Kehadiran fizikal bukan satu-satunya ukuran keibuan
Nilai seorang ibu tidak seharusnya hanya ditentukan oleh sejauh mana seorang ibu itu sentiasa berada di rumah.

PERBAHASAN tentang ibu bekerjaya sering berlegar kepada persoalan masa iaitu berapa jam bersama anak, berapa kerap memasak dan sejauh mana kehadiran fizikal dapat dipenuhi setiap hari. Dalam hal ini, wacana awam yang mengukur dan menilai keibuan melalui apa yang kelihatan di luar semata-mata perlu diperhalusi semula.
Nilai seorang ibu tidak seharusnya hanya ditentukan oleh sejauh mana seorang ibu itu sentiasa berada di rumah. Terdapat satu perkara yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi sebenarnya meninggalkan kesan yang sangat mendalam, iaitu kesan emosi dan nilai yang ditinggalkan dalam jiwa anak-anak itu sendiri.
Hakikatnya, tidak semua ibu mampu hadir sepenuhnya dari sudut fizikal. Ada ibu yang tidak selalu memasak, tidak sempat menyediakan bekal setiap hari dan tidak mampu menguruskan segala urusan rumah tangga secara sempurna kerana keluar bekerja. Ramai ibu memilih untuk bekerja bukan kerana terpaksa tetapi kerana mencintai pekerjaan dan peranan sebagai wanita bekerjaya.
Pilihan ini amat bernilai. Malah, dalam pendidikan anak-anak, pilihan ini juga merupakan satu cara yang baik untuk membantu anak-anak belajar tentang kehidupan. Melalui contoh yang ditunjukkan oleh ibu bekerjaya, anak-anak dapat mempelajari di hadapan mata mereka sendiri bahawa hidup tidak menjanjikan kemudahan tetapi sentiasa membuka ruang kepada mereka yang berani berusaha, bertindak dan tidak mudah mengalah, walaupun sering dipandang remeh oleh orang lain. Hal ini merupakan pembelajaran penting yang mampu ditonjolkan oleh ibu bekerjaya melalui sisi sebenar kehidupan yang mereka sendiri lalui.
Dalam keterbatasan masa, ramai ibu bekerjaya masih berusaha meninggalkan pembelajaran tersebut kepada anak-anak dengan cara yang jauh lebih kekal dan bermakna iaitu melalui rasa. Rasa dipercayai, rasa dihargai, rasa disayangi dan rasa tidak ditinggalkan walaupun tidak sentiasa bersama secara fizikal. Rasa inilah sebenarnya yang sering menjadi asas kekuatan emosi anak-anak apabila berhadapan dengan kegagalan dan kesilapan dalam hidup.
Dalam hal ini, pengalaman bersama anak-anak, walaupun singkat, mungkin tidak diingati secara terperinci. Namun emosi yang terakam dalam pengalaman itu akan terus membentuk cara anak melihat diri sendiri dan dunia sekelilingnya. Dalam konteks ini, wacana ini bukan bertujuan mempertahankan ibu bekerjaya, apatah lagi menafikan peranan ibu yang sepenuh masa di rumah. Sebaliknya, penulisan ini mengajak kita mempersoalkan semula satu tanggapan lama yang masih wujud iaitu kehadiran fizikal semata-mata sudah mencukupi untuk membina jiwa seorang anak.
Selain itu, hakikat kehidupan juga menuntut kesedaran bahawa ibu tidak akan selamanya berada di sisi anak-anak. Perpisahan tidak hanya berlaku kerana tuntutan kerja atau hal-hal bersifat sementara. Suatu masa, perpisahan akan berlaku kerana anak-anak telah dewasa dan membawa haluan hidup masing-masing. Bahkan, ada masa yang tidak dapat dielakkan apabila perpisahan berlaku kerana kematian. Kesedaran inilah yang mendorong ramai ibu bekerjaya untuk membesarkan anak yang berdikari, mampu mengurus diri dan kuat walaupun tanpa sokongan berterusan.
Pembinaan disiplin, rutin dan tanggungjawab sejak kecil sering menjadi antara usaha utama ibu bekerjaya. Ia bukan sekadar latihan pengurusan diri sebagai manusia tetapi juga latihan spiritual sebagai hamba Tuhan. Nilai-nilai ini tidak lahir secara spontan, sebaliknya dibentuk melalui pengulangan, latihan berterusan dan disiplin diri walaupun tanpa kehadiran ibu sepenuhnya secara fizikal.
Selain pembentukan disiplin dan tanggungjawab, pendidikan anak-anak juga tidak harus terhenti pada pembentukan kekuatan semata-mata. Anak-anak perlu belajar bahawa kelemahan bukan sesuatu yang memalukan. Dalam hal ini, ibu bekerjaya berperanan sebagai contoh sebenar bahawa keletihan, kekecewaan dan emosi yang bercampur-baur merupakan sebahagian daripada realiti hidup yang perlu diurus dengan sihat. Mendepani realiti sebagai seorang wanita bekerjaya adalah satu cabaran yang besar.
Apabila ibu berani menamakan emosi dan menguruskannya secara terbuka serta berhemah, anak-anak sedang mempelajari satu kemahiran penting yang jarang diajar secara formal iaitu kecerdasan emosi. Mereka belajar bahawa kehidupan tidak sentiasa berjalan lancar tetapi emosi boleh difahami dan dikawal dengan cara yang betul.
Dalam kerangka keibubapaan Islam, tanggungjawab ini bukan sekadar bersifat praktikal tetapi juga amanah spiritual. Seruan untuk memelihara diri dan keluarga daripada kebinasaan bukan hanya tentang dosa dan pahala, tetapi tentang usaha mendidik, membimbing dan mencuba sedaya mungkin sebelum menyerahkan selebihnya kepada Tuhan dengan penuh kesedaran akan keterbatasan manusia.
Mungkin persoalan yang lebih besar untuk kita fikirkan hari ini bukanlah sama ada seorang ibu itu bekerja atau tidak, tetapi apakah ruang yang kita sediakan sebagai masyarakat untuk meraikan, menyokong dan memperkasakan pembinaan emosi serta nilai dalam keluarga moden.
Atas kesedaran itu, menjadi seorang ibu bekerjaya bukan sesuatu yang wajar disesali. Ia adalah satu bentuk ikhtiar untuk membesarkan anak-anak dengan nilai, ketahanan emosi dan kesedaran spiritual, walaupun dalam keterbatasan masa dan kemampuan.
Dalam sebuah dunia yang masih sering menilai darjat keibuan melalui apa yang kelihatan di luar, mungkin sudah tiba masanya kita menyoal dengan lebih jujur iaitu bukan sekadar berapa lama seorang ibu berada bersama anaknya tetapi apakah rasa yang benar-benar ditinggalkan dalam jiwa anak-anak itu sendiri.

