SEBAGAI sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR), universiti-universiti di Malaysia melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
Salah satu inisiatif utama yang mendapat perhatian adalah Program Pemindahan Ilmu antara universiti dan sekolah.
Program ini bukan sahaja berfungsi sebagai wadah untuk universiti menyumbang kepada masyarakat tetapi juga sebagai platform untuk memperkasa pembangunan akademik pelajar.
Program pemindahan ilmu antara universiti dan sekolah bertujuan untuk menghubungkan pelajar universiti dengan pelajar sekolah dalam usaha meningkatkan pembelajaran dan pembangunan akademik kedua-dua pihak.
Pelbagai kesan positif terhadap mahasiswa melalui program ini antaranya adalah kemahiran pengajaran dan komunikasi.
Melalui program seperti ini, mahasiswa dapat mengembangkan kemahiran pengajaran yang berharga.
Mereka belajar untuk menyampaikan maklumat yang betul dengan jelas dan berkesan serta meningkatkan kemahiran komunikasi mereka kepada kumpulan umur yang berbeza.
Disamping itu, pemindahan ilmu kepada pelajar sekolah membolehkan pelajar universiti memperdalam pengetahuan mereka dalam bidang tertentu.
Ini kerana proses ini memerlukan mereka untuk memahami topik dengan lebih mendalam dan menjelaskan konsep dengan cara yang mudah difahami.
Selain itu, program seperti ini membantu pelajar universiti membina keyakinan diri melalui interaksi langsung dengan pelajar sekolah, ini dapat memperkukuh kemahiran interpersonal dan meningkatkan keyakinan diri mereka.
Disamping memberi impak positif kepada mahasiswa, pemindahan ilmu juga dapat memberi pengaruh yang baik terhadap pelajar sekolah.
Pertama, pelajar sekolah mendapat manfaat daripada pengetahuan dan kemahiran pelajar universiti dalam subjek tertentu.
Pendekatan pengajaran yang segar dan berbeza serta tidak terhad kepada aktiviti didalam kelas sahaja boleh membantu mereka memahami konsep dengan cara yang berbeza.
Kedua, dorongan motivasi belajar.
Ini kerana interaksi dengan pelajar universiti sering kali memberi motivasi tambahan kepada pelajar sekolah.
Mereka dapat melihat contoh nyata kejayaan akademik dan bersemangat untuk mencapai kejayaan serupa.
Ketiga, sokongan akademik tambahan.
Program ini menyediakan sokongan tambahan kepada pelajar sekolah yang mungkin memerlukan bantuan ekstra dalam mata pelajaran tertentu.
Ini boleh mengurangkan jurang pembelajaran dan memperbaiki prestasi akademik mereka.
Kesimpulannya, program pemindahan ilmu antara universiti dan sekolah telah menunjukkan potensi yang besar dalam menyumbang kepada pembangunan akademik kedua-dua pihak iaitu mahasiswa dan pelajar sekolah melalui pengalaman pembelajaran yang unik.
Ini juga dapat membantu memupuk minat dalam bidang tertentu dan meningkatkan pencapaian akademik keseluruhan.
Melalui seperti ini juga diharapkan dapat memberi kesedaran kepentingan ilmu dan sebagai persediaan masa depan mereka.
Pelajar sekolah yang terlibat dalam program ini mungkin lebih bersedia untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi, dengan sokongan dan motivasi yang diterima dari mahasiswa.
Usaha ini diharapkan dapat mengurangkan peratusan pelajar lepasan SPM yang tidak mahu menyambung pelajaran seterusnya dapat mencapai sasaran kementerian untuk melahirkan 35 peratus tenaga mahir menjelang 2030.
—
Penulis, Nik Amalena Najebah Nik Azman ialah Pensyarah UNITEN Business School, Universiti Tenaga Nasional, Kampus Sultan Haji Ahmad Shah.
*** Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Malaya Newsroom.