UM, MYSO bawa inovasi murid sekolah ke peringkat antarabangsa

World Youth STEM Invention Innovation 2025 berjaya menghimpunkan seramai 641 peserta daripada sembilan negara yang berlangsung dari 23 hingga 27 Februari lepas.

Poster Terkini (2)


KUALA LUMPUR, 20 Jun 2025 – Pertandingan inovasi antarabangsa World Youth STEM Invention Innovation (WYSII) 2025 berjaya menghimpunkan seramai 641 peserta daripada sembilan negara dengan membentangkan 284 projek inovasi dalam pelbagai kategori pendidikan sepanjang berlangsung dari 23 hingga 27 Februari lepas.

Acara edisi keempat yang bertemakan ‘Pioneering Solutions, Shaping the Future’ itu dianjurkan oleh Malaysia Young Scientists Organisation (MYSO) dengan kerjasama Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya serta Universitas Negeri Medan (UNIMED).

Presiden MYSO, Razmi Abdul Razak berkata, WYSII bukan sekadar medan pertandingan, sebaliknya merupakan satu gerakan global yang memupuk pemikiran kreatif, kerjasama rentas negara dan inovasi demi manfaat masyarakat sejagat.

“WYSII 2025 memberi peluang kepada peserta seawal usia tujuh tahun untuk mempersembahkan solusi berasaskan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) yang bersifat lestari dan berimpak tinggi,” katanya.

Sebanyak 34 projek sekolah rendah, 111 projek sekolah menengah, 16 projek dari kolej dan universiti, 69 projek oleh guru serta pentadbir pendidikan, dan 54 projek dalam talian dipersembahkan sepanjang program.

Negara yang mengambil bahagian termasuk Malaysia, Thailand, Indonesia, Itali, Kazakhstan, Bosnia dan Herzegovina, Romania, Filipina dan Nepal.

Program ini turut disertai pelajar dan pendidik dari pelbagai institusi seperti Sekolah Berasrama Penuh, MRSM, Kolej Vokasional, Sekolah Teknik, serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta, menjadikan WYSII sebagai acara inklusif yang menyatukan komuniti pendidikan global.

Majlis penutup diserikan dengan kehadiran Konsul Jeneral Malaysia di Medan, Shahril Nizam Abdul Malik selaku tetamu kehormat. Turut hadir wakil-wakil daripada UNIMED, Kementerian Pendidikan Malaysia, Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV), Jabatan Pendidikan Negeri Perak dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan.

Berikut ialah senarai pemenang utama WYSII 2025:

– Pembentangan Pengurusan Pendidikan Terbaik: SK Rapat Setia, Perak

– Kategori Guru Terbaik: SBPI Gopeng, Perak

– Kolej & Universiti Terbaik: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak

– Kategori Sekolah Menengah Terbaik: MRSM Mersing, Johor

– Kategori Sekolah Rendah Terbaik: SK Rapat Setia, Perak

Dalam pada itu, Anugerah WYSI International Leadership & Teachers Award 2025 turut disampaikan kepada Dr. Mior Hamdan Ghazali (Kategori Profesional/Pengurusan) dan Amiruddin Razali dari SMK Puteri Ampang (Kategori Guru).

Malaysia diumumkan sebagai juara keseluruhan WYSII 2025, diikuti Thailand di tempat kedua dan Indonesia di tempat ketiga.

WYSII 2025 turut mencipta sejarah apabila menerima pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai ‘Pertandingan STEM Antarabangsa Dengan Penyertaan Belia Terbesar Tahun 2025’. Sijil disampaikan kepada Presiden MYSO dalam satu majlis penuh bersejarah yang turut disaksikan para tetamu kehormat dan semua peserta.

Antara detik istimewa sepanjang program ialah sesi lawatan ke Pejabat Konsulat Malaysia di Medan yang menerima kunjungan rasmi 614 peserta – delegasi terbesar pernah diterima pejabat tersebut. Dalam sesi interaktif itu, para peserta didedahkan dengan peranan diplomatik Malaysia serta diskusi berkaitan hubungan antarabangsa sempena Tahun Kepengerusian ASEAN 2025.

Razmi turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia, khususnya Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian atas sokongan padu terhadap acara ini.

“Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada Tuan Shahril Nizam dan seluruh pasukan Konsulat Malaysia di Medan atas kerjasama logistik dan keselamatan sepanjang program,” katanya sambil memaklumkan bahawa edisi seterusnya WYSII akan berlangsung di Thailand.