Pesta buku pemangkin tradisi ilmu era digital
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 diadakan bermula 23 Mei hingga 1 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

PEMINAT industri perbukuan sudah semestinya ternanti-nantikan akan acara pesta buku yang sedia tercatit dalam kalendar aktiviti tahunan mereka.
Mana mungkin pencinta buku akan melepaskan peluang keemasan untuk turut serta memeriahkan acara pesta buku yang berlangsung.
Dengan semangat yang membara, mereka akan menerjah ke acara pesta buku dengan pelbagai niat yang mendasari langkah demi langkah yang disusun.
Mungkin ia sesuatu yang agak mengelirukan bagi mereka yang tidak mempunyai minat yang sama tetapi inilah hakikat betapa pencinta buku sentiasa peka dengan perjalanan aktiviti sesuatu pesta buku yang dianjurkan.
Secara amnya, pesta buku merupakan acara penting bagi industri perbukuan untuk mempromosi dan menjalankan aktiviti jualan buku secara berskala besar.
Ia suatu platform bagi pihak penerbit untuk memperkenalkan kepelbagaian hasil terbitan mereka dan berinteraksi secara terus dengan golongan sasaran yang hadir.
Mereka akan dikumpulkan di satu ruangan khusus mengikut jenis bahan bacaan, syarikat penerbitan, kumpulan sasar dan mereka turut berkongsi pentas aktiviti bagi mempromosi buku dan syarikat penerbitan melalui program bual bicara bersama penerbit, kupasan idea bersama penulis, mengungkap isu semasa berkaitan industri perbukuan dan pelbagai lagi aktiviti perkongsian ilmu yang memberi manfaat pada pengunjung atau lebih tepat komuniti pencinta buku yang hadir.
Jika ditinjau suasana pesta buku, kita dengan mudah dapat melihat pemandangan yang luar biasa. Bukan sahaja banyak syarikat penerbitan yang terlibat malahan jumlah pengunjung yang hadir sememangnya mampu untuk mencetuskan gambaran suasana masyarakat yang cintakan ilmu pengetahuan.
Semangat mencintai ilmu dan minat membaca akan menjelma tanpa sedar. Kelibat mereka yang hadir bersama keluarga dan rakan taulan membuktikan bahawa mereka sangat menghargai acara seperti ini. Ini adalah petanda positif kerana terutamanya keterlibatan generasi muda yang menghangatkan suasana kunjungan menjanjikan harapan bahawa tabiat membaca dan mencintai ilmu akan menjadi warisan tanpa noktah.
Pendedahan awal kepada generasi muda tentang pembacaan amat penting demi kelangsungan sesuatu tamadun.
Sudah tentu untuk menarik minat masyarakat terutamanya golongan muda, penganjur pesta buku bersama-sama pihak penerbit kebiasaannya menawarkan sesuatu yang istimewa dan menyakinkan.
Potongan harga dan pelbagai pilihan bahan bacaan adalah antara kriteria yang mendasari pesta buku yang berlangsung.
Konsepnya mudah iaitu penerbit seharusnya menawarkan kelainan berbanding jualan di kedai-kedai buku pada hari-hari biasa.
Potongan harga atau harga promosi adalah sangat bertepatan kerana pesta buku bukan hanya sekadar untuk menjual bahan bacaan tetapi juga penerapan semangat cintakan ilmu dan minat membaca dikalangan warga.
Ia seakan-akan platform terbaik untuk menerap semangat minat membaca terutama dikalangan generasi muda. Dengan adanya penawaran harga yang menarik maka galakan membaca terarah kepada golongan muda. Ibu bapa juga tidak rasa terbeban dengan faktor harga dan memungkinkan mereka untuk turut menggalakkan anak-anak memiliki bahan bacaan atas faktor tersebut.
Lebih menarik adalah apabila kita melihat pelbagai aktiviti yang disisipkan semasa pesta buku berlangsung. Bukan sekadar kepelbagian bahan bacaan dan promosi harga, malah tersedianya sesi diskusi dan wacana yang dijadualkan secara konsisten berkaitan perkongsian, pencerahan, perbincangan dan perdebatan dalam konteks penerbitan buku di Malaysia.
Sesi ini berlangsung di sepanjang tempoh pesta buku yang kebiasaannya menampilkan nama-nama besar dalam industri perbukuan negara yang terdiri rata-ratanya dikalangan penulis buku dan pihak penerbit tempatan.
Kupasan tajuk yang menarik dan disulam dengan pendapat dari tokoh atau ikon perbukuan sudah semestinya menjadi tumpuan pencinta buku. Pengalaman dan garapan idea yang dikongsikan memberikan manfaat kepada pengunjung untuk merasai sendiri sesi yang direncanakan.
Pengunjung juga berpeluang untuk terlibat secara langsung dengan bertanyakan soalan secara terus jika ada sebarang kemuskilan mahupun memberikan pandangan peribadi.
Kesimpulannya, acara pesta buku adalah suatu pendekatan yang baik dan berkesan dalam memberikan pendedahan awal kepada masyarakat terutamanya golongan muda berkaitan dunia perbukuan.
Pesta buku juga dianjurkan bagi menyokong hasrat negara untuk menanamkan sikap suka membaca dikalangan masyarakat dengan menyediaan ruang dan peluang bagi masyarakat memiliki bahan bacaan tak kira berbentuk ilmiah, separa ilmiah mahupun penulisan popular.
Usaha ini seharusnya disokong dan diteruskan demi mencari titik permulaan bagi masyarakat untuk memupuk sikap suka membaca dan membudayakannya dalam kehidupan.
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ke-42 pada tahun 2025 diadakan bermula 23 Mei hingga 1 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.