amat penting dalam proses menangani permasalahan dalam masyarakat majmuk seperti konflik agama dan sebagainya.

Keempat: Melibatkan latar belakang pendidikan (formal) dan pengalaman pemimpin agama dalam berdialog melalui program-program dialog antara agama sama ada sebagai panel, penganjur mahupun peserta.

Maka merujuk kepada beberapa kajian model-model pelaksanaan dialog, terdapat faktor-faktor yang wujud dalam mempengaruhi kejayaan dialog antara agama yang melibatkan pemimpin agama.

Antara faktor penting yang perlu ada di kalangan pemimpin agama adalah Tahap Pendidikan/Pendidikan Agama/Proses Pendidikan, Pengalaman dalam dialog/Hubungan Antara Agama dan Tahap Kefahaman Ilmu Agama yang tinggi.

Faktor-faktor ini di samping kualiti asas individu atau kualiti dalaman dan luaran yang wujud dalam kalangan pemimpin agama maka ia akan memberi kesan terhadap peningkatan hubungan sosial antara pemimin agama yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam kehidupan seharian.

Antara asas hubungan sosial yang penting serta dilalui oleh pemimpin agama adalah Interaksi sosial, Sikap Inklusif, Sikap Altruistik, Sikap kerjasama dalam penyelesaian konflik dan Hal-hal melibatkan perkongsian agama masing-masing dalam kalangan pemimpin agama.

Oleh itu penulis dapat memahami dengan jelas bahawa peri pentingnya memilih pemimpin agama yang benar-benar mampu atau berkualiti dalam memimpin apatah lagi dalam kerangka masyarakat majmuk.

Ini adalah kerana pemimpin agama harus menjadi role model dan berperanan besar khususnya dalam masyarakat di bawah pimpinannya dan masyarakat majmuk amnya seperti di Malaysia terutama apabila berlaku isu-isu antara agama.

Walaupun di Malaysia ini hubungan antara agama dan kaum dilihat agak tenang dan terkawal, tetapi jangan kita lupa seperti pepatah Melayu, “Jangan disangka sungai yang tenang tiada buaya”.

Maknanya jika tidak diurus dengan baik terutama peranan yang harus dimainkan oleh pemimpin agama, maka berkemungkinan ia boleh mencetuskan ketidakstabilan hubungan antara agama dan akhirnya boleh menggagalkan agenda perpaduan dalam negara Malaysia yang tercinta ini.

Maka adalah diharapkan bahawa seramai 30 Ahli Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (HARMONI) terkini yang dilantik oleh pihak kerajaan telah memenuhi kriteria-kriteria khusus.

Contohnya, dalam perbahasan di atas demi memastikan enam matlamat asas penubuhan HARMONI terlaksana, serta dapat menyokong Kerangka Membangun Malaysia MADANI Melalui Konsep Perpaduan Dalam Kepelbagaian seterusnya memastikan Dasar Perpaduan Negara dan Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 tercapai.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.