Henti menyalahkan, cari punca anak yang kehilangan jiwa
Peningkatan kes jenayah yang melibatkan pelajar sekolah semakin membimbangkan, daripada kes bunuh, buli, kecurian, hingga penyalahgunaan dadah dan rogol.

DALAM beberapa tahun kebelakangan ini, peningkatan kes jenayah yang melibatkan pelajar sekolah semakin membimbangkan, daripada kes bunuh, buli, kecurian, hingga penyalahgunaan dadah dan rogol.
Setiap kali isu ini timbul, sekolah menjadi sasaran utama. Guru dituduh gagal mendidik, pentadbir dianggap cuai dan sistem pendidikan dikritik tidak berkesan tetapi persoalannya, adakah adil untuk terus menuding jari kepada sekolah setiap kali pelajar bertindak di luar batas?
Hakikatnya, asas kepada pembentukan sahsiah dan disiplin anak-anak bermula di rumah. Ibu bapa tidak boleh lagi berselindung di sebalik alasan kesibukan atau tekanan hidup apabila asas kegagalan ini berpunca daripada kecuaian melaksanakan tanggungjawab keibubapaan.
Ibu bapa ialah pendidik pertama dan utama dalam pembentukan sahsiah anak. Rumah menjadi asas kepada nilai, disiplin, dan akhlak mereka.
Apabila asas ini gagal dibina, runtuhlah benteng moral dan hancurlah masa depan anak. Realitinya, ramai ibu bapa hari ini lebih sibuk mengejar kemewahan daripada mendidik.
Anak dibiarkan tanpa bimbingan, lalu tersasar mencari arah. Namun apabila tragedi berlaku, sekolah yang dipersalahkan. Sedangkan guru hanya mendidik beberapa jam, manakala ibu bapa memegang amanah seumur hidup.
Kegagalan melaksanakan amanah ini bukan sekadar kecuaian tetapi pengabaian tanggungjawab asas yang memberi kesan langsung kepada keruntuhan generasi.
Kegagalan ibu bapa mengawasi anak bukan lagi isu kecil tetapi punca utama keruntuhan moral generasi hari ini. Ramai ibu bapa terlalu leka mengejar kerjaya, harta dan keselesaan hingga menyerahkan tanggungjawab mendidik kepada telefon pintar dan internet.
Anak dibiarkan tanpa batas, menelan budaya ganas, lucah dan songsang tanpa sebarang kawalan. Bila anak mula rosak akhlak, sekolah dijadikan kambing hitam.
Hakikatnya, yang membiarkan mereka hanyut ialah ibu bapa sendiri. Guru bukan pengasuh, sekolah bukan pusat pemulihan. Tanggungjawab membentuk anak adalah amanah ibu bapa. Jika mereka terus leka, maka merekalah penyumbang utama kepada rosaknya generasi.
Gaya keibubapaan yang salah juga menjadi punca utama kerosakan akhlak anak. Ada yang terlalu longgar hingga anak tidak mengenal batas, ada pula yang terlalu keras hingga anak membesar dengan dendam.
Kedua-duanya gagal. Ibu bapa yang hanya tahu menghukum tanpa memahami jiwa anak tidak akan melahirkan insan berakhlak. Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Namun ramai ibu bapa gagal melentur ketika masa masih ada.
Pendidikan keibubapaan bukan pilihan tetapi kewajipan. Mereka mahu anak berdisiplin, sedangkan diri sendiri tidak menunjukkan teladan. Inilah kecuaian moral yang wajar ditegur dan diperbetulkan sebelum generasi seterusnya terus rosak.
Lebih membimbangkan, ramai ibu bapa kini mengabaikan pendidikan agama dan nilai moral yang menjadi tunjang semenjak anak masih kecil. Tumpuan mereka hanya pada kecemerlangan akademik, seolah-olah markah lebih utama daripada akhlak dan integriti melahirkan generasi yang bijak di atas kertas tetapi kosong jiwanya, tahu belajar, namun tidak tahu beradab.
Bila berdepan tekanan, mereka memilih jalan mudah dengan menipu, mencuri, atau bertindak ganas. Jika ibu bapa gagal menanamnya, mereka sebenarnya sedang menyuburkan akar kejahatan dalam rumah sendiri.
Selain itu, kegagalan mewujudkan suasana keluarga yang sihat turut menjadi punca utama keruntuhan akhlak anak-anak. Rumah yang dipenuhi pertengkaran, keganasan dan penagihan dadah bukan tempat membina insan, tetapi melahirkan jiwa yang rosak. Anak belajar melalui teladan.
Ibu bapa yang gagal menunjukkan contoh baik sebenarnya sedang meruntuhkan masa depan anak dengan tangan sendiri. Membina keluarga harmoni bukan pilihan tetapi tanggungjawab moral dan sosial yang wajib dipikul oleh setiap ibu bapa.
Tanggungjawab ibu bapa tidak berakhir di ambang rumah. Namun, ramai yang hanya muncul apabila anak dihukum, bukan ketika mereka perlu dibimbing.
Lebih parah, ada yang membela kesalahan anak tanpa menyiasat kebenaran, seolah-olah disiplin itu musuh. Sikap ini menanam benih kerosakan apabila anak belajar bahawa setiap kesalahan boleh ditebus dengan alasan, bukan keinsafan.
Apabila ibu bapa menekan sekolah hingga disiplin dilonggarkan, autoriti guru terhakis, dan nilai hormat pun lenyap. Maka, bagaimana kita mahu mengekang jenayah jika ibu bapa sendiri meruntuhkan benteng terakhir pendidikan?
Masalah ini tidak akan selesai selagi masyarakat terus menyalahkan sekolah. Tugas sekolah ialah mendidik, bukan membentuk sepenuhnya watak manusia.
Tanggungjawab itu milik ibu bapa. Mereka mesti menjadi benteng pertama dalam memantau, membimbing, dan menunjukkan teladan. Kasih sayang bukan alasan untuk membiarkan anak bebas tanpa batas. Jika ibu bapa gagal, maka merekalah punca sebenar keruntuhan akhlak dan jenayah remaja hari ini.
Kesimpulannya, hentikan sikap mudah menyalahkan sekolah setiap kali anak gagal mengawal diri. Punca sebenar bermula di rumah, daripada ibu bapa yang leka, memanjakan tanpa mendidik dan memberi tanpa membimbing.
Anak tidak rosak kerana guru tetapi kerana rumah yang hilang arah. Jika kealpaan ini berterusan, jangan persoalkan mengapa generasi hari ini hilang adab, hilang malu dan hilang jiwa.
Anak tidak lahir derhaka, mereka dibentuk oleh kelalaian ibu bapa yang tidak lagi menjadikan kasih, disiplin dan agama sebagai asas didikan.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.