Erti keseimbangan bagi dunia digital 2026
Pada awal tahun ini, jumlah pengguna internet di negara kita mencecah 34.9 juta dan jumlah penestrasi atas talian ialah 97.7 peratus.

TAHUN 2025 akan berlalu pergi. Bagi kehidupan digital, boleh dirumuskan bahawa negara Malaysia dan juga rakyatnya telah bermastautin dalam dunia ini. Pada awal tahun ini, jumlah pengguna internet di negara kita mencecah 34.9 juta dan jumlah penestrasi atas talian ialah 97.7 peratus.
Jelaslah di sini, hampir setiap sudut kehidupan kita sama ada pekerjaan, pembelajaran, beli-belah malah aktiviti kerohanian, terkesan dengan perkembangan teknologi digital ini.
Daripada aspek ekonomi, wah, cerita Malaysia mengagumkan. Pada tahun ini, negara kita dijangka memperoleh nilai dagangan kasar (GMV) sebanyak AS$39 bilion dalam ekonomi digital. Jumlah ini bersamaan lebih kurang RM161 bilion. Sekaligus, kemajuan ini membuktikan bahawa Malaysia merupakan pasaran digital yang berkembang paling pesat di Asia Tenggara.
Jika dilihat dari segi e-dagang sendiri, Malaysia telah memperoleh hasil sebanyak RM937.5 bilion dalam sembilan bulan pertama tahun ini, meningkat sebanyak 1.9 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2024. Pertumbuhan ini bergerak selari dengan hala tuju negara kita yang menyasarkan ekonomi digital untuk menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada tahun 2025, satu sasaran yang ditetapkan di bawah inisiatif pelan hala tuju MyDIGITAL.
Namun demikian, di sebalik jumlah yang hebat memukau ini, tersimpan banyak cerita kehidupan dalam dunia digital yang rumit. Rakyat Malaysia kini disimpulkan melayari media sosial secara purata enam jam sehari, hampir menyamai dengan jumlah waktu bekerja normal di pejabat.
Di samping itu, kajian-kajian lain yang menjurus kepada ketagihan digital menerangkan waktu layar anak-anak muda melonjak kepada lapan jam sehari dan pelayarannya melibatkan berbilang peranti. Yang lebih merisaukan, penyertaan berlebihan kelompok ini dalam platform digital seperti TikTok dan Instagram mengundang kesan buruk kepada kualiti tidur, tempoh tumpuan dan fokus akademik di sekolah.
Bagi anak-anak yang lebih kecil, risikonya lebih berbahaya. Berdasarkan kajian yang dikenali sebagai Disrup ng Harm in Malaysia, satu daripada 25 anak-anak kecil di negara kita yang berusia sekitar 12 hingga 17 tahun pernah mengalami eksploitasi atau penyalahgunaan seksual atas talian, termasuk kes peras ugut dan perkongsian gambar peribadi secara paksa.
Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mengingatkan kita dan semua pemegang taruh bahawa dunia digital bergerak pantas, maka, perlindungan kepada anak-anak mestilah bergerak dengan lebih pantas lagi.
Terbaru, pendekatan kerajaan berkenaan isu ini nampak jitu, iaitu bermula tahun 2026, negara kita merancang untuk melarang akaun media sosial bagi anak-anak berumur bawah 16 tahun dan pengesahan umur bagi larangan ini menggunakan dokumen pengenalan rasmi.
Walau bagaimanapun, pendekatan ini mendapat buah fikiran yang berbeza daripada penyokong dan pengkritik. Golongan yang menyokong bersetuju dengan hujah bahawa ia merupakan perisai kepada buli siber, penipuan dan pengantunan. Sebaliknya, pengkritik bimbang sekiranya dilarang, anak-anak akan melibatkan diri dengan platform yang tidak dikawal atau aplikasi yang tidak dilanggan secara rasmi.
Justeru, golongan pengkritik menegaskan bahawa pendidikan adalah pendekatan yang sebenar dalam menangani isu ini, bukan larangan semata-mata. Segala isu di atas berbalik semula kepada kata-kata daripada seorang ahli sejarah teknologi yang popular, Profesor Melvin Kranzberg di mana beliau menyebut bahawa teknologi itu bukanlah sifatnya baik atau jahat dan bukan juga neutral.
Ini bermaksud terpulanglah kepada kita untuk membuat pilihan dalam dunia digital. Di negara kita, polisi dan peraturan telah diperkenalkan, justeru, jadikannya sebagai panduan dan misi utama.
Pada tahun 2026 yang akan menjelang tiba, apakah tindakan kita?
Pertama, berhijrah daripada akses biasa kepada akses sihat. Negara kita, Malaysia sedaya upaya menyelesaikan masalah kesalinghubungan, jadi, sekarang, kita perlu menangani isu hasil hubungan ini.
Sekolah, universiti dan keluarga memerlukan panduan waktu layar yang jelas dan bersesuaian dengan umur yang mana ia dapat mengimbangkan pembelajaran, rehat, aktiviti luar dan hubungan fizikal. Seterusnya, panduan ini perlu dibentuk berasaskan bukti penyelidikan daripada para penyelidik tempatan sama ada dalam bidang kesihatan atau pendidikan.
Kedua, perlakukan keselamatan digital ibarat kita memandu di atas jalan raya. Walaupun kemalangan berlaku, kita tidak berhenti menggunakan jalan raya tetapi, kita membina peraturan, papan tanda dan tabiat memandu yang baik.
Maka, sama juga dengan kehidupan digital, pada tahun 2026, masukkan modul keselamatan siber sebagai amalan standard merentasi kurikulum, yang mengenengahkan ketahanan emosi, rasa empati atas talian dan literasi media yang mantap. Kemudian, perkuatkan sistem pelindungan anak-anak, bukan hanya peraturan platform digital.
Data berkenaan eksploitasi atas talian menunjukkan jumlah anak-anak yang meminta bantuan daripada saluran yang sah adalah sangat sedikit. Ini bermaksud talian bantuan, kaunselor sekolah, pihak polis dan platform teknologi haruslah bekerjasama rapat dan anak-anak perlu diajar untuk membuat aduan di saluran yang betul apabila ternampak atau terlibat dengan sesuatu yang salah apabila berada atas talian.
Terakhir, selarikan hala tuju kecerdasan buatan (AI) dan pusat data dengan tadbir urus yang kuat. Negara kita mahu dikenali sebagai hab AI dan data, dan telah melalui banyak penambahbaikan serta disokong oleh syarikat teknologi gergasi tetapi, AI dalam pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan awam perlu diselaraskan dengan peraturan yang jelas terhadap privasi, kecenderungan dan kebertanggungjawapan. Sekiranya ia tidak selari, hala tuju teknologi di negara kita akan melebarkan lagi ketidaksamarataan digital.
Sebagai penghias bicara akhir, seorang rakyat digital yang bertanggungjawab bukan sekadar pengguna aplikasi yang pasif tetapi seorang pencipta bersama yang berpengetahuan, iaitu seseorang yang boleh membuat kandungan digital, menilai maklumat secara kritikal, melindung data sendiri dan juga tahu bila perlunya untuk menutup sesi digital.
Tahun 2025 menunjukkan masyarakat kita berhubung tanpa sempadan. Oleh itu, 2026 merupakan tahun untuk kita memilih pembentukan masyarakat digital bagaimana yang kita mahukan. Tentunya, yang inovatif, tetapi pada masa yang sama, yang lebih baik hati, lebih selamat dan masih ada nilai keperimanusiaan. Pilihan ini jelas ada dalam setiap ketukan, leretan dan perkongsian kita di dalam dunia digital.

