Jangan biar stigma kesihatan mental halang rawatan, integrasi sosial
Masih ramai masyarakat menganggap penyakit mental sebagai suatu mitos yang diakibatkan daripada kelemahan iman, sumpahan atau gangguan makhluk halus.

KESIHATAN mental merupakan aspek penting dalam kesejahteraan individu dan masyarakat secara menyeluruh. Namun, walaupun tahap kesedaran tentang kepentingannya semakin meningkat, stigma terhadap kesihatan mental masih menjadi penghalang utama kepada usaha pemulihan dan penerimaan sosial di Malaysia.
Stigma boleh ditakrifkan sebagai tanggapan negatif, stereotaip dan diskriminasi terhadap individu yang mengalami gangguan mental yang akhirnya.
Di Malaysia, stigma ini berpunca daripada pelbagai faktor yang menyebabkan isu kesihatan mental dilihat sebagai kelemahan peribadi.
Fenomena ini bukan sahaja menjejaskan individu yang terlibat tetapi juga membantutkan kemajuan sistem kesihatan awam secara keseluruhannya.
Apa yang membimbangkan ialah faktor utama yang menyumbang kepada kewujudan dan kekalnya stigma terhadap kesihatan mental di Malaysia ialah kurangnya pengetahuan dan kesedaran masyarakat tentang gangguan mental.
Masih ramai masyarakat menganggap penyakit mental sebagai suatu mitos yang diakibatkan daripada kelemahan iman, sumpahan atau gangguan makhluk halus.
Sebagai contoh, ada yang berpendapat kemurungan boleh diatasi dengan ‘kuatkan semangat’ tanpa rawatan psikologi atau ubat.
Persepsi ini menjadikan individu yang mengalami gangguan mental enggan mendapatkan rawatan profesional dan lebih cenderung mencari bantuan daripada pengamal perubatan tradisional termasuklah khidmat bomoh.
Kedua, pengaruh budaya dan agama turut memainkan peranan dalam membentuk persepsi masyarakat terhadap kesihatan mental.
Dalam budaya Timur khususnya masyarakat Asia, keharmonian sosial dan reputasi keluarga dijadikan keutamaan. Oleh itu, individu yang menunjukkan tanda-tanda gangguan mental sering dianggap memalukan atau membebankan.
Sesetengah keluarga juga percaya bahawa masalah mental akan ‘menconteng arang di muka keluarga’ dan boleh menjejaskan peluang perkahwinan atau kedudukan sosial anak-anak lain sehingga sanggup memilih untuk menyembunyikan ahli yang mengalami masalah mental daripada pengetahuan umum.
Stigma sebegini menyebabkan ada pesakit yang hanya dibiarkan di rumah tanpa rawatan yang sesuai kerana bimbang saudara mara atau jiran tetangga yang mengetahui keadaan tersebut.
Liputan media masa yang tidak sensitif boleh menjadi faktor penyumbang kepada tercetusnya stigma kesihatan mental dikalangan rakyat Malaysia.
Hal ini kerana, media kadangkala menggambarkan individu dengan gangguan mental sebagai berbahaya, agresif atau tidak waras.
Paparan negatif seperti ini menimbulkan ketakutan dalam masyarakat dan menguatkan lagi stereotaip bahawa pesakit mental tidak boleh dipercayai dan berbahaya sekiranya didekati.
Bukan itu sahaja laporan media yang mensensasikan tentang kes jenayah yang melibatkan individu berpenyakit mental memperkukuhkan lagi tanggapan yang salah bahawa semua pesakit mental berpotensi melakukan keganasan, walhal hanya sebilangan kecil kes benar-benar berlaku.
Stigma terhadap kesihatan mental memberi kesan yang mendalam terhadap kehidupan individu kerana ia berpotensi untuk mengakibatkan hilang keyakinan diri yang tinggi.
Ada antara mereka juga yang sanggup mengasingkan diri kerana perasaan malu dan takut terhadap penilaian sosial sekiranya masalah yang dihadapi diketahui umum.
Akhirnya, ramai yang memilih untuk menanggung penderitaan secara senyap tanpa mendapatkan rawatan sewajarnya walaupun mereka sedar akan kewujudan perkhidmatan professional untuk merawat masalah kesihatan mental.
Dalam konteks pendidikan, pelajar yang mengalami masalah kesihatan mental sering berhadapan dengan diskriminasi, salah faham dan ejekan daripada rakan sebaya.
Fenomena ini berlaku apabila komuniti sekolah masih kurang peka terhadap isu kesihatan mental. Ada yang menganggap pelajar yang menunjukkan tanda-tanda kemurungan, keresahan atau gangguan tumpuan sebagai lemah, tidak bermotivasi atau sukar dikawal.
Stigma sosial ini menyebabkan pelajar berasa terasing dan malu untuk mendapatkan bantuan kaunselor sekolah kerana bimbang dilabel atau dijauhi oleh rakan-rakan mereka.
Akhirnya, ada yang memilih untuk menarik diri daripada aktiviti sosial dan akademik, sekali gus menjejaskan prestasi pelajaran serta perkembangan emosi mereka.
Stigma terhadap kesihatan mental turut memberi kesan yang mendalam terhadap peluang pekerjaan dan kestabilan kerjaya individu yang terlibat.
Dalam konteks masyarakat Malaysia, pandangan stereotaip bahawa individu dengan sejarah penyakit mental tidak mampu berfungsi secara normal di tempat kerja masih wujud.
Majikan yang kurang peka terhadap isu kesihatan mental cenderung mendiskriminasi calon pekerja yang pernah mendapatkan rawatan psikiatri kerana beranggapan bahawa mereka kurang produktif, sukar menyesuaikan diri atau berpotensi menimbulkan masalah di tempat kerja.
Daripada perspektif masyarakat, stigma terhadap kesihatan mental menjadikan masyarakat kurang empati terhadap individu yang memerlukan bantuan, sekali gus mengekalkan kitaran diskriminasi.
Tambahan pula, stigma terhadap kesihatan mental boleh mengekang kemajuan sistem penjagaan kesihatan negara. Apabila stigma terhadap kesihatan mental tinggi, kadar penggunaan perkhidmatan kesihatan mental menjadi rendah walaupun pelbagai kemudahan disediakan.
Situasi ini membawa kepada peningkatan kos sosial, kehilangan produktiviti tenaga kerja, tekanan kewangan terhadap keluarga dan peningkatan kes bunuh diri.
Untuk menangani stigma kesihatan mental, pendekatan menyeluruh perlu dilaksanakan. Pendidikan kesihatan mental harus diperluas di semua peringkat bagi meningkatkan pemahaman bahawa gangguan mental ialah penyakit yang boleh dirawat, bukan kelemahan moral.
Media massa dan media sosial juga perlu berperanan membentuk persepsi positif melalui penyampaian berita dan program yang tepat serta berempati.
Selain itu, komuniti dan pemimpin agama wajar menjadi medium penyebaran mesej bahawa penyakit mental bukan tanda lemahnya iman, sebaliknya memerlukan rawatan profesional dan sokongan sosial.
Sokongan dasar kerajaan turut penting melalui pelaksanaan polisi pengurangan stigma terhadap kesihatan mental dan latihan kesedaran kepada majikan, pendidik serta pegawai awam.
Insentif juga boleh diberikan kepada syarikat yang mengamalkan dasar inklusif terhadap pekerja dengan sejarah penyakit mental. Langkah-langkah ini dapat melahirkan masyarakat yang lebih inklusif, penyayang, dan berdaya tahan.
Secara keseluruhannya, stigma terhadap kesihatan mental di Malaysia merupakan cabaran utama dalam usaha meningkatkan kesejahteraan psikologi masyarakat.
Stigma terhadap kesihatan mental bukan sahaja menghalang individu daripada mendapatkan rawatan tetapi juga menjejaskan integrasi sosial dan pembangunan negara.
Oleh itu, pendekatan bersepadu yang melibatkan pendidikan, media, komuniti dan dasar kerajaan amat diperlukan. Dengan usaha berterusan, masyarakat Malaysia mampu melangkah ke arah budaya yang lebih terbuka dan menerima kepelbagaian pengalaman mental manusia.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.