Mata Helang: BUDI95, janji manis stesen minyak atau perangkap subsidi?
Mulai 30 September 2025, kerajaan mengumumkan harga RON95 ditetapkan RM1.99 seliter untuk rakyat Malaysia. Syaratnya mudah iaitu perlu ada MyKad, warganegara, umur 16 tahun ke atas dan paling penting lesen memandu sah. Had penggunaan? 300 liter sebulan, kecuali e-hailing yang boleh memohon tambahan.

MALAYSIA sangat unik. Bila bercakap soal minyak, rakyat akan lebih prihatin daripada bercakap soal politik. Harga naik 10 sen, satu negara boleh kecoh. Harga turun 10 sen, satu negara boleh tersenyum, walau hakikatnya duit yang dijimatkan cuma cukup untuk sebungkus nasi lemak. Kini muncul pula satu istilah baharu yang menjadi bahan bualan iaitu BUDI95, skim subsidi petrol bersasar untuk RON95.
Mulai 30 September 2025, kerajaan mengumumkan harga RON95 ditetapkan RM1.99 seliter untuk rakyat Malaysia. Syaratnya mudah iaitu perlu ada MyKad, warganegara, umur 16 tahun ke atas dan paling penting lesen memandu sah. Had penggunaan? 300 liter sebulan, kecuali e-hailing yang boleh memohon tambahan.
Sekilas pandang, ia nampak manis. Siapa yang tak suka minyak murah? tetapi seperti biasa, bila kerajaan umum sesuatu yang nampak indah, rakyat akan menyoal, apa syaratnya, apa risikonya, siapa yang dapat untung, siapa yang akan tertinggal?
Apa Baiknya BUDI95?
Pertama, ia sedikit sebanyak meringankan beban rakyat. Dengan kos sara hidup semakin tinggi, harga petrol yang lebih rendah sekurang-kurangnya memberi ruang bernafas kepada mereka yang ulang-alik kerja jauh, terutama di kawasan luar bandar. Seorang pekerja yang terpaksa menempuh hampir 160 kilometer sehari untuk mencari rezeki, tidak lagi perlu berasa ‘tersakiti’ di stesen minyak.
Kedua, subsidi bersasar ini mengurangkan kebocoran. Dahulu, subsidi petrol jadi lubuk emas penyeludup. RON95 murah di Malaysia tetapi mahal di negara jiran, maka muncul sindiket yang menyalurkan petrol bersubsidi ke sempadan. Dengan sistem had liter, syarat MyKad dan kawalan digital, peluang untuk menyalah guna semakin tipis.
Ketiga, dari sudut fiskal negara, ia langkah bijak. Subsidi pukal yang lama membebankan bajet negara sehingga berbilion ringgit setahun. Dengan BUDI95, subsidi diagihkan lebih tepat sasaran. Wang negara boleh dijimatkan untuk pendidikan, kesihatan dan pembangunan lain.
Apa Buruknya BUDI95?
Namun, jangan cepat terbuai dengan manis janji. Ada juga sisi gelap yang perlu kita teliti.
Pertama, syarat lesen memandu. Bagaimana dengan rakyat yang tidak mampu memperbaharui lesen atau warga emas yang tidak memandu tetapi masih bergantung pada petrol untuk kehidupan keluarga mereka? Bagaimana pula dengan pelajar universiti di luar bandar yang guna motosikal kecil tetapi tiada lesen penuh? Adakah mereka ini akan dipinggirkan hanya kerana tiada sekeping kad plastik daripada JPJ?
Kedua, had 300 liter sebulan mungkin nampak mencukupi di atas kertas tetapi bagi mereka yang bekerja jauh, menggunakan kenderaan besar atau kerap melakukan perjalanan luar kawasan, jumlah itu cepat habis.
Lebih malang, selepas kuota habis, mereka terpaksa bayar harga pasaran yang mungkin jauh lebih tinggi. Bayangkan seorang pekerja kilang yang gajinya kecil tetapi perlu ulang-alik jauh, subsidi habis sebelum hujung bulan dan baki bulan jadi mimpi ngeri.
Ketiga, isu pelaksanaan teknikal. Sistem ini bergantung kepada MyKad, terminal pam dan cip bacaan tetapi kita semua tahu MyKad rakyat ada yang rosak cip, stesen minyak luar bandar ada yang masih bergelut dengan mesin lama. Jika mesin gagal, subsidi gagal ditebus. Apakah rakyat perlu berpindah stesen minyak hanya kerana mesin tak ‘ngam’ dengan MyKad mereka? Jika ya, maka BUDI95 akan menjadi BODOH95.
Keempat, kesan terhadap harga barang. Peniaga tidak peduli berapa harga petrol untuk rakyat biasa. Mereka akan tetap naikkan harga barang dengan alasan kos bahan api tinggi. Subsidi petrol mungkin menyelamatkan poket di pam minyak tetapi tidak semestinya menyelamatkan dompet di pasar raya.
Kritikan Orang Ramai
Tidak hairanlah ramai netizen mula bersuara. Ada yang bertanya kenapa mesti syarat lesen, sedangkan harga minyak tetap mempengaruhi kos hidup semua orang, bukan hanya pemandu. Ada yang khuatir sistem tidak adil kepada penduduk pedalaman yang akses teknologinya terhad.
Ada juga yang skeptikal, menuduh ini tak lebih daripada ‘gula-gula politik’. Kebetulan pula diumumkan sekitar Hari Malaysia, menjelang pilihan raya negeri akan datang. Bukankah ini cara mudah membeli hati rakyat?
Namun, ada juga suara yang menyambut baik. Bagi mereka, RM1.99 seliter adalah rezeki yang tidak boleh dipandang ringan. Lebih-lebih lagi bila dibandingkan dengan harga pasaran sebenar yang mencecah RM2.60 ke atas.
Apa Kata Pakar?
Ahli ekonomi melihat langkah ini sebagai rasional. Subsidi bersasar dapat mengurangkan ketirisan, mengukuhkan fiskal negara dan lebih adil dalam jangka panjang.
Namun, pakar pengangkutan memberi amaran bahawa had liter akan menekan mereka yang tinggal di luar bandar, yang perjalanan mereka lebih jauh daripada orang bandar. Mereka inilah yang paling bergantung pada petrol murah.
Sementara pakar teknologi pula mengingatkan tentang risiko teknikal. Jika sistem digital gagal atau stesen minyak tidak dilengkapi dengan terminal MyKad moden, rakyat mungkin berdepan masalah besar di lapangan.
Bagi Mata Helang, BUDI95 adalah satu langkah berani tetapi tidak sempurna. Ia meringankan rakyat tetapi hanya sementara jika masalah teknikal dan jurang sosial tidak diatasi. Ia menjimatkan wang negara tetapi boleh menekan kelompok tertentu jika tidak dipantau dengan teliti.
Kerajaan perlu jujur, subsidi bukan jalan keluar jangka panjang. Rakyat tidak boleh selama-lamanya disuap dengan minyak murah. Penyelesaian sebenar ialah meningkatkan pendapatan rakyat, memperkukuh pengangkutan awam dan mengawal harga barang keperluan. Selagi itu tidak berlaku, setiap kali kerajaan umum harga minyak, rakyat tetap akan resah, marah dan kecoh.
Maka, persoalannya adakah BUDI95 benar-benar budi kepada rakyat atau sekadar ubat penenang sementara sebelum luka lama berdarah kembali?