Antara kehendak, keperluan pelajar IPT

Ribuan pelajar berdepan cabaran bagaimana untuk menguruskan wang saku, pinjaman pendidikan atau elaun biasiswa agar mencukupi sepanjang tempoh pengajian.

Feature Image

KERAJAAN telah melaksanakan penstrukturan tarif elektrik dengan tujuan memastikan sistem isu kewangan dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) bukanlah sesuatu yang baharu.

Setiap tahun, ribuan pelajar berdepan cabaran bagaimana untuk menguruskan wang saku, pinjaman pendidikan atau elaun biasiswa agar mencukupi sepanjang tempoh pengajian.

Persoalan utama yang timbul ialah bagaimana pelajar dapat membezakan antara keperluan dan kehendak ketika berbelanja, kerana kegagalan mengurus perkara ini sering menjadi punca masalah kewangan.

Dari sudut ekonomi, keperluan merujuk kepada barangan atau perkhidmatan asas yang mesti ada untuk kelangsungan hidup, seperti makanan, tempat tinggal, pengangkutan dan yuran pengajian.

Kehendak pula ialah sesuatu yang menambah keselesaan atau gaya hidup, seperti gajet baharu, pakaian berjenama atau makan di restoran mewah.

Cabaran besar bagi pelajar IPT ialah membuat keputusan berbelanja secara rasional, kerana mereka terdedah kepada pengaruh rakan sebaya, media sosial dan gaya hidup moden yang menekankan trend serta status.

Sebagai contoh, seorang pelajar mungkin hanya memerlukan sebuah telefon pintar asas untuk tujuan komunikasi dan pembelajaran.

Namun, kerana ingin dilihat setanding dengan rakan-rakan, dia memilih membeli telefon baharu berharga ribuan ringgit menggunakan ansuran bulanan.

Dari segi ekonomi, keputusan ini menyebabkan pelajar menanggung kos peluang (opportunity cost) iaitu wang yang sepatutnya boleh digunakan untuk perkara lain seperti membeli buku rujukan atau menampung kos makan selama sebulan, akhirnya ‘hilang’ kerana memenuhi kehendak.

Realitinya, ramai pelajar IPT di Malaysia bergantung kepada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) atau biasiswa.

Jika tidak bijak mengurus, wang tersebut boleh habis dalam masa singkat. Ada yang menghabiskan sebahagian besar elaun awal semester untuk membeli gajet, motosikal baharu atau melancong, lalu terpaksa berjimat melampau menjelang hujung semester.

Keadaan ini memberi tekanan mental, menjejaskan fokus pembelajaran dan dalam kes tertentu menyebabkan pelajar terjebak dengan hutang peribadi.

Daripada perspektif makroekonomi, isu ini juga memberi implikasi kepada negara. Pelajar hari ini adalah tenaga kerja masa depan.

Jika mereka mula berhutang sejak di universiti akibat gaya hidup berlebihan, kemungkinan besar beban hutang isi rumah akan terus meningkat apabila mereka memasuki alam pekerjaan.

Malaysia kini sudah mencatatkan kadar hutang isi rumah melebihi 80% daripada KDNK, antara yang tertinggi di rantau ini.

Justeru, mendidik pelajar mengurus kewangan sejak awal adalah penting untuk kesihatan ekonomi negara dalam jangka panjang.

Namun, tidak dinafikan kos sara hidup pelajar memang meningkat. Harga makanan di kafeteria universiti, kos sewa rumah sekitar kampus, dan tambang pengangkutan awam semakin menekan.

Pelajar luar bandar yang menuntut di bandar besar seperti Kuala Lumpur atau Johor Bahru berdepan kos sara hidup yang jauh lebih tinggi berbanding rakan-rakan di universiti kawasan lain.

Situasi ini menimbulkan dilema, berapa banyak yang perlu dibelanjakan untuk keperluan asas dan bagaimana mengelakkan perbelanjaan untuk kehendak yang tidak mendesak?

Salah satu cara praktikal ialah menggunakan konsep ‘peruntukan belanjawan’. Pelajar boleh membahagikan wang bulanan mengikut kategori 50 peratus untuk keperluan asas (sewa, makan, yuran), 30 peratus untuk kehendak sederhana (hiburan, pakaian, makan luar) dan 20 peratus untuk simpanan atau kecemasan.

Walaupun angka ini boleh berubah mengikut kemampuan, prinsipnya adalah jelas, utamakan keperluan sebelum kehendak. Jika tidak, risiko kekurangan wang pada hujung bulan sangat tinggi.

Contoh mudah, jika seorang pelajar menerima elaun RM800 sebulan, sekurang-kurangnya RM400 perlu diperuntukkan untuk makan dan pengangkutan.

RM200 lagi boleh digunakan untuk kehendak seperti menonton wayang atau membeli pakaian, manakala RM160 disimpan sebagai tabungan.

Dengan disiplin ini, pelajar bukan sahaja dapat mengelakkan tekanan kewangan, malah membina tabiat kewangan sihat sejak awal.

Pendidikan kewangan dalam kalangan pelajar IPT perlu diperkasa melalui bengkel, kursus pendek atau program literasi kewangan.

Universiti boleh bekerjasama dengan institusi kewangan untuk memberi pendedahan awal tentang cara mengurus wang, risiko kad kredit dan kepentingan simpanan.

Kajian menunjukkan pelajar yang celik kewangan lebih tenang menghadapi cabaran sara hidup dan kurang bergantung kepada pinjaman tambahan.

Akhir kata, cabaran kewangan pelajar IPT berpunca daripada keseimbangan antara kehendak dan keperluan. Sekiranya pelajar bijak mengutamakan keperluan asas berbanding gaya hidup mewah sementara, tekanan kewangan dapat dikurangkan.

Lebih penting lagi, tabiat pengurusan kewangan yang baik akan menjadi bekal apabila mereka melangkah ke alam pekerjaan.

Justeru, keutamaan harus diberikan kepada mendidik pelajar tentang nilai wang, agar mereka bukan sahaja berjaya di menara gading, tetapi juga mampu menyumbang kepada ekonomi negara dengan lebih bertanggungjawab.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.