UPSI perkasa agenda dakwah negara
Antara 27 institusi pengajian tinggi awam dan swasta memeterai Memorandum Persefahaman bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.
Dr. Zulkifli dan Dr. Zambry ketika merasmikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara YADIM dan Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Oleh BAZLI RAZAK
KUALA LUMPUR, 18 Disember 2025 — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi keilmuan yang menyumbang secara aktif kepada agenda dakwah negara apabila menjadi antara 27 institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA dan IPTS) yang memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dalam satu majlis yang berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
UPSI yang diwakili oleh Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata kesediaan universiti itu untuk memanfaatkan kepakaran akademik dalam memperkukuh disiplin dakwah Islamiyah serta memperluas jaringan kerjasama strategik antara institusi akademik di peringkat nasional dan antarabangsa.
Beliau berkata kerjasama tersebut merangkumi pelbagai aspek termasuk pelaksanaan program pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, penerbitan, penganjuran persidangan, seminar dan bengkel, selain program pertukaran dan mobiliti pelajar serta kakitangan akademik.

Majlis pemeteraian itu disifatkan sebagai kerjasama berskala terbesar pernah dilaksanakan oleh YADIM, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dan institusi pengajian tinggi dalam memperkasa agenda dakwah negara secara lebih menyeluruh, tersusun dan berimpak tinggi berteraskan ilmu serta penyelidikan.
“UPSI melihat MoU ini sebagai satu platform penting untuk membangunkan modal insan mahasiswa secara holistik, khususnya melalui latihan industri, program mobiliti serta penglibatan aktif pelajar dalam agenda dakwah yang berteraskan ilmu dan nilai kemasyarakatan.
Menurut beliau, UPSI turut memberi penekanan kepada kerjasama dalam bidang bahasa, kesusasteraan dan pendidikan bahasa Arab, selaras dengan kekuatan akademik universiti itu menerusi Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK).

“Penglibatan pelajar Program Bahasa Arab UPSI sebagai Rakan Siswa YADIM dan Daie Muda YADIM sejak 2023 membuktikan keberkesanan kerjasama sedia ada dan wajar diperkasakan ke tahap lebih tinggi.
“Melalui MoU ini, UPSI bersedia memperluas kerjasama penyelidikan termasuk dalam bidang bahasa dan kesusasteraan Arab, terjemahan bahasa Melayu-Arab-Inggeris serta bahasa asing lain, komunikasi dan bidang berkaitan yang memberi impak signifikan kepada kedua-dua institusi dan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata kerjasama menerusi pemeteraian MoU bersama 27 IPTA dan IPTS itu merangkumi pelbagai bidang strategik termasuk penyediaan modul, penerbitan, penulisan serta penglibatan kepakaran akademik bagi menyokong gerak kerja dakwah secara lebih tersusun dan berimpak tinggi.
“Kerjasama ini penting kerana kita mahu memanfaatkan sepenuhnya kepakaran yang ada di universiti untuk bersama-sama mengorak langkah lebih baik agar agenda dakwah dapat dilaksanakan berasaskan ilmu serta selari dengan keperluan semasa,” katanya ketika merasmikan majlis penandatanganan MoU itu.

Majlis pemeteraian MoU itu turut disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr Hasan Bahrom.
