AICB lancar platform penilaian kemahiran industri digital pertama sektor kewangan Malaysia
Bertujuan meningkatkan kebolehan tenaga kerja serta memperkukuh kemahiran profesional dalam menghadapi perubahan landskap ekonomi masa depan.

KUALA LUMPUR, 22 Oktober 2025 – Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) melancarkan FSF Xcel, platform penilaian kemahiran industri digital pertama bagi sektor kewangan di Malaysia yang bertujuan meningkatkan kebolehan tenaga kerja serta memperkukuh kemahiran profesional dalam menghadapi perubahan landskap ekonomi masa depan.
Platform tersebut dilancarkan pada 13 Okt lepas dan menjadi penanda aras baharu bagi keupayaan tenaga kerja sektor kewangan, selain berfungsi sebagai pemangkin kepada usaha peningkatan kemahiran di seluruh industri untuk menyokong peralihan Malaysia ke arah ekosistem kewangan yang lebih adaptif, lestari dan bersiap siaga menghadapi cabaran masa depan.
Dibina berasaskan kejayaan Rangka Kerja Kemahiran Masa Depan (FSF) yang diperkenalkan pada 2024, FSF Xcel memperkukuh pelaksanaan rangka kerja itu melalui penilaian berstruktur yang diiktiraf industri. Ia membolehkan institusi kewangan mengenal pasti jurang kemahiran, memanfaatkan pembelajaran berasaskan peta minda, merangka laluan kerjaya serta strategi jangka panjang yang berdaya tahan.
Platform ini merangkumi 159 peranan pekerjaan dan 157 kemahiran kritikal meliputi keupayaan teknikal serta kecekapan tingkah laku. Ia dibangunkan melalui kerjasama dengan Accendo Technologies, syarikat teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI) dari Malaysia dan rakan kongsi rasmi FSF Xcel yang menggabungkan amalan pengurusan global terbaik bersama kepakaran tempatan bagi memperkukuh lagi keupayaan bakat dalam sektor kewangan negara.
Sektor kewangan, yang menyumbang sekitar 6.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2024 dengan hampir 167,000 tenaga kerja profesional, kekal memainkan peranan penting dalam pertumbuhan dan ketahanan ekonomi negara.
Selaras dengan Pelan Induk Sektor Kewangan 2022–2026 oleh Bank Negara Malaysia (BNM), FSF Xcel dilihat sebagai pemangkin kepada peralihan industri ke arah tenaga kerja celik digital yang digerakkan oleh inovasi, data serta budaya pembelajaran berterusan. Platform itu turut menyediakan analisis masa nyata dan ukuran kecekapan standard bagi membantu institusi kewangan merancang tenaga kerja serta meningkatkan pembangunan profesional secara menyeluruh.
Ketua Eksekutif AICB, Edward Ling berkata, FSF Xcel bukan sekadar platform penilaian kemahiran tetapi merupakan pemangkin transformasi industri.
“Dengan melengkapkan pekerja dan majikan dengan data serta analisis bagi mengenal pasti, mengukur dan meningkatkan keupayaan mereka, platform ini mampu memupuk budaya pembelajaran berterusan serta mendorong kecemerlangan profesional. Dibangunkan untuk industri, oleh industri, FSF Xcel mencerminkan komitmen bersama dalam membina tenaga kerja kewangan yang teguh, berdaya saing dan bersedia menghadapi masa depan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengerusi MyMAHIR Future Skills Talent Council-Sektor Kewangan merangkap Ahli Majlis AICB, Datuk Dr Yvonne Chia, FCB, berkata hampir 40 peratus kemahiran sedia ada dijangka berubah atau menjadi lapuk menjelang 2030, menjadikan FSF Xcel satu langkah penting memperkasakan institusi kewangan agar lebih tangkas dan berpandangan jauh.
“Platform ini mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau bagi profesional kewangan yang mahir, serba boleh dan inovatif,” katanya.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Accendo Technologies, Sharma Lachu pula berkata kerjasama dengan AICB membuktikan bagaimana visi boleh diterjemahkan kepada tindakan nyata.
“Kami yakin kerjasama ini akan mendorong pelaksanaan Digital Talent Passport di seluruh industri agar individu dan organisasi dapat terus berkembang dalam dunia yang sentiasa berubah,” katanya.
Inisiatif ini turut disokong oleh Kajian Asas Tenaga Kerja 2025 AICB, yang mencatat kadar maklum balas 68 peratus daripada 99 institusi kewangan di seluruh negara. Kajian itu mendapati 96 peratus responden berminat menggunakan platform penilaian digital standard bagi menilai jurang kemahiran selaras dengan FSF.
Sekitar 40,000 pekerja dijangka mengalami perubahan peranan akibat automasi, sekali gus menekankan keperluan peningkatan dan pembaharuan kemahiran dalam sektor kewangan negara.
Penemuan tersebut turut sejajar dengan laporan World Economic Forum’s Future of Jobs Report 2025 yang mengunjurkan 39 peratus kemahiran sedia ada bakal menjadi usang menjelang 2030, dengan jurang kemahiran dikenal pasti sebagai halangan utama terhadap transformasi perniagaan di Malaysia.
FSF Xcel akan diperkenalkan secara berperingkat di seluruh institusi kewangan mulai suku keempat 2025 dengan AICB bekerjasama rapat bersama BNM, Accendo Technologies serta pelbagai pertubuhan industri bagi menyokong pelaksanaan menyeluruh inisiatif berkenaan.