HALAL merujuk kepada sesuatu yang dibenarkan atau diizinkan menurut ajaran agama Islam.
Istilah halal sering digunakan terutamanya dalam konteks makanan dan minuman, di mana ia merujuk kepada produk-produk makanan dan minuman yang telah mendapat pengiktirafan halal dari pihak berwajib.
Pengiktirafan ini menjamin bahawa produk tersebut mematuhi piawaian halal, bersih dan selamat untuk digunakan.
Konsep halal tidak terhad kepada makanan dan minuman sahaja tetapi juga boleh diterapkan dalam pelbagai aspek kehidupan lain termasuk pendapatan dan hubungan sosial.
Dalam konteks ini, halal merangkumi segala sesuatu yang selaras dengan ajaran Islam dan tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip agama tersebut.
Bagi memastikan pemahaman yang menyeluruh dalam ilmu halal, pendidikan mengenai hal ini perlu disampaikan secara efektif dan berterusan kepada semua segmen masyarakat termasuklah golongan mualaf.
Atas semangat inilah sekumpulan pelajar tahun kedua Sarjana Muda Syariah, dengan pengkhususan dalam Fiqh dan Usul dari Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) menganjurkan program yang dinamai ‘Halcare’ bersama komuniti mualaf baru-baru ini.
Program ini mendapat kerjasama daripada Masjid Amaniah di Kepong, Kuala Lumpur yang menyediakan lokasi program di samping membantu mendapatkan peserta dari komuniti mualaf setempat.
“HalCare’ yang merupakan singkatan bagi ‘HalalCare: Awareness and Empowerment’ sebenarnya adalah sebahagian daripada kursus teras ‘Fiqh al-Halal wa al-Haram fi al-Islam.
“Program ini merupakan inisiatif khidmat komuniti yang bertujuan untuk memperkukuh pemahaman mengenai aspek halal dan haram dalam pemakanan, pendapatan dan hubungan sosial terutamanya dalam kalangan komuniti mualaf,” kata Pensyarah Kanan di Jabatan Fiqh dan Usul APIUM dan Timbalan Pengarah, Pusat Penyelidikan Halal Universiti Malaya (UMHRC), Dr. Norhidayah Pauzi yang merupakan penasihat program.
Menurut Ustazah Masturina Maryam Wong, yang merupakan salah seorang tenaga pengajar mualaf di Masjid Amaniah, kebanyakan mualaf yang mengikuti kelas pengajian ini memiliki pemahaman yang rendah tentang konsep halal dan haram, meskipun telah lama mengikuti pengajian.
“Selain tahap pemahaman yang rendah, mereka juga kurang menerima pendedahan dari aspek persyariatan Islam itu sendiri.
“Jika mereka diberi pendedahan yang sepatutnya, saya pasti mereka mampu melakukannya,” katanya.
Dr. Norhidayah. menambah: “Sebenarnya kelemahan yang dimaksudkan ini boleh dikaitkan dengan dua faktor utama.
“Pertama, sebahagian besar daripada komuniti mualaf ini kurang lancar berbahasa Melayu, sedangkan kebanyakan kelas dan pengajar menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
“Ini memberikan cabaran tambahan kepada mereka untuk mengikuti kelas pengajian yang disediakan.
“Kedua, peruntukan masa yang terhad untuk setiap kelas, iaitu hanya dua jam setiap minggu, sebenarnya tidak mencukupi untuk mereka benar-benar memahami dan menjiwai kesemua yang diajar.
“Jelas sekali program ini bukan hanya memberi manfaat pengetahuan dan pengalaman baharu kepada para peserta, tetapi juga membuka mata mahasiswa sebagai ejen perubahan masyarakat.
“Saya mengharapkan mereka menyedari peranan mereka yang besar dalam membantu pembinaan hubungan yang harmoni dan saling memahami di antara pelbagai lapisan masyarakat.”
Berpandukan pernyataan permasalahan ini, para pelajar UM mereka bentuk aktiviti yang bukan sahaja ceramah, namun interaktif bagi meningkatkan pemahaman peserta mengenai aspek halal dan haram dalam kehidupan seharian.
“Seramai 30 orang peserta dari komuniti mualaf telah menyertai program ‘HalCare’ ini, berumur antara 20 hingga 70 tahun,” kata sukarelawan UM, merangkap setiausaha program, Muhd Syafiq Abdul Halim.
Selain penerangan, peserta diberi kefahaman mengenai konsep halal dan haram dalam aspek makanan, pendapatan dan hubungan kekeluargaan melalui permainan dan sesi soal-jawab yang interaktif, bersama sukarelawan dan penceramah jemputan.
“Paling menyentuh hati ialah apabila kami melaksanakan aktiviti ‘Bicara Heart to Heart’, di mana para peserta berkongsi pengalaman dan cabaran hidup masing-masing setelah bergelar sebagai seorang muslim.
“Saya kagum dengan semangat mereka yang cekal untuk meneruskan kehidupan yang tenang dan bahagia berbekalkan syiar Islam, walaupun dengan pelbagai cabaran yang melanda,” kata Muhd Syafiq lagi.