Mural baharu serikan Lorong Seni Seremban
Menerusi projek Rasa & Warna: Menyemai Cinta Makanan, Warisan dan Seni anjuran NutriPlus.

KUALA LUMPUR, 22 Oktober 2025 — Lorong Seni Seremban kini tampil lebih meriah dengan mural baharu yang menggabungkan keindahan seni, warisan dan makanan sebagai lambang kebanggaan identiti rakyat Malaysia, menerusi projek Rasa & Warna: Menyemai Cinta Makanan, Warisan dan Seni anjuran NutriPlus.
Majlis penyempurnaan rasmi mural berkenaan disempurnakan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban, Datuk Masri Baharuddin bersama Pengarah Operasi NutriPlus, Yap Chor Wen.
Mural tersebut merupakan sebahagian daripada projek Rasa & Warna oleh NutriPlus, satu inisiatif untuk menghidupkan semula ruang awam melalui karya seni yang menceritakan kisah masyarakat tempatan menerusi makanan, warna dan kreativiti.
Seni yang Dekat di Hati
Pelukis mural tempatan Yaulacap, yang dikenali dengan gaya seninya berasaskan kisah rakyat Malaysia menggambarkan seorang ibu sedang mengajar anaknya memasak masak lemak cili api di bawah bumbung ikonik Wisma Negeri yang diinspirasikan daripada seni bina Minangkabau.
Adegan itu melambangkan warisan Negeri Sembilan yang kaya dengan nilai kekeluargaan dan tradisi.
“Saya percaya seni perlu ada jiwa dan mampu berbual dengan orang yang melihatnya. Kalau orang ramai dapat merasakan kaitan peribadi dengan hidup mereka sendiri melalui mural ini, itu sudah cukup menggembirakan,”
kata Yaulacap.
Gaya lukisan beliau menggabungkan unsur seni jalanan moden dengan sentuhan tradisional bagi menzahirkan semangat komuniti dan rasa kebersamaan.
Lebih Daripada Sekadar Produk
Pengarah Eksekutif Kumpulan NutriPlus, Datuk Yap Chor How berkata, kempen tersebut membawa makna yang lebih besar daripada sekadar promosi produk.
“Makanan adalah sebahagian daripada kehidupan dan budaya masyarakat Malaysia. Melalui Rasa & Warna, kami ingin meraikan tradisi dan nilai yang menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang,” jelasnya.
Sebagai tanda penghargaan kepada komuniti setempat, NutriPlus turut mengedarkan telur kepada penduduk sekitar semasa majlis pelancaran sebagai simbol kecil tetapi bermakna untuk menghargai masyarakat.
Seremban merupakan lokasi pertama projek berkenaan, selepas mural lain disiapkan di Klang dan Alor Setar, dengan lebih banyak lokasi bakal menyusul tidak lama lagi. Setiap mural membawa kisah tersendiri yang menjadikan dinding dan lorong bandar sebagai kanvas cerita rakyat Malaysia.
Seni Awam, Jiwa Negara
Dalam kesibukan kehidupan bandar, projek seperti ini menghidupkan kembali ruang awam dengan warna dan identiti, sekali gus menanam rasa bangga serta jati diri dalam kalangan masyarakat.
“Bagi saya, Rasa & Warna melambangkan rasa bangga terhadap ikatan dengan asal-usul sendiri. Saya rasa cukup bermakna kalau ada orang yang tersenyum bangga dengan tradisi kampung halamannya apabila melihat mural ini,”
ujar Yaulacap.
Daripada warna keemasan masak lemak cili api hingga bentuk bumbung Minangkabau yang megah, mural di Seremban ini bukan sekadar karya seni, ia menjunjung kisah tentang rumah, keluarga dan budaya yang membentuk identiti rakyat Malaysia.
NutriPlus, yang sinonim dengan pengeluaran telur segar untuk rakyat Malaysia, kini memperluas peranannya melalui projek Rasa & Warna bagi mengingatkan masyarakat bahawa makanan bukan sekadar hidangan di meja, tetapi lambang nilai, kisah dan warisan yang menjadikan Malaysia unik serta berwarna.