UM, PPUM perkukuh kerjasama tingkat kesedaran kesihatan komuniti

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Farmasi dan Jabatan Kejururawatan PPUM bersama Fakulti Farmasi UM, dan berjaya menarik kehadiran hampir 300 pengunjung.

Poster Terkini (8)

Oleh: DR. IRMA WATI NGADIMON
Pensyarah Farmasi, Jabatan Sains Hayat Farmaseutikal, Fakulti Farmasi, Universiti Malaya

KUALA LUMPUR, 20 Jun 2025 – Universiti Malaya (UM) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) terus memperkukuh kerjasama strategik dalam usaha meningkatkan kesedaran kesihatan dalam kalangan masyarakat menerusi penganjuran Program Kesihatan sempena Majlis Penghargaan Perkhidmatan PPUM 2025.

Program yang berlangsung di Lobi Utama, Bangunan Bangsar South (Nexus) itu dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Farmasi dan Jabatan Kejururawatan PPUM bersama Fakulti Farmasi UM, dan berjaya menarik kehadiran hampir 300 pengunjung.

Antara pengisian utama program ialah ‘Kenali Ubat Anda’ dan saringan kesihatan percuma yang merangkumi pemeriksaan berat badan, paras gula dalam darah, kolesterol serta tekanan darah. Pengunjung turut menerima kaunseling pemakanan dan nasihat kesihatan daripada ahli farmasi serta jururawat terlatih.

Program ini turut memberi penekanan kepada isu penting seperti rintangan antibiotik, teknik pengambilan ubat yang betul dan kaedah pelupusan ubat secara selamat, menerusi pameran interaktif dan sesi penerangan awam.

“Saya tidak sangka bacaan gula saya tinggi. Mujur saya sempat menjalani pemeriksaan di sini,” kata salah seorang pengunjung.

Seorang lagi pengunjung berkongsi bahawa beliau baru mengetahui mengenai kaedah pelupusan ubat yang betul. “Saya tak pernah tahu membuang ubat ke dalam tong sampah boleh mencemarkan air. Selepas penerangan, saya faham bahawa ubat perlu dihantar ke farmasi untuk dilupuskan melalui proses khas insinerasi,” katanya.

Koordinator program dari Jabatan Farmasi PPUM, Muhammad Afifi Johari berkata program seumpama ini menjadi platform bermanfaat untuk menyumbang kembali kepada masyarakat di samping memperkukuh jaringan antara institusi.

“Kami amat menghargai kerjasama erat bersama Fakulti Farmasi UM. Ia membuka ruang perbincangan profesional serta meningkatkan lagi kefahaman awam terhadap penjagaan ubat,” katanya.

Sementara itu, penyelaras program dari Jabatan Kejururawatan PPUM, Zuraida Zaharudin menyatakan harapan agar jalinan kerjasama ini dapat diteruskan. “Kami sangat menghargai bantuan dari pihak UM dan berharap kolaborasi ini memberi manfaat berterusan kepada orang ramai,” katanya.

Wakil Fakulti Farmasi UM, Syireen Alwi berkata program tersebut bukan sahaja memperkukuh hubungan universiti dan komuniti, tetapi juga menonjolkan peranan penting ahli farmasi dalam pendidikan kesihatan awam.

Inisiatif ini turut memberi peluang kepada ahli akademik untuk mendapat pendedahan lapangan yang boleh dimanfaatkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran, sekali gus membuka ruang perkongsian ilmu antara tenaga pengajar dan pengamal kesihatan.

Usaha kerjasama antara akademik dan klinikal itu menjadi contoh jalinan strategik yang mampu memberi impak positif kepada kesejahteraan masyarakat serta mempererat hubungan antara institusi pengajian tinggi dan komuniti.