Selarikan literasi emosi dengan kemahiran digital

Para pendidik dan pembuat dasar perlu mengambil langkah proaktif untuk membangunkan kemahiran emosi sebagai asas utama dalam skop pembelajaran.

Feature Image (1)

GENERASI muda Malaysia kini membesar dalam dunia di mana perasaan mereka ditaip, diberi respons malah boleh diarkib secara digital.

Persoalannya sekarang, adakah mereka tahu bagaimana membaca dan menguruskan perasaan sebegini? Seperti yang kita ketahui, kehidupan digital telah mendominasi bilik darjah, rumah dan juga lingkaran persahabatan.

Oleh itu, literasi emosi iaitu kebolehan mengenal pasti, memahami, melabel, meluahkan dan mengawal emosi, menjadi sama penting seperti literasi digital itu sendiri, perlu dipupuk dan dipertingkatkan dalam diri setiap warga maya.

Gambaran terbaru berkenaan kesihatan mental anak-anak muda di Malaysia menarik perhatian para pakar. Berdasarkan Indeks Kesihatan Mental Belia 2023, data mendedahkan bahawa secara keseluruhan, kesihatan mental belia berada pada tahap sederhana memuaskan, dengan skor 71.91.

Ia menggambarkan bahawa terdapat tekanan terutama yang berkaitan dengan domain persekitaran termasuk media sosial, sokongan sosial dan minda sihat yang melibatkan indikator kemurungan dan kebimbangan.

Justeru, para pendidik dan pembuat dasar perlu mengambil langkah proaktif untuk membangunkan kemahiran emosi sebagai asas utama dalam skop pembelajaran, bukan sekadar komponen tambahan yang bersifat elektif.

Jika tidak diselesaikan, ia boleh membawa kepada masalah kesihatan mental yang lebih serius dalam kalangan anak-anak muda di negara kita.

Tanpa kita sedari, tabiat digital seharian membentuk bagaimana kita menunjukkan emosi dan menyebarkannya.

Di Malaysia, hubungan dalam dunia digital antara penggunanya sangat kuat. Ini dibuktikan dengan laporan kebangsaan yang menyatakan bahawa kadar penggunaan internet dan media sosial di setiap lapisan umur adalah tinggi dan data digital pada tahun 2024 mengesahkan rakyat Malaysia banyak menghabiskan masa mereka dalam dunia atas talian.

Fenomena ini jelas menggambarkan kesalinghubungan yang berterusan membentuk tuntutan emosi yang baru, ini termasuk menguruskan reaksi spontan kepada hantaran atas talian dan menangani buli siber atau kesedihan akibat pengalaman atas talian.

Hasil penyelidikan ada mengaitkan penggunaan digital dengan akibat kepada emosi. Kajian yang diterbitkan pada tahun lepas dalam jurnal BMC Medical Education menjumpai bahawa literasi digital berkait dengan kecerdasan emosi dan tekanan akademik di kalangan para pelajar.

Namun demikian, tanpa didikan dalam kawalan emosi, kemahiran digital yang tinggi boleh juga menyebabkan tekanan akademik yang besar.

Secara ringkasnya, menguasai peranti tidak bermaksud secara automatik seseorang itu boleh menguasai perasaan mereka.

Oleh itu, institusi pendidikan seharusnya mengajar dan memupuk kedua-dua literasi ini supaya kesejahteraan hidup pelajar yang lebih baik dapat dicapai.

Selain itu, perbendaharaan kata yang berkait dengan emosi dilihat sebagai satu talian sokongan yang praktikal dalam kehidupan kita.

Pengarah Pengasas Pusat Kecerdasan Emosi Yale, Prof. Dr. Marc Brackett menyatakan kebanyakan manusia tidak sedar betapa pentingnya perbendaharaan kata kepada kemahiran menguruskan emosi.

Kaedah RULER (Recognizing, Understanding, Labeling, Expressing and Regulating emotions) yang dibangunkan oleh beliau telah diguna pakai oleh ribuan sekolah di seluruh dunia bagi menyokong kesejahteraan individu dan juga meningkatkan pencapaian akademik.

Menurut beliau lagi, melabel emosi dengan tepat boleh meningkatkan kesedaran kendiri, membantu untuk menyampaikan emosi dengan lebih berkesan dan mengurangkan insiden salah faham dalam interaksi sosial.

Dalam kita tidak sedar, era digital mencipta pelbagai risiko. Buli siber, suapan perbandingan yang ada henti dan interaksi hasil daripada reaksi boleh mengubah emosi normal anak remaja kepada kebimbangan, kemurungan atau pengasingan sosial.

Para pakar dalam bidang buli siber mengingatkan gangguan atas talian yang berterusan dengan sifatnya yang boleh dimainkan semula, boleh memberi kecederaan sama seperti penderaan fizikal.

Malah, pemulihan emosi lebih sukar bagi golongan mangsa ini, kecuali mereka mendapat sokongan yang secukupnya. Maka, program pembangunan kemahiran emosi yang menekankan senario digital dilihat penting untuk dianjurkan oleh pihak sekolah.

Jadi, apa langkah-langkah berguna yang boleh dilakukan oleh guru-guru dan pihak sekolah?

Pertama sekali, integrasikan literasi emosi secara jelas dalam kurikulum sekolah di mana pelajar-pelajar diajar berkenaan perbendaharaan kata emosi, rutin pemeriksaan perasaan dan strategi kawalan yang mudah, misalnya, menarik nafas yang dalam, mengubah perspektif emosi dan mengambil sedikit waktu untuk berehat daripada peranti digital.

Seterusnya, gandingkan pembelajaran literasi digital dengan aktiviti literasi emosi supaya para pelajar dapat belajar cara menggunakan platform dan pada masa yang sama, belajar bagaimana bertindak balas sambil mengawal emosi apabila berhadapan dengan situasi yang tidak menyenangkan.

Akhir sekali, latih guru supaya mereka dapat menunjukkan kelakuan berteraskan emosi yang bijak dan mengenali penunjuk tekanan digital lebih awal dalam kalangan pelajar.

Tidak dilupakan juga, ibu bapa dan komuniti setempat memainkan peranan dalam pembangunan kemahiran emosi generasi muda.

Untuk menjadikan latihan emosi sebahagian daripada kehidupan seharian, ibu bapa boleh menghadkan waktu layar yang tidak berstruktur, menggalakkan perbualan berkenaan perasaan hati secara fizikal dan memantau konflik digital tanpa memalukan atau merendahkan anak-anak.

Penyelidikan membuktikan intervensi yang mengabungkan penglibatan keluarga dan latihan kemahiran emosi di sekolah membuahkan hasil yang lebih baik berbanding usaha yang semata-mata dilakukan oleh pihak sekolah sahaja.

Isu literasi emosi bukan setakat isu psikologi, tetapi mencakupi isu pendidikan anak-anak. Pelajar-pelajar yang mempunyai kemahiran emosi yang lebih kuat atau tinggi dapat memberi perhatian, menunjukkan kelakuan dalam kelas dan mencapai hasil akademik yang lebih baik.

Sebenarnya, literasi emosi menyokong daya tahan, bukan dengan melenyapkan perasaan negatif tetapi dengan memberi anak-anak muda alat sokongan untuk memahami dan menguruskan perasaan dengan seimbang.

Negara kita sentiasa berusaha menyokong sesi pengajaran dan pembelajaran dengan teknologi digital, maka memasukkan literasi emosi dalam integrasi ini bukan lagi satu pilihan.

Ia dikira sebagai satu keperluan yang harus didahulukan. Integrasi ini boleh menjadi kayu ukur sama ada ruang digital membantu anak-anak mengembangkan potensi mereka atau membuatkan mereka hanyut dengan peranti, apatah lagi apabila perasaan mereka berkecamuk dan tidak terurus.

Sekiranya pembuat dasar, sekolah dan keluarga menyokong literasi emosi sama penting seperti kemahiran digital, kita akan melahirkan generasi akan datang yang lebih bijak dalam memandu kehidupan masing-masing dalam mana-mana dunia.

Seperti yang dinasihatkan oleh para pakar, jadikan usaha untuk sentiasa mencari ilmu, praktikkan kemahiran yang dipelajari dan belajar pengurusan emosi sebagai rutin setiap hari sama ada, secara atas talian dan juga fizikal.

Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.