Usaha-usaha meningkatkan tahap kesihatan suri rumah tangga sepenuh masa
Suri rumah perlu mengutamakan kesihatan fizikal dan mental melalui senaman, pemakanan seimbang, rehat mencukupi serta pengurusan stres secara berkesan.

PERANAN seorang suri rumah tangga sepenuh masa merupakan satu tanggungjawab yang amat mulia namun penuh dengan cabaran. Kesibukan menguruskan rumahtangga dan keperluan keluarga sering kali menyebabkan golongan ini mengabaikan tahap kesihatan kendiri, sama ada dari sudut fizikal mahupun mental.
Oleh hal yang demikian, pelbagai langkah yang praktikal dan berkesan perlu diamalkan agar kesejahteraan dan kesihatan para suri rumah sentiasa terjamin.
Langkah utama yang perlu diberi perhatian ialah penjagaan kesihatan fizikal melalui senaman dan gaya hidup aktif. Meskipun tugas-tugas di rumah memerlukan banyak pergerakan, aktiviti senaman yang terancang tetap diperlukan untuk menguatkan otot dan sistem kardiovaskular (World Health Organization, 2020; Piercy et al., 2018).
Suri rumah boleh mempraktikkan senaman ringkas seperti yoga, regangan, atau bodyweight exercises selama 15 hingga 30 minit di rumah sewaktu anak-anak tidur atau bersekolah. Selain itu, meluangkan masa untuk berjalan kaki di sekitar kawasan perumahan pada waktu pagi bukan sahaja meningkatkan kecergasan badan, malah membolehkan badan mendapat bekalan Vitamin D yang cukup daripada cahaya matahari.
Seterusnya, amalan pemakanan yang seimbang dan teratur merupakan asas penting dalam mengekalkan tenaga harian. Suri rumah kerap kecundang dengan amalan makan tidak menentu atau tabiat menghabiskan sisa makanan anak-anak. Justeru, amalan meal prep atau perancangan menu mingguan berasaskan konsep “Suku-Suku Separuh” perlu diterapkan.
Langkah ini bukan sahaja menghematkan masa dan kos memasak, malah memastikan setiap hidangan mengandungi nisbah karbohidrat, protein, dan serat yang optimum. Pengambilan air masak yang mencukupi sekurang-kurangnya dua liter sehari juga amat penting untuk mengekalkan hidrasi dan metabolisme badan yang sihat.
Di samping aspek fizikal, kesihatan mental dan emosi turut memainkan peranan yang sama penting untuk mengelakkan kelesuan emosi atau burnout. Tugasan rumah yang berterusan tanpa henti berisiko menimbulkan tekanan emosi jika tidak diimbangi dengan rehat yang memadai.
Menurut kajian Anu Molarius & Alexandra Metsini (2023), mereka yang melakukan kerja rumah selama 11 jam hingga 30 jam boleh mendatangkan kemurungan walaupun pada tahap yang rendah. Seterusnya, wujud hubungan yang sangat kuat iaitu semakin seseorang itu merasakan kerja rumah sebagai satu bebanan yang berat, semakin tinggi risiko mereka mengalami gejala kemurungan mahupun diagnosis kemurungan.
Oleh itu, setiap suri rumah berhak memperuntukkan me-time sekurang-kurangnya 20 hingga 30 minit sehari untuk melakukan aktiviti kegemaran seperti membaca, berkebun, atau sekadar berehat secara tenang. Pengurusan masa tidur yang berkualiti selama 7 hingga 8 jam semalam serta sokongan persekitaran melalui agihan tugas bersama ahli keluarga juga dapat meringankan beban mental yang ditanggung.
Kesimpulannya, kesihatan diri adalah aset paling bernilai buat seorang suri rumah. Kesejahteraan sesebuah keluarga amat bergantung pada kesihatan ibu atau isteri yang menguruskan rumah tangga tersebut. Dengan mengamalkan senaman rutin, pemakanan seimbang, serta pengurusan stres yang baik, suri rumah bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti hidup diri sendiri, malah mampu melahirkan keluarga yang lebih sihat dan bahagia secara keseluruhan.

