Ibu bapa bertanggungjawab atas kelakuan anak-anak

Keterbatasan kuasa guru dalam melaksanakan hukuman rotan bagi tujuan membentuk dan melentur disiplin pelajar turut menyumbang kepada lahirnya sikap kurang beradab serta kurang menghormati guru.

Feature Image


Peningkatan pelbagai isu sosial dan kes jenayah dalam kalangan pelajar sekolah pada masa kini telah mencetus kebimbangan dalam kalangan masyarakat yang mula berpandangan bahawa isu tersebut perlu ditangani secara holistik oleh pelbagai pihak.

Statistik daripada Kementerian Kesihatan pada tahun 2024 menunjukkan peningkatan penyakit HIV dalam kalangan pelajar di peringkat sekolah rendah, menengah dan IPTA iaitu melibatkan 222 kes akibat daripada aktiviti seks bebas dan penyalahgunaan barang terlarang.

Kegusaran masyarakat ditambah lagi dengan beberapa kes rogol dan pembunuhan yang berlaku di sekolah pada kebelakangan ini yang amat dangkal untuk diterima oleh masyarakat.

Situasi tersebut telah membuka ruang kepada pelbagai pihak dalam masyarakat untuk membentuk persepsi bahawa kesalahan terhadap salah laku pelajar wajar diletakkan kepada guru dan Kementerian Pendidikan.

Keterbatasan kuasa guru dalam melaksanakan hukuman rotan bagi tujuan membentuk dan melentur disiplin pelajar turut menyumbang kepada lahirnya sikap kurang beradab serta kurang menghormati guru.

Hukuman seperti rotan, berdiri di atas kerusi, ketuk ketampi dan berdiri di luar kelas merupakan antara bentuk tindakan disiplin yang pernah diamalkan di sekolah sekitar tahun 1980-an dan 1990-an.

Pendekatan tersebut dilihat berperanan dalam membentuk murid yang berdisiplin, berakhlak, serta patuh kepada peraturan sekolah.

Paradigma dalam kalangan ibu bapa masa kini menunjukkan kecenderungan untuk bersikap terlalu melindungi (overprotective) terhadap anak-anak, dengan beranggapan bahawa hukuman disiplin seperti denda atau rotan merupakan satu bentuk penderaan fizikal yang boleh memberi kesan trauma terhadap emosi pelajar.

Naratif sedemikian semakin dinormalisasikan dalam kalangan masyarakat, khususnya ibu bapa yang melihat tindakan disiplin sebagai sesuatu yang tidak berperikemanusiaan.

Situasi ini dapat diperhatikan apabila dua orang guru disiplin telah ditahan polis pada tahun 2023 dan berdepan dengan hukuman penjara sehingga 10 tahun selepas laporan dibuat oleh ibu bapa berhubung tindakan merotan pelajar.

Fenomena ini menimbulkan stigma dalam kalangan sesetengah ibu bapa bahawa guru tidak lagi mempunyai autoriti untuk melaksanakan hukuman disiplin, seolah-olah pelajar masa kini dianggap ‘tidak boleh disentuh’ (untouchable) oleh mana-mana bentuk tindakan tegas daripada pihak sekolah.

Justeru, tanggungjawab guru untuk mendisiplin pelajar pada masa kini menjadi lebih mencabar akibat campur tangan daripada segelintir ibu bapa yang tidak membenarkan pihak sekolah menghukum anak-anak mereka.

Realitinya, pelajar-pelajar pada masa kini berdepan dengan pelbagai cabaran sosial, disiplin dan tekanan emosi akibat daripada pengaruh media sosial, gamifikasi dan kecenderungan mereka untuk mempraktikkan secara realiti apa yang dibaca dan dilihat di laman sesawang.

Pemantauan terhadap penggunaan gajet, gamifikasi dan media sosial pada asasnya bermula dari rumah. Namun demikian, tahap kepekaan ibu bapa terhadap laman sesawang yang dilayari oleh anak-anak menjadi aspek penting dalam memastikan penggunaan teknologi secara beretika dan terkawal.

Kebanyakan ibu bapa pada hari ini tidak menyedari bahawa kesilapan salah laku dalam kalangan remaja dan kanak-kanak adalah cerminan didikan daripada ibu bapa sendiri.

Jika anak-anak berkelakuan liar dan diluar batasan manusiawi, adakah ibu bapa perlu dipersalahkan? Ya, jawapan yang berat untuk diterima tetapi itu adalah hakikat yang perlu ditelan oleh ibu bapa yang menggalas tugas sebagai pelakar corak terhadap kehidupan anak-anak.

Tanpa mengira agama dan bangsa, setiap sistem kepercayaan secara asasnya mempunyai peraturan khusus untuk hidup berasaskan nilai-nilai murni bagi membentuk generasi yang bertamadun dan berakhlak mulia.

Dalam Hadis Riwayat al-Bukhari, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih), maka kedua ibu bapanya yang mencorakkan menjadi Yahudi, atau Nasrani atau Majusi.”

Berdasarkan hadis tersebut dapat difahami bahawa tanggungjawab untuk mencorak perlakuan dan fitrah anak-anak adalah terletak di tangan ibu bapa.

Ia adalah realiti yang perlu disedari bahawa ibu bapa perlu mengambil tanggungjawab terhadap setiap salah laku yang dilakukan oleh anak-anak.

Peranan ibu bapa sebagai tunjang utama dalam membentuk suasana keluarga yang harmoni, penuh kasih sayang dengan berpaksikan prinsip Rabbani, akan melenturkan jiwa murni anak-anak untuk mempraktikkan akhlak mulia seiring dengan tuntutan keagamaan agar tidak tergelincir dari landasan utama.

Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.