UM jadikan petani Tanjung Karang saintis komuniti

Karnival ini menghimpunkan lebih 80 warga Universiti Malaya daripada Institut Sains Biologi yang membawa pameran dalam tujuh program utama sains biologi.

171-DSC_8927

21 Oktober 2025 – Selangor melakar sejarah dengan penganjuran Karnival Saintis Komuniti: Memperkasakan Komuniti melalui Sains Biologi dan Teknologi yang dianjurkan oleh Institut Sains Biologi (ISB), Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM) bersama JPKKP Kampung Seri Gambut, Tanjung Karang baru-baru ini.

Acara ini, yang berlangsung di Kg. Seri Gambut, Tanjung Karang, khususnya di Dewan Komuniti, Tali Air 2, Ban 3, Sg. Burong, menekankan pendekatan saintifik dalam bidang pertanian, sekali gus menjadikan petani sebagai rakan strategik universiti dalam menjamin keterjaminan makanan negara.

Karnival ini bertujuan membuka peluang kepada masyarakat, terutamanya generasi muda untuk memahami, menghayati dan menyemai minat terhadap dunia ilmu yang luas dan sentiasa berkembang.

Ia turut menandakan kesungguhan Universiti Malaya untuk turun padang bersama masyarakat, berkongsi ilmu dan kepakaran, serta mempraktikkan konsep “saintis komuniti” yang menjadi tema utama.

Karnival ini menghimpunkan lebih 80 warga Universiti Malaya daripada Institut Sains Biologi yang membawa pameran dalam tujuh program utama sains biologi.

Program-program yang dipamerkan termasuk Bioteknologi, Biokimia, Mikrobiologi dan Genetik Molekular, Bioinformatik, Pengurusan Alam Sekitar, Ekologi dan Biodiversiti dan Sains Pendidikan Biologi. Secara keseluruhan, karnival ini telah menarik lebih 200 komuniti sekitar Tanjung Karang.

Mewakili Naib Canselor UM, Prof. Dr Saiful Anuar Karsani, Dekan Fakulti Sains menzahirkan bahawasanya, kolaborasi antara universiti, industri dan komuniti adalah resepi penting dalam memberikan keutamaan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau menambah, hanya dengan pendekatan sebegini, satu bentuk model baru gabungan simbiosis boleh memandu arah tahap kreativiti, hasilan berinovatif dan seterusnya impak produktif kepada masyarakat dan negara.

Teknologi pertanian sebagai pemangkin produktiviti

Karnival ini turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Komuniti Angkat antara Universiti Malaya dan Kampung Seri Gambut.

Usaha strategik ini bakal menjadikan kampung tersebut sebagai model kerjasama universiti–komuniti dalam bidang sains biologi, teknologi dan pembangunan lestari.

Selain itu, perjanjian persefahaman turut dimeterai antara Universiti Malaya dengan syarikat HS Megah Enterprise dan Carbon Zero Sdn. Bhd., yang masing-masing melibatkan penggunaan teknologi dron dan biochar bagi meningkatkan produktiviti pertanian.

Karim Abdullah, Pengerusi JPKKP Seri Gambut, menzahirkan rasa bertuah atas kehadiran UM, menyatakan bahawa ilmu dan teknologi boleh bergabung dengan pengalaman pengusaha tani untuk melahirkan sektor pertanian yang lebih moden, cekap, dan lestari.

Beliau menekankan bahawa setiap perubahan cara menanam, mengawal perosak, menggunakan baja, atau mengurus air sawah di Tanjung Karang sebenarnya berasaskan ilmu sains.

Kejayaan awal hasil kerjasama ini semakin jelas apabila demonstrasi penggunaan biobaja daripada Universiti Malaya digabungkan dengan aplikasi teknologi dron HS Megah Enterprise semasa program karnival.

Dron berteknologi tinggi digunakan untuk menyebarkan biobaja secara lebih tepat dan sekata, sekaligus meningkatkan keberkesanan rawatan tanah dan tanaman.

Kaedah pertanian persis (precision farming) seperti ini membuktikan bahawa sinergi akademia dan industri amat penting dalam meningkatkan hasil serta daya saing pengusaha tani.

Selain demonstrasi, sebuah forum berkonsepkan QuadHelix turut dianjurkan, menggabungkan komuniti, universiti, kerajaan, dan industri untuk membincangkan cabaran sektor pertanian dan kelestarian alam sekitar. Forum ini membuka ruang perbincangan pelbagai pihak bagi mencari penyelesaian bersama.

Dalam ucapan perasmiannya, Mohd Yahya Mat Sahri iaitu Setiausaha Politik kepada Menteri Dalam Negeri yang mewakilkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan bahawa sains merupakan kunci kepada pembangunan negeri dan negara.

Beliau menyatakan bahawa penerapan sains sebagai tonggak kemajuan adalah penting untuk mencapai teras-teras gagasan Malaysia Madani yang menekankan keberdayaan, ihsan, hormat, inovasi, kepercayaan dan kemakmuran.

Kerajaan Negeri Selangor sentiasa menekankan bahawa ilmu pengetahuan, inovasi dan penyelidikan saintifik adalah teras pembangunan negeri.
Justeru, hala tuju pembangunan Selangor hari ini berpaksikan kepada tonggak utama seperti Ekonomi Pintar Negeri Selangor, teknologi hijau, agenda kelestarian alam, serta pemerkasaan pendidikan STEM.

Penganjuran Karnival Saintis Komuniti ini membuktikan bahawa pendekatan saintifik bukan hanya milik ahli akademik, tetapi juga menjadi pemangkin perubahan nyata di lapangan pertanian.

Ia memperkukuh peranan Selangor sebagai negeri perintis dalam menjayakan agenda keterjaminan makanan negara.