Berhati-hati ‘pakar healing’ tanpa pengiktirafan profesional
Dalam keterbukaan dunia moden terhadap isu kesihatan mental, semakin ramai tampil berbicara tentang emosi, trauma, luka batin dan kesejahteraan jiwa.

BILA emosi dijadikan konten dan luka dijadikan bisnes, siapa sebenarnya yang sedang dirawat?
Dalam keterbukaan dunia moden terhadap isu kesihatan mental, semakin ramai tampil berbicara tentang emosi, trauma, luka batin dan kesejahteraan jiwa.
Masyarakat kita kini lebih terbuka dan berani mencari pertolongan. Namun di celah kesedaran ini, muncul pula satu fenomena berbahaya iaitu kehadiran individu-individu yang mengaku pakar, menyampaikan sesi ‘penyembuhan emosi’, namun tidak mempunyai kelayakan profesional, tidak terikat pada etika amalan sah dan tidak diiktiraf oleh mana-mana badan yang berautoriti.
Lebih membimbangkan, mereka hadir dengan imej yang meyakinkan, petah berkata-kata, penuh empati dan bijak bermain dengan istilah psikologi yang menyentuh hati.
Mereka menyebut tentang trauma response, inner child healing, coping mechanism dan pelbagai frasa yang kedengaran saintifik, walhal semuanya hanya dibaca sepintas lalu tanpa pemahaman mendalam.
Pendekatan ini disebarkan secara agresif di media sosial dengan video yang kelihatan profesional, kapsyen yang emosional dan testimoni pengikut yang terkesan secara sementara bukan kerana rawatan, tetapi kerana naratif.
Apa yang lebih merisaukan, mereka bukan sekadar meniru gaya pakar psikologi. Mereka mula memperkenalkan ‘ilmu penyembuhan’ yang bercampur aduk antara unsur kepercayaan peribadi, keajaiban rohani dan ideologi menyesatkan yang tidak berasaskan sains.
Antaranya termasuklah Law of Attraction (yang meyakini bahawa hanya dengan ‘menarik energi positif’, trauma boleh hilang), Neuro-Linguistic Programming (NLP) yang sering dipopularkan secara melulu tanpa asas terapi sebenar serta numerologi bacaan keperibadian berdasarkan tarikh lahir yang kononnya boleh merungkai punca luka batin seseorang.
Tidak kurang juga yang menggunakan teknik seperti tilikan nasib berdasarkan lukisan, pembacaan aura, gerak tubuh atau permainan kad spiritual.
Semua ini dibungkus cantik dalam label ‘healing’ dan ‘self-discovery’ sedangkan ia langsung tidak melalui sebarang kajian saintifik atau rujukan dari disiplin psikologi moden.
Inilah yang menjadikan ramai individu semakin tersesat dalam ilusi penyembuhan mereka rasa lega seketika tetapi tidak tahu bahawa sebenarnya mereka sedang dibawa jauh dari pemulihan yang sebenar.
Harus diingat bahawa kesihatan mental bukan ruang untuk eksperimen kepercayaan. Kesihatan mental adalah bidang profesional yang memerlukan ilmu, latihan, bimbingan dan penyeliaan ketat.
Jiwa manusia bukan bahan tontonan atau bahan niaga. Satu kesilapan dalam menasihati individu yang sedang bergelut dengan trauma boleh membawa kesan yang sangat besar termasuk luka emosi yang bertambah parah, krisis identiti yang semakin meruncing dan hilangnya kepercayaan terhadap bantuan profesional yang sah.
Namun hari ini, ‘healer’ tanpa kelayakan lebih mudah dipercayai berbanding profesional kesihatan mental.
Ini kerana mereka pandai menyusun naratif. Mereka kelihatan mesra, mudah diakses dan tidak ‘menakutkan’ seperti institusi rasmi. Lebih ramai yang rela berkongsi rahsia jiwa dalam ruang komen TikTok, berbanding meluahkan dengan pakar yang telah terlatih bertahun lamanya.
Mengapa? Kerana yang tidak bertauliah lebih lantang dan lebih licik mencuri perhatian, manakala yang benar-benar berilmu lebih berhati-hati kerana terikat pada etika dan amanah.
Sebagai masyarakat yang sedang membina celik akal dalam isu emosi dan mental, kita tidak boleh terus leka.
Setiap individu yang menawarkan bimbingan emosi harus dinilai melalui kriteria kelayakan sebenar. Mereka perlu mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang berkaitan, latihan profesional dan pengiktirafan daripada badan-badan profesional yang diiktiraf bukan sekadar ‘testimoni’ atau pengalaman peribadi.
Jangan hanya melihat kepada gaya penyampaian yang menenangkan atau jumlah pengikut yang mengagumkan. Perkara sebegini tidak pernah menjadi ukuran kompetensi.
Jangan sesekali menganggap bahawa niat baik sahaja sudah mencukupi. Niat tanpa ilmu boleh merosakkan. Lebih parah, dapat memberi ruang kepada amalan sesat dan ilmu tidak sah untuk berselindung di sebalik istilah yang kedengaran positif.
Hari ini, ramai yang terpedaya bukan kerana mereka tidak tahu tetapi kerana mereka terlalu terdesak untuk sembuh. Dalam keinginan untuk keluar dari kegelapan, mereka ditarik ke arah cahaya palsu yang kelihatan suci tetapi sebenarnya membakar dari dalam.
Jika anda sedang mencari jalan untuk sembuh, carilah jalan yang benar. Carilah mereka yang dilatih, yang diawasi dan yang beretika. Carilah bantuan daripada ahli psikologi klinikal, kaunselor berdaftar atau pakar kesihatan mental yang berpengalaman.
Jangan biarkan algoritma media sosial menjadi penentu arah hidup anda. Jangan serah luka anda kepada yang hanya tahu menyusun kata tetapi tidak tahu mengubati.
Ini adalah kerana bukan semua yang menyebut tentang healing itu benar-benar menyembuhkan. Ada yang hanya melukis ilusi, memetik istilah saintifik, lalu meninggalkan anda dengan luka yang lebih dalam daripada sebelumnya.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.